Kandungan
Dasar fiskal (Alat Dasar Ekonomi)
Dasar fiskal ialah satu dasar kerajaan yang dilaksanakan melalui perubahan dasar cukai dan perbelanjaan kerajaan agar keadaan ekonomi yang stabil dapat dicapai.
- Tujuan kerajaan melaksanakan dasar fiscal adalah untuk mencapai keadaan ekonomi yang stabil tanpa inflasi dan pengangguran
- Kerajaan juga ingin mencapai pengagihan pendapatan yang lebih saksama dengan merapatkan jurang pendapatan antara golongan kaya dengan miskin
- Kadar cukai dan perbelanjaan kerajaan boleh diubah berdasarkan masalah ekonomi semasa
Kadar cukai dan perbelanjaan kerajaan boleh digabungkan untuk menghasilkan dasar fiskal yang berbeza seperti yang berikut :
i) dasar fiskal mengembang
ii) dasar fiskal menguncup
Aspek | Dasar fiskal mengembang | Dasar fiskal menguncup |
---|---|---|
Masalah ekonomi | Pengangguran | Inflasi |
Tujuan | Meningkatkan permintaan agregat | Mengurangkan permintaan agregat |
Kadar cukai | Menurunkan kadar cukai | Menaikkan kadar cukai |
Perbelanjaan kerajaan | Meningkatkan perbelanjaan kerajaan | Mengurangkan perbelanjaan kerajaan |
Dasar Fiskal Mengembang
- Bertujuan meningkatkan permintaan agregat melalui penurunan kadar cukai dan pertambahan perbelanjaan kerajaan
- Dasar fiskal mengembang digunakan ketika ekonomi mengalami kemelesetan dan menghadapi masalah pengangguran
- Kadar cukai diturunkan supaya pendapatan boleh guna bertambah
- Kuasa beli dan permintaan pengguna meningkat dan perbelanjaan agregat juga meningkat
- Begitu juga dengan peningkatan perbelanjaan kerajaan
- Permintaan agregat yang meningkat akan menggalakkan pengeluar untuk menambah pengeluaran
- Lebih ramai buruh untuk menambahkan aktiviti pengeluaran
- Masalah pengangguran dikurangkan
Dasar Fiskal Menguncup
- Bertujuan mengurangkan permintaan agregat melalui peningkatan kadar cukai dan pengurangan perbelanjaan kerajaan
- Dasar fiskal menguncup digunakan ketika ekonomi mengalami inflasi
- Kadar cukai dinaikkan supaya pendapatan boleh guna menurun
- Kuasa beli dan permintaan pengguna menurun dan perbelanjaan agregat juga menurun
- Perbelanjaan kerajaan dikurangkan supaya perbelanjaan dan permintaan agregat dikurangkan
- Permintaan agregat yang menurun akan memperlahankan pertumbuhan ekonomi dan menurunkan kuasa beli pengguna
- Tingkat harga umum di pasaran menurun dan kadar inflasi menurun
Hasil kerajaan
- Merupakan semua jenis pendapatan yang diterima oleh kerajaan dalam bentuk cukai, yuran, lesen dan perkhidmatan
- Hasil kerajaan digunakan untuk membiayai perbelanjaan kerajaan
Sumber hasil kerajaan boleh dibahagikan kepada :

Hasil cukai
Cukai merupakan bayaran wajib dalam bentuk wang yang dikenakan oleh kerajaan berdasarkan akta-akta parlimen. Cukai kerajaan terbahagi kepada cukai langsung dan cukai tak langsung
Cukai Langsung
- Sejenis cukai yang beban cukainya tidak boleh dipindahkan kepada pihak lain
- Sumber hasil cukai langsung merupakan sumbangan terbesar hasil kerajaan
- Cukai ini wajib dikenakan atas individu dan firma yang memperoleh sejumlah pendapatan tertentu
Cukai pendapatan individu
- Dikenakan ke atas individu di Malaysia yang memperoleh pendapatan lebih daripada satu amaun tertentu dalam tempoh setahun
- Dikenakan atas pelbagai bentuk pendapatan individu termasuk upah, elaun, bonus, dividen, faedah dan sewa
- Jenis-jenis elaun kakitangan awam yang dikecualikan cukai ialah imbuhan tetapperumahan, imbuhan tetap keraian, bantuan sara hidup dan bantuan khas kewangan
- Tujuan kerajaan mengenakan cukai ini ialah :
- Sebagai sumber hasil kerajaan
- Merapatkan jurang pendapatan antara golongan kaya dan miskin
- Sebagai alat kawalan kerajaan untuk mengatasi masalah inflasi dan kemelesetan ekonomi
Cukai pendapatan syarikat
- Dikenakan atas keuntungan yang diperoleh oleh syarikat berhad
- Kadar cukai pendapatan syarikat antara 19% – 24%
Cukai pendapatan koperasi
- Dikenakan atas keuntungan yang diperoleh oleh koperasi yang beroperasi di Malaysia kecuali koperasi sekolah
- Cukai pendapatan koperasi merupakan sumbangan terendah dalam jumlah hasil cukai langsung kerajaan
Cukai pendapatan petroleum
- Dikenakan atas semua syarikat petroleum yang menjalankan operasi di Malaysia
- Kadar cukai pendapatan petroleum pada tahun taksiran 2016 ialah 38%
Cukai keuntungan hartanah
Dikenakan atas keuntungan yang diperoleh daripada penjualan sesuatu hartanah
Duti setem
- Bayaran yang dikenakan berdasarkan nilai sesuatu harta apabila dokumen harta yang dipindah milik disetemkan.
