BM: Ayat Aktif dan Ayat Pasif

Ayat Aktif

i. Ayat aktif ialah ayat yang mana “pelaku” terletak di hadapan (sebagai subjek ayat) manakala “benda yang kena buat” terletak di belakang (sebagai pradikat ayat)

ii. Biasanya kata kerja berimbunan ‘meN….’, ‘men….kan’ dan ‘men….i’.

iii. Contoh : Ali sedang memancing ikan. (Ali ialah pelaku (di depan) dan ikan ialah benda kena buat)


Ayat Pasif

i. Ayat pasif ialah ayat yang mana ‘benda kena buat’ terletak di hadapan (sebagai subjek ayat) manakala ‘pelaku’ terletak di belakang (sebagai pradikat).

ii. Biasanya kata kerja berimbuhan ‘di……’; ‘di…..kan’ atau ‘di….i’. Kata kerja juga boleh menggunakan perkataan ‘kena’. Kekecualian untuk pelaku gantinama diri pertama dan kedua yang mesti mendahului kata kerja tanpa imbuhan.

Contoh Ayat Pasif

i. Ikan itu dipancing oleh Ali. 

ii. Ikan itu kamu pancing. (pelaku diri kedua)

iii. Ikan itu saya pancing. (pelaku diri pertama)


CONTOH MENUKARKAN AYAT AKTIF KEPADA AYAT PASIF:

Tukarkan ayat-ayat di bawah kepada ayat pasif.

1. Bapa saudara saya sedang menebang sebatang pokok kelapa di sebelah rumah barunya.
Ayat pasif : Sebatang pokok kelapa di sebelah rumah barunya itu sedang ditebang oleh bapa saudara saya.

2. Guru disiplin yang garang itu sedang memarahi pelajar lelaki yang tidak memakai lencana sekolahnya.
Ayat pasif : Pelajar lelaki yang tidak memakai lencana sekolahnya itu sedang dimarahi oleh guru disiplin yang garang tersebut.

3. Doktor yang berkaca mata tebal itu sedang menjalankan pembedahan ke atas pesakit tersebut.
Ayat pasif : Pembedahan ke atas pesakit tersebut sedang dijalankan oleh doctor yang berkaca mata tebal itu.

4. Saya telah melukis gambar pemandangan di tepi pantai itu.
Ayat pasif : Gambar pemandangan di tepi pantai itu telah saya lukis.

5. Awak belum menjelaskan yuran keahlian persatuan Sains dan Matematik.
Ayat pasif : Yuran keahlian persatuan Sains dan Matematik itu belum awak jelaskan.


CONTOH MENUKARKAN AYAT PASIF KEPADA AYAT AKTIF:

Tukarkan ayat-ayat di bawah kepada ayat aktif.

1. Bola itu ditendang dengan kuat oleh pemain Brazil tersebut.
Ayat aktif : Pemain Brazil tersebut menendang bola itu dengan kuat.

2. Perasaan gadis itu dipermainkan oleh pemuda bermata keranjang yang tinggal di bandar.
Ayat aktif : Pemuda bermata keranjang yang tinggal di bandar itu mempermainkan perasaan gadis tersebut.

3. Ujian untuk memasuki kelas memandu kereta itu telah saya duduki pada awal bulan lalu.
Ayat aktif : Saya telah menduduki ujian untuk memasuki kelas memandu kereta itu pada awal bulan lalu.

4. Maklumat tentang pelaburan saham tersebut sedang diperjelaskan oleh pegawai dari Amanah Saham Nasional.
Ayat aktif : Pegawai dari Amanah Saham Nasional itu sedang memperjelaskan maklumat tentang pelaburan saham tersebut.

5. Getah yang telah diproses itu telah dimasukkan ke dalam bekas plastik oleh para pekerja di bahagian pemprosesan.
Ayat aktif : Para pekerja di bahagian pemprosesan telah memasukkan getah yang telah diproses itu ke dalam bekas plastik.


LATIHAN Ayat Aktif dan Ayat Pasif 1

Tukarkan ayat-ayat pasif berikut kepada ayat aktif.

