Contoh Karangan Langkah Memupuk Perpaduan

Perpaduan merupakan isu yang penting di negara Malaysia yang mementingkanharmoni antara kaum. Tulis karangan tentang langkah untuk memupuk perpaduan rakyat negara Malaysia.

Langkah untuk Memupuk Perpaduan

Isu perpaduan bukanlah isu yang dikesampingan malah menjadi nadi utama dalam tempoh kepayahan yang melanda negara kini. Malah perpaduan juga diberi nafas baharu apabila pada 2020 telah diwujudkan Kementerian Perpaduan Negara yang diterajui oleh Menteri Perpaduan Negara Yang Berhormat Datuk Halimah Binti Mohamed Sadique seterusnya merangka Dasar Perpaduan Negara dengan menyediakan Rangka Tindakan Pelan Perpaduan Negara 2021-2030 yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Malaysia Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin bin Haji Muhammad Yassin. Persoalan yang masih berlegar-legar dalam horizon pemikiran kita ialah, apakah langkah bestari yang perlu dilakukan oleh anggota masyarakat dalam memupuk semangat perpaduan?

Ibu Bapa sebagai teladan kepada anak

Dalam membina generasi hadapan yang harmoni antara kaum, ibu bapa hendaklah menjadi uswah hasanah kepada anak-anak sesuai dengan peribahasa Melayu yang menyebut bagaimana acuan begitulah kuihnya. Sebagai contoh, ibu bapa haruslah bertegur sapa dan melayani jiran tetangga tanpa mengira bangsa, kaum dan agama. Dengan cara ini, anak-anak akan terikut-ikut dengan perbuatan ibu bapa terutamanya pada usia anak-anak masih muda kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Secara tidak langsung pembentukan nilai perpaduan ini akan berterusan sehingga mereka dewasa.

Menerapkan nilai perpaduan di sekolah

Selain ibu bapa yang mendidik di rumah, guru-guru di sekolah juga berperanan mendidik dan menerapkan nilai perpaduan dalam sanubari pelajar. Melalui pengajaran subjek Sejarah, pelajar akan dapat mengetahui peristiwa-peristiwa yang menyebabkan kesengsaraan seperti ancaman komunis dan insiden 13 Mei 1969. Malah, kesungguhan guru-guru mengajar tanpa pilih kasih atau kaum akan turut menjadi ikutan pelajar. Oleh itu, guru-guru hendaklah menunjukkan perbuatan yang baik , adil dan saksama antara pelajar jika tidak, guru akan dianggap berat sebelah dan perbuatan ini akan merosakkan kerjaya guru itu sendiri ibarat senjata makan tuan.

Aktiviti kemasyarakatan

Perpaduan juga dapat dipupuk melalui aktiviti kemasyarakatan. Melalui penganjuran aktiviti gotong-royong yang diadakan di kawasan taman perumahan, jiran-jiran pelbagai bangsa, kaum dan agama akan turut serta menyertai aktiviti tersebut. Mereka akan bertemu jiran tetangga sambil bertegur sapa lalu berbual-bual tentang isu-isu kemasyarakatan. Malah semangat bekerjasama bagai aur dengan tebing telah berjaya dipupuk dalam kalangan masyarakat. Secara tidak langsung, agenda perpaduan dapat diadakan dengan lebih mudah kerana mereka yang berlainan bangsa dan agama telah berasa seronok dan bersepakat untuk meneruskan aktiviti kemasyarakatan di taman perumahan. Oleh itu, perpaduan akan sentiasa dipupuk dalam masyarakat.

Penggunaan media dan teknologi maklumat

Pada realitinya, perpaduan boleh dicapai dengan penggunaan media dan teknologi maklumat sebagai medium penyampaian maklumat dalam era “dotcom” ini. Melalui rancangan hiburan televisyen, iklan komersial, dan rancangan dokumentari, informasi perpaduan dapat disalurkan kepada rakyat Malaysia dengan mudah. Rancangan Gerak-gerak Khas, merupakan drama hiburan sekeluarga yang menonjolkan ciri-ciri perpaduan kaum dalam kalangan pelakon mereka. Bukan itu sahaja, siaran media juga boleh disebar luas melalui teknologi maklumat dengan siaran secara langsung melalui Facebook dan TikTok. Dengan cara ini, anak muda akan turut dapat merasai kemerdekaan melalui peranti mudah alih yang dimiliki mereka.

Penutup Karangan Langkah untuk Memupuk Perpaduan

Secara keseluruhannya, perpaduan yang dibina daripada keringat pemimpin dan darah pejuang lalu menjadi tanggungjawab kepada kita semua untuk meneruskan agenda perpaduan negara. Oleh itu, semua pihak perlulah bekerjasama mencari kata sepakat, sehati dan sejiwa dalam usaha meneruskan agenda perpaduan kerana kita tidak mengetahui musuh yang sebenarnya kerana kebanyakan mereka ialah musuh dalam selimut, api dalam serkam dan gunting dalam lipatan. Sesungguhnya Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 menjadi kemuncak dalam menikmati juadah perpaduan.


Contoh Karangan: Memupuk Semangat Kejiranan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You cannot copy content of this page