- Contoh proses pindah milik pembelian hartanah dan permohonan peminjam atau bantuan kewangan
Cukai tanah
- Dikenakan atas pemilik tanah pertanian, tanah perusahaan, dan tanah bangunan
- Bayaran cukai tanah adalah berbeza mengikut lokasi dan jenis tanah
Cukai pintu
Dikenakan atas pemilik rumah dengan tujuan untuk membiayai perbelanjaan penyediaan prasarana dan perkhidatan awam oleh kerajaan tempatan
Cukai Tak Langsung
- Sejenis cukai yang beban cukainya boleh dipindahkan kepada pihak lain
- – Jenis cukai ini dikenakan atas barang dan perkhidmatan yang dikeluarkan oleh pihak firma
- – Pihak firma yang ingin mengekalkan margin keuntungan biasanya akan memindahkan sebahagian atau sepenuhnya beban cukai tersebut kepada pengguna dengan menaikkan harga jualan barang dan perkhidmatan
Duti eksais
- Dikenakan atas barang seperti rokok, tembakau, minuman keras dan kenderaan bermotor yang dikeluarkan dalam negara untuk dijual di pasaran tempatan
- Tujuan kerajaan mengenakan duti eksais ialah :
- Sebagai hasil kerajaan
- Menyekat penggunaan orang ramai teradap barang tertentu seperti rokok dan minuman keras yang membahayakan kesihatan
Duti import
- Dikenakan atas barang penggunaan yang diimport dari luar negara seperti buah-buahan, rokok, minuman keras dan barang-barang mewah
- Tujuan kerajaan mengenakan duti import ialah :
- Sebagai sumber hasil kerajaan
- Melindungi industri tempatan kerana pengenaan duti import menyebabkan harga barang import naik
- Mewujudkan lebihan banyak peluang pekerjaan kerana perkembangan industri tempatan
- Memperbaiki imbangan dagangan dan imbangan pembayaran negara
- Mengatasi masalah lambakan dalam perdagangan antarabangsa iaitu menjual barang dengan harga yang sangat murah di pasaran luar negara berbanding dengan harga di negara asalnya
Duti eksport
- Dikenakan atas komoditi utama seperti petroleum, kelapa sawit, kayu balak dan getah yang diekport ke luar negara
- Tujuan kerajaan mengenakan duti eksport ialah :
- Sebagai hasil kerajaan
- Menyekat eksport barang komoditi mentah yang tidak diproses secara berlebihan dan menggalakkan pengeluar memproses barang komoditi kepada barang siap atau separuh siap sebelum dieksport keluar negara
- Memajukan industri yang berasakan sumber tempatan kerana bahan mentah diproses dalam negara
Cukai barang dan perkhidmatan (GST)
- GST merupakan cukai yang dikenakan ke atas penggunaan barangan dan perkhidmatan yang mula berkuat kuasa pada 1 April 2015
- GST merupakan cukai penggunaan yang berasakan konsep nilai ditambah
- Golongan berpendapatan tinggi yang menggunakan lebih banyak barangan akan membayar lebih banyak cukai, manakala golongan berpendapatan rendah yang menggunakan sedikit barang membayar cukai yang rendah
- Kadar GST pada tahun 2016 adalah 6%
Cukai perjudian
Dikenakan atas firma yang menjalankan operasi perjudian berlesen di Malaysia
Levi
- Dikenakan atas majikan bagi membawa masuk barang dan perkhidmatan ke dalam negara
- Cukai ini biasa digunakan terhadap pekerja asing yang datang ke sesebuah negara
Hasil bukan cukai
Kerajaan juga menerima hasil daripada sumber pendapatan yang lain seperti :
- bayaran denda dan penalti
- bayaran lesen dan permit
- faedah dan pulangan pelaburan kerajaan
- bayaran sewa, harta / aset kerajaan
- dividen, royalti petroleum dan gas asli
- pemberian kerajaan luar negara dan agensi antarabangsa
- dividen daripada saham dan GLC
Kesan Cukai atas Agihan Pendapatan
Agihan pendapatan merujuk kepada pembahagian jumlah pendapatan antara individu atau kumpulan dalam ekonomi.