1.      Tugas itu patut anda selesaikan sekarang juga.

2.      Jawatan yang dipegang oleh mereka sangat penting.

3.      Sedikit garam dimasukkan oleh kakak ke dalam gulai yang sangat saya gemari.

4.      Pokok-pokok itu dipangkas oleh para pekerja supaya sentiasa rendah.

5.      Nota pelajaran dikemaskinikan oleh mahasiswa itu supaya mudah membuat  ulang kaji.

6.      Orang yang lurus bendul itu tidak harus kamu peralat sewenang-wenangnya.

JAWAPAN

  1. Anda patut menyelesaikan tugas itu sekarang juga.
  2. Mereka memegang jawatan yang sangat penting.
  3. Kakak memasukkan sedikit garam ke dalam gulai yang sangat saya gemari.
  4. Para pekerja memangkas pokok-pokok itu supaya sentiasa rendah.
  5. Mahasiswa itu mengemaskinikan nota pelajaran supaya mudah membuat ulang kaji.
  6. Kamu tidak harus memperalat orang yang lurus bendul itu sewenang-wenangnya.

LATIHAN Ayat Aktif dan Ayat Pasif 2

Tukarkan ayat-ayat pasif berikut kepada ayat aktif.

1.      Pelajar itu ditahan oleh guru disiplin selepas perhimpunan kerana melanggar peraturan sekolah.

2.      Anak-anak sewajarnya dikawal oleh ibu bapa supaya mereka tidak bergaul dengan budak-budak nakal.

3.      Pelajar itu dihadiahi oleh guru bahasa Melayu sebatang pen setelah berjaya  memperoleh ‘A’ dalam peperiksaan percubaan SPM.

4.      Satu misi dilaksanakan oleh mereka bersama-sama.

5.      Alat pendingin hawa itu dijualnya dengan harga yang tinggi.

6.      Komputer itu saya beli untuk adik di kolej.

JAWAPAN

  1. Guru disiplin menahan pelajar itu selepas perhimpunan kerana melanggar peraturan sekolah.
  2. Ibu bapa sewajarnya mengawal anak-anak supaya mereka tidak bergaul dengan budak-budak nakal.
  3. Guru bahasa Melayu menghadiahi pelajar itu sebatang pen setelah berjaya memperoleh ’A’ dalam peperiksaan percubaan SPM.
  4. Mereka melaksanakan satu misi bersama-sama.
  5. Dia menjual alat pendingin hawa itu dengan harga yang tinggi.
  6. Saya membeli komputer itu untuk adik di kolej.

LATIHAN Ayat Aktif dan Ayat Pasif 3

Tukarkan ayat-ayat pasif berikut kepada ayat aktif.

1.      Permukaan air itu dilitupi pokok teratai yang berwarna-warni.

2.      Majalah bercorak akademik kurang diminati oleh golongan remaja meskipun bahan di dalamnya memberikan ilmu kepada mereka.

3.      Pondok buruk yang didiami oleh orang tua itu beratapkan rumbia dan berdinding buluh.

4.      Adik perempuan saya dijahitkan baju kurung oleh kakak pada hujung minggu yang lalu.

5.      Rumah itu tidak berani kami hampiri kerana takut akan anjing peliharaan tuan rumah tersebut.

6.      Kerja-kerja memperdalam Sungai Kinta itu akan ditangguhkan oleh mereka berminggu-minggu.

JAWAPAN

  1. Pokok teratai yang berwarna-warni melitupi permukaan air itu.
  2. Golongan remaja kurang meminati majalah bercorak akademik meskipun bahan di dalamnya memberikan ilmu kepada mereka..
  3. Orang tua itu mendiami pondok buruk yang beratapkan rumbia dan berdinding buluh.
  4. Kakak menjahitkan adik perempuan saya baju kurung pada hujung minggu yang lalu.
  5. Kami tidak berani menghampiri rumah itu kerana takut akan anjing peliharaan tuan rumah tersebut.
  6. Mereka akan menangguhkan kerja-kerja memperdalam Sungai Kinta berminggu-minggu.

Leave a Reply