KOMSAS BM: Konflik watak utama

Konflik yang timbul dalam cerita membuatkan cerita semakin berkembang.

Berdasarkan sebuah novel yang telah anda pelajari, jelaskan dua konflik yang dihadapi oleh watak utamanya. (7 markah)

JAWAPAN: Novel Tirani karya Beb Sabariah

Berdasarkan novel yang telah saya pelajari iaitu novel Tirani karya Beb Sabariah, terdapat beberapa konflik yang dihadapi oleh watak utamanya iaitu Waheeda.

Salah satu konflik yang dihadapi oleh Waheeda ialah penentangan hasratnya untuk menjalani pembedahan plastik pada wajahnya.  Waheeda merupakan seorang gadis yang mahu menjadi cantik dan berhidung mancung kerana hidung asalnya pesek. Hidungnya yang kemet  atau pesek ini menjadi ejekan kepada kawan-kawannya seperti  Si Nuar, Si Man dan Mat Gusi. Hatinya sentiasa memberontak dengan keadaan itu. Waheeda memasang niat untuk membuat pembedahan plastik. Hasrat ini telah dinyatakan kepada ibunya, Raidah. Akan tetapi, bapa Waheeda tidak menggalakkankan kerana  bercanggah dengan hukum agama. Emak Waheeda terus memujuk anaknya supaya tidak melakukan  apa yang dihajatinya.

Selain itu, Waheeda juga menghadapi konflik dengan tuduhan suaminya, Zahid. Zahid telah menemui Waheeda di sebuah bilik penginapan penghuni di Chalet Tajau Emas. Zahid berasa cemburu dan salah sangka atas kesetiaan Waheeda itu. Rentetan daripada peristiwa itu, Zahid telah mempertikaikan status anak yang dilahirkan oleh Waheeda setelah meneliti ciri-ciri fizikal yang terdapat pada anak perempuannya itu.

JAWAPAN: Novel Leftenan Adnan Wira Bangsa

Setiap novel mempunyai beberapa unsur yang membuatkan novel tersebut menarik untuk dibaca. Berdasarkan novel yang saya kaji iaitu Leftenan Adnan Wira Bangsa, karya Abdul Latip bin Talib, terdapat unsur konflik yang membuatkan novel tersebut semakin berkembang.

Konflik pertama yang timbul dalam cerita adalah apabila Nordin memperlekehkan usaha Adnan untuk menjadi tentera. Adnan telah dituduh sebagai pengkhianat bangsa kerana keluarganya pernah menjadi tali barut kepada Inggeris ketika moyangnya telah menjadi orang buruan Inggeris.Walau bagaimanapun, Adnan sabar dengan lekehan rakan-rakannya dengan tidak menghiraukan tempelak rakan-rakan sekampungnya itu.

Selain itu, konflik yang timbul dalam novel Leftenan Adnan adalah ketika pertempuran  Batalion Kedua Askar Melayu dengan pendaratan askar Jepun di Pantai Cahaya Bulan pada 8 Disember 1941. Dalam pertempuran ini, askar Jepun telah ditentang hebat oleh askar Melayu yang dibantu oleh tentera India British. Pada hari kedua, kapal-kapal perang Jepun telah melepaskan tembakan menyebabkan banyak terkorban dan banyak askar India British melarikan diri. Namun begitu, semangat Leftenan Adnan tidak berputus asa lalu bertahan dan berjaya menggagalkan askar Jepun tetapi pada hari ketiga askar Melayu yang bertempur terpaksa berundur. Askar Jepun berjaya mendarat di Kelantan.

Di samping itu, terdapat satu lagi konflik dalam novel di mana konflik berlaku di antara askar Melayu dengan tentera Jepun pada masa terakhir Perang Dunia Kedua. Pada masa ini Leftenan Adnan terus memberikan kata-kata semangat kepada anak-anak buahnya.Walaupun mereka semakin kehabisan peluru sedangkan asakan tentera Jepun semakin bertambah, semangat askar Melayu tidak pernah berkurang dan terus berjuang mempertahankan diri dan maruah negara.