Contoh Karangan Langkah Mengatasi Gejala vandalisme

Gejala vandalisme merupakan masalah sosial yang sering berlaku di masyarakat kita. Apakah langkah proaktif yang dapat mengatasi gejala vandalisme di Malaysia.

Langkah Mengatasi Gejala vandalisme

Gejala vandalisme atau laku musnah merupakan gejala sosial yang masih belum ketemu jalan penyelesaiannya malah semakin hari semakin parah bagai luka yang bernanah menjadi pekong di dada masyarakat sehingga tidak mampu untuk ditutup ibarat bangkai gajah tidak dapat ditutup dengan nyiru. Namun, gejala ini perlu dihentikan segera agar tidak menjadi norma baharu dalam kehidupan remaja kita. Oleh itu, satu prakarsa perlu diambil dengan segera bagi membendung gejala ini daripada terus beraja di mata bersultan di hati. Persoalan yang selalu menerjah kotak pemikiran kita ialah, apakah langkah atau tindakan proaktif yang wajar diambil bagi membendung gejala vandalisme ini daripada terus berlaku?

Remaja harus bijak memilih rakan

Dalam isu yang sering dikaitkan remaja, maka pokok perbincangan ini haruslah melihat remaja itu sendiri. Mereka merupakan golongan muda yang banyak menerima pengaruh sama ada baik atau tidak. Perkara ini pernah dinukilkan dalam satu hadis Nabi S.A.W yang menyebut “Perumpamaan teman yang baik dan teman yang buruk adalah seperti seorang penjual minyak wangi dan seorang tukang besi”.

Perkara ini jelas menunjukkan bahawa dalam isu gejala vandalisme, remaja haruslah bijak memilih rakan mereka agar mereka tidak terjerumus dalam gejala yang merosakkan nama ibu bapa bagai menconteng arang ke muka sendiri. Tegasnya, remaja hendaklah menentukan jalan dan kehidupan mereka sama ada ke syurga atau ke neraka.

Ibu bapa memberi asuhan dan didikan agama

Selain itu, Ibu bapa hendaklah memberi asuhan dan didikan agama kepada anak-anak sejak mereka kecil lagi agar pembentukan akhlak dapat diterima dan diserap oleh anak-anak dengan mudah bak kata peribahasa melentur buluh, biarlah dari rebungnya. Hal ini dikatakan demikian kerana ajaran agama mampu menjadi perisai keimanan daripada terlibat dalam gejala vandalisme.

Malah, Ibu bapa hendaklah menunjukkan sifat sayang akan harta benda milik sendiri serta menghormati harta benda orang lain. Dengan cara ini anak-anak akan terasuh dan terdidik untuk menghormati barangan yang bukan milik mereka. Oleh itu, tindakan ibu bapa ini akan dapat menyelamatkan anak-anak daripada terjerumus dalam masalah vandalisme

Mencegah masalah laku musnah di sekolah

Pihak sekolah juga berperanan dalam mencegah masalah laku musnah berlaku di sekolah. Pihak petadbir sekolah hendaklah bersikap tegas dengan tindakan sesetengah pelajar yang merosakkan harta benda di sekolah. Mereka melakukan tindakan memecahkan pintu tandas, merosakkan pagar sekolah, dan menconteng dinding bangunan sekolah akibat tidak berpuas hati lalu mereka melepaskan amarah dengan merosakkan harta benda sekolah. Keadaan ini menyebabkan pihak sekolah terpaksa menanggung kerugian akibat kerosakan yang dilakukan oleh mereka. Oleh itu pihak sekolah perlulah mengambil tindakan yang wajar sebagai pengajaran kepada pelajar lain.

Masyarakat melaporkan kejadian vandalisme

Masyarakat pula tidak harus membutakan mata dan memekakkan telinga serta membiarkan tindakan merosakan harta benda awam berlaku tanpa mengambil apa-apa tindakan. Sikap mereka yang mementingkan diri sendiri seperti enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing telah menyebabkan kes vandalisme berlaku dan semakin berleluasa di negara kita. Masyarakat hendaklah menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa dengan melaporkan kejadian vandalisme. Masyarakat juga hendaklah bekerjasama dengan menyertai program Rakan Cop yang dianjurkan oleh Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Usaha ini akan dapat merapatkan hubungan pasukan polis dengan masyarakat sesuai dengan tema polis dan masyarakat berpisah tiada.

Penutup Karangan Gejala vandalisme

Secara keseluruhannya dalam mencari titik noktah penyelesaian masalah vandalisme, semua pihak perlu bekerjasama bagai aur dengan tebing mencari kata sepakat, sebulat suara, dan melangkah sederap untuk menghapuskan gejala vandalisme yang berlaku dalam kalangan masyarakat demi pembangunan diri serta pembentukan insan kamil bagi melahirkan generasi kepimpinan negara yang bertanggungjawab untuk membangunkan negara dalam acuan dan budaya bangsa Malaysia.


Contoh Karangan: Punca Kes Jenayah dan Langkah Menangani

Leave a Reply

Your email address will not be published.

You cannot copy content of this page