Karangan Kebaikan dan Keburukan Penggunaan Gajet

Peranti elektronik atau “Gajet” menjadi sebahagian daripada kehidupan masyarakat dunia kini. Huraikan Kebaikan dan Keburukan Penggunaan Gajet dalam kalangan pelajar.

Kebaikan dan Keburukan Penggunaan Gajet dalam kalangan Pelajar

Pada alaf berteknologi tinggi ini, keghairahan syarikat-syarikat pengeluar peranti terkenal di dunia iaitu Samsung, Apple, Oppo, dan Xiaomi telah bersaing sesama mereka untuk menjadi pengeluar nombor 1 peranti paling canggih. Hari ini, peranti elektronik menjadi sebahagian daripada kehidupan masyarakat dunia seolah-olah mereka dilahirkan bersama dengan sebuah peranti dan tanpa peranti tersebut hidup tidak sempurna. Keadaan ini telah menimbulkan pelbagai isu yang sering menjadi perbincangan dan perdebatan antara golongan cendekiawan dunia tentang manfaat dan implikasi buruk penggunaan gajet dalam kalangan pelajar. Persoalan yang perlu ditelusuri ialah apakah implikasi daripada penggunaan gajet dalam kalangan pelajar?

Mengakses maklumat dengan cepat

Faedah utama yang perlu diberi perhatian ialah maklumat yang diperlukan oleh pelajar untuk tugasan kerja sekolah atau universiti menjadi mudah disebabkan peranti elektronik ini dilengkapi kemudahan Internet. Keadaan ini menjadikan pelajar mudah untuk mengakses maklumat di mana-mana sahaja mereka berada tanpa sekatan atau gangguan. Malah dengan penggunaan peranti yang lebih canggih seperti telefon pintar, pelajar boleh menyimpan maklumat sebanyak yang mungkin dengan kemudahan storan yang besar. Kelebihan gajet ini dapat dirasai dengan meluas lantaran masalah pandemik yang berlaku di negara kita telah meningkatkan penggunaan gajet. Secara tidak langsung, gajet bukan hanya dilihat sebagai peranti permainan sahaja tetapi mencakupi skop yang lebih besar dan luas.

Sistem perhubungan yang berkesan

Selain itu, peranti elektronik atau gajet ini menjadi satu sistem perhubungan yang berkesan. Bagi yang jauh di luar negara atau di desa, penggunaan gajet dapat menjadi pengganti diri untuk menyampaikan ucapan selamat menyambut perayaan atau hari istimewa seseorang. Bagi seseorang pelajar yang berada di perantauan pula, mereka dapat berhubung dengan ahli keluarga di Malaysia untuk bertanya khabar atau berbual mesra pada hari-hari istimewa seperti Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baharu Cina dan Deepavali. Keadaan ini akan dapat memberi semangat kepada mereka yang berada di perantauan agar mereka sentiasa ingat akan kampung halaman. Hujan emas di negeri orang hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri.

Hilang kemahiran berkomunikasi

Namun setiap perkara yang baik akan ada perkara yang buruk. Alat peranti elektronik atau gajet juga tidak terlepas daripada hukum alam ini kerana tiada yang sempurna dan kesempurnaan itu hanya ada pada Pencipta yang hakiki sahaja. Akibat terlalu menggunakan gajet atau alat peranti elektronik ini, pelajar akan hilang kemahiran berkomunikasi. Mereka akan menggunakan bahasa yang diguna pakai dalam aplikasi perbualan dalam telefon pintar. Keadaan ini akan mewujudkan kesilapan penggunaan bahasa Melayu yang betul. Perkataan singkat atau bahasa slanga diguna pakai dalam perbualan seharian. Keadaan ini menjurus pada kerosakan bahasa Melayu dalam kalangan pelajar. Jika tidak dicegah penggunaan bahasa yang salah ini akan memudaratkan kedaulatan bahasa Melayu.

Masalah kesihatan dan keletihan

Dari sudut yang berlainan pula, masalah kesihatan akan mula menyerang pelajar yang menggunakan gajet dalam penggunaan seharian. Mereka akan mula menghadapi masalah kekurangan waktu rehat. Kebanyakan masa digunakan untuk melayari Internet bagi mendapatkan maklumat. Ada kalanya mereka tidur lewat malam untuk menyelesaikan kerja-kerja memuat turun maklumat daripada Internet. Keadaan ini menyebabkan mereka keletihan lalu hilang fokus dalam tumpuan pembelajaran di sekolah. Masalah ini akan memberi kesan pada penglihatan lalu menyebabkan mereka menghadapi masalah rabun jauh. Jika berlarutan masalah rabun ini akan terjadi lalu pelajar dikehendaki memakai cermin mata.

Penutup Karangan Penggunaan Gajet

Secara keseluruhannya, peranti elektronik merupakan salah satu gaya hidup baharu yang perlu diterima oleh ibu bapa. Mereka hendaklah memastikan anak-anak tidak menyalagunakan kebebasan yang diberikan oleh ibu bapa. Mereka hendaklah bijak menyelesaikan masalah ini bagai menarik rambut di dalam tepung, tepung tidak berselerak rambut tidak putus.


Contoh Karangan berkaitan: Kesan penggunaan telefon bimbit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You cannot copy content of this page