Karangan SPM Kebaikan Amalan Gotong Royong

Amalan gotong-royong merupakan budaya masyarakat kita pada masa dahulu. Apakah kebaikan amalan gotong royong terhadap masyarakat kita?

Kebaikan Amalan Gotong Royong dalam Masyarakat

Dalam era tanda pagar atau “hastag” ini, semangat gotong-royong semakin pudar dalam kalangan masyarakat. Suatu ketika dahulu, amalan gotong-royong telah menjadi budaya masyarakat kita yang tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas. Namun lama-kelamaan, amalan ini terhakis dalam masyarakat terutamanya masyarakat bandar yang terlalu sibuk membanting tulang empat kerat untuk mencari sesuap nasi bagi menunaikan tanggungjawab terhadap keluarga. Fenomena ini akan melunturkan semangat gotong-royong dalam kalangan masyarakat. Oleh itu, satu prakarsa perlu diambil secara efektif lagi drastik agar dapat menyuburkan semula amalan gotong-royong dalam kalangan masyarakat moden.

Kawasan kediaman menjadi bersih dan cantik

Aktiviti membersihkan kawasan kediaman boleh diadakan secara gotong-royong dengan jiran tetangga sesuai dengan peribahasa jiran sepakat membawa berkat. Dengan cara ini kawasan kediaman menjadi bersih dan cantik serta menceriakan suasana persekitaran seterusnya memberi keselesaan pada kita dan jiran tetangga terutama pada tetamu yang hadir ke rumah. Oleh itu, amalan gotong-royong dapat memastikan kawasan kediaman menjadi bersih, cantik dan ceria serta melambangkan asas keimanan seperti yang dinukil daripada hadis nabi, sesungguhnya kebersihan itu separuh daripada iman.

Masalah penyakit bawaan unggas dan haiwan dapat hindari

Selain kawasan perumahan menjadi bersih dan cantik, masalah penyakit bawaan unggas dan haiwan juga dapat kita hindari dengan melakukan aktiviti gotong-royong di kawasan perumahan yang terbabit. Penyakit berjangkit seperti H1N1 atau selesema burung adalah disebabkan kebersihan reban ayam yang tidak dijaga dengan baik. Keadaan ini menyebabkan penyakit tersebar lalu menjangkiti manusia. Masalah ini hanya akan dapat diselesaikan dengan aktiviti pembersihan secara gotong royong dengan skala yang lebih besar. Dalam isu ini, tindakan tegas perlu diambil sebelum keadaan menjadi teruk sesuai dengan peribahasa cegah sebelum parah.

Memupuk nilai murni dalam kalangan masyarakat

Amalan gotong-royong juga dapat memupuk nilai murni dalam kalangan masyarakat. Mereka yang terlibat dalam aktiviti gotong-royong sebenarnya tanpa disedari telah memupuk nilai keikhlasan dalam melakukan pekerjaan ibarat kata tangan kanan memberi tangan kiri tidak mengetahui. Mereka melakukan aktiviti ini tanpa mengharapkan pujian atau wang upahan. Malah mereka turut dipupuk dengan nilai bekerjasama dalam masyarakat ketika melakukan aktiviti gotong-royong. Hal ini bertepatan dengan pepatah Melayu yang menyebut, bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat. Jiran tetangga bekerjasama melakukan aktiviti gotong-royong demi kepentingan bersama dan bukan kepentingan diri

Memupuk semangat kejiranan

sahaja.Sudah terang lagi bersuluh, semangat kejiranan dapat dipupuk melalui aktiviti bergotong-royong. Sebagai contoh, program membakar lemang yang diadakan secara gotong- royong ini akan dibahagi kepada beberapa kumpulan untuk melaksanakan tugasan. Ketika aktiviti ini berlangsung, mereka akan saling berkenalan, berbual-bual dan bergurau senda. Walaupun kepenatan, namun jiran-jiran berasa seronok apatah lagi aktiviti ini berakhir dengan sambutan perayaan sesuai dengan peribahasa yang menyebut berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Hasil daripada amalan gotong-royong ini, lahirkan jiran yang sepakat kerana sesungguhnya jiran sepakat membawa berkat.

Penutup Karangan Kebaikan Amalan Gotong Royong

Intihanya, amalan bergotong-royong merupakan amalan yang telah tersemai dalam budaya bangsa. Tanpa amalan ini, banyak agenda kemasyarakatan tidak dapat dicapai kerana tiada kesepakatan dalam membuat keputusan. Oleh itu, semua pihak perlulah menjadikan amalan mulia ini sebagai satu gaya hidup dalam masyarakat agar kita dapat meneruskan kesinambungan demi membina Malaysia yang gemilang. Jika amalan ini terpinggir daripada arus pemikiran masyarakat moden nescaya manusia akan hidup dengan penuh sifat keegoan dan kesombongan yang menjadikan mereka terus lalai di bumi Tuhan.


Contoh Karangan: Langkah Mengatasi Gejala vandalisme

Leave a Reply

Your email address will not be published.

You cannot copy content of this page