Gurindam Dua Belas – Fasa yang ketiga

Nota Gurindam Dua Belas – Fasa yang ketiga

Tema Gurindam Dua Belas

Nasihat memelihara anggota diri. Gurindam ini memberikan nasihat supaya kita sentiasa memelihara anggota diri dan berbudi pekerti.


Gurindam

Maksud
Apabila terpelihara mata,
Sedikitlah cita-cita.
Penglihatan yang dijaga akan mengurangkan keinginan terhadap perkara-perkara yang negatif.
Apabila terpelihara kuping,
Khabar yang jahat tiadalah damping.
Pendengaran yang dijaga akan terhindar daripada berita yang tidak baik.
Apabila terpelihara lidah,
Nescaya dapat daripadanya faedah.
Seseorang yang menjaga tutur kata akan mendapat banyak manfaatnya.
Bersungguh-sungguh engkau memelihara tangan,
Daripada segala berat dan ringan.
Tangan perlu dipelihara daripada mengambil barang yang bukan hak kita.
Apabila perut terlalu penuh,
Keluarlah fiil yang tiada senonoh.
Nafsu harus dijaga agar tidak melakukan perbuatan yang dilarang.
Anggota tengah hendaklah diingat,
Di situlah banyak orang yang hilang semangat.
Kehidupan seseorang perlulah dijalani dengan penuh semangat.
Hendaklah peliharakan kaki,
Daripada berjalan yang membawa rugi.
Anggota kaki perlulah dipelihara dari melangkah ke tempat-tempat yang maksiat.
Nota Gurindam Dua Belas – Fasa yang ketiga

Persoalan Gurindam Dua Belas

  1. Persoalan manfaat memelihara penglihatan dalam kehidupan.
    Contoh : Mata haruslah dipelihara sebaik-baiknya supaya tidak melihat sesuatu perkara yang dilarang oleh Tuhan. (Rangkap 1)
  2. Persoalan kebaikan memelihara tutur kata.
    Contoh : Seseorang yang menjaga tutur kata akan mendapat banyak manfaat. (Rangkap 3)
  3. Persoalan kepentingan memelihara pendengaran.
    Contoh : Telinga perlu dijauhkan daripada mendengar segala hasutan dan kejian. (Rangkap 2)
  4. Persoalan semangat penting dalam kehidupan.
    Contoh : Kehidupan seseorang perlulah dijalani dengan penuh semangat. (Rangkap 6)

GAYA BAHASA Gurindam Dua Belas

  1. Kata ganda
    Contoh : cita-cita (rangkap 1; baris 2)
  2. Asonansi
    Contoh : Pengulangan vokal a – Apabila terpelihara mata, ( rangkap 1; baris 1)
  3. Aliterasi
    Contoh : Pengulangan bunyi konsonan g – Bersungguh-sungguh engkau memeliharakan tangan (rangkap 4 baris 1)
  4. Bahasa kiasan
    Contoh : Apabila perut terlalu penuh, keluarlah fiil yang tiada senonoh (rangkap 5)

Bentuk Gurindam Dua Belas

  1. 7 rangkap
  2. Setiap rangkap mengandungi 2 baris
  3. Jumlah perkataan antara dua hingga enam perkataan
    Contoh : Sedikitlah cita-cita. (rangkap 1; baris 2)
    Contoh : Di situlah banyak orang yang hilang semangat. (rangkap 6; baris 2)
  4. Suku kata antara lapan hingga lima belas suku kata
    Contoh : Se/di/kit/lah/ ci/ta/-ci/ta. – 8 suku kata (rangkap 1; baris 2)
    Contoh : Di/si/tu/lah/ba/nyak/o/rang/yang/hi/lang/se/mang/at. – 15 suku kata (rangkap 6; baris 2)

5. Rima akhir aa
Contoh : Apabila terpelihara kuping, – a
Khabar yang jahat tiadalah damping. – a (rangkap 2; baris 1 & 2)

Pengajaran Gurindam Dua Belas

  1. Kita hendaklah menjaga penglihatan kita agar tidak menimbulkan keinginan yang tidak baik.
  2. Kita mestilah memelihara pendengaran kita agar tidak mendengar berita yang tidak sahih.
  3. Kita haruslah menjaga anggota kaki agar tidak menjejaki tempat yang tidak berfaedah.

Nilai Gurindam Dua Belas

1. Kebijaksanaan

Contoh : Kebijaksanaan dalam menuturkan kata-kata

2. Kesederhanan
Contoh: Kesederhanaan ketika menghadap rezeki.

3. Kesabaran
Contoh: Kesabaran memelihara mata daripada melihat perkara negatif.

4. Berbudi bahasa
Contoh : Seseorang perlu menjaga tutur kata agar mendapat banyak faedahnya.

Leave a Comment