- Jurang pendapatan yang besar dalam masyarakat boleh memberi kesan negatif terhadap pertumbuhan ekonomi jangka panjang, guna tenaga dan menimbulkan konflik antara kelas sosial
- Kerajaan mengagihkan semula pendapatan dalam masyarakat dengan mengutip cukai daripaad golongan kaya dan memberi bantuan kepada golongan miskin dengan cukai yang diperoleh
- Setiap golongan rakyat harus membayar cukai kepada kerajaan mengikut kadar yang ditentukan
- Kesan cukai adalah berbeza bergantung kepada kategori agihan pendapatan dan jenis cukai yang dikenakan
Cukai yang dikenakan boleh dibahagikan kepada tiga bentuk berdasarkan kadar pengenaan cukai masing-masing iaitu :
a) Cukai progresif
b) Cukai regresif
c) cukai berkadar malar
Cukai progresif
- Cukai progresif ialah bentuk cukai yang kadarnya semakin tinggi apabila pendapatan bertambah
- Apabila pendapatan seseorang individu meningkat, kadar cukaiyang dikenakan terhadapnya adalah lebih tinggi
- Contoh cukai progresif ialah cukai pendapatan individu
- Pendapatan individu dikenakan kadar cuka yang berbeza berdasarkan tingkat pendapatan boleh cukai masing-masing
Cukai regresif
- Cukai yang kadarnya semakin menurun apabila pendapatan bertambah
- Bentuk cukai ini memberi beban yang lebih besar atas golongan berpendapatan rendah berbanding dengan golongan berpendapatan tinggi
- Contohnya cukai barang dan perkhidmatan (GST)
- Kerajaan mengenakan kadar cukai yang sama bagi semua pengguna tetapi golongan yang berpendapatan rendah menerima kesan yang lebih besar
Cukai berkadar malar
- Bentuk cukai yang kadarnya tetap walaupun pendapatan berubah
- Cukai berkadar malar menetapkan kadar cukai yang sama bagi semua pembayar cukai tanpa mengira jumlah pendapatan syarikat
- Contohnya cukai pendapatan syarikat, firma dikenakan cukai pada kadar yang sama tanpa mengira pendapatan yang diperoleh pada tahun tersebut
Perbelanjaan kerajaan
Kerajaan akan membuat perbelanjaan dengan menggunakan sumber hasil cukai dan hasil bukan cukai
- Perbelanjaan kerajaan boleh dibahagikan kepada dua jenis utama iaitu :
- perbelanjaan mengurus
- perbelanjaan pembangunan
Perbelanjaan mengurus dan perbelanjaan pembangunan boleh dikelaskan berdasarkan ciri-ciri yang berikut :
Perbelanjaan mengurus | Perbelanjaan pembangunan |
---|---|
Perbelanjaan semasa kerajaan yang berulang pada setiap tahun | Perbelanjaan pelaburan kerajaan atas projek pembangunan sosial ekonomi negara |
Membolehkan pengurusan dan pentadbiran harian kerajaan beroperasi dengan lancar | Meningkatkan pembetukan modal negara |
Contohnya, bayaran emolumen, bayaran khidmat hutang negara, pencen dan ganjaran, serta bekalan dan perkhidmatan | Contohnya, perbelanjaan sektor perkhidmatan ekonomi sosial, keselamatan dan pentadbiran am |
Perbelanjaan mengurus dan Perbelanjaan pembangunan
Perbelanjaan mengurus
- Merujuk kepada perbelanjaan semasa kerajaan yang berulang-ulang pada setiap tahun untuk membolehkan pengurusan dan pentadbiran harian kerajaan beroperasi dengan lancar dan berkesan
- Tidak dipengaruhi oleh tingkat pendapatan negara
- Berikut adalah pelbagai perbelanjaan mengurus :
Emolumen
- bayaran gaji dan upah kepada kakitangan kerajaan
- merupakan perbelanjaan mengurus kerajaan yang terbesar
Bayaran khidmat hutang
Bayaran balik pokok dan faedah secara ansuran bagi menjelaskan hutang dalam atau luar negara
Bekalan dan perkhidmatan
- perbelanjaan atas penyelenggaraan dan pembaikan harta, pembelian bekalan dan bahan untuk kegunaan jabatan kerajaan serta perbelanjaan keraian pegawai kerajaan
- bertujuan untuk mengekalkan mutu perkhidmatan dan kemudahan awam yang disediakan oleh kerajaan
Pencen dan ganjaran
- pencen merupakan bayaran bulanan kepada pegawai kerajaan yang telah bersara
- ganjaran merupakan bayaran sekali sahaja kepada kakitangan kerajaan ketika bersara
Pemberian dan serahan kepada kerajaan negeri
- jumlah pemberian kepada setiap kerajaan negeri adalah berasaskan kepada bilangan penduduk dalam negeri
- sebahagian besar pemberian ini digunakan untuk membiayai kerja-kerja penyelenggaraan jalan raya
Pemberian subsidi
- bayaran kerajaan kepada pengeluar untuk menurunkan harga barang dan perkhidmatan dalam pasaran
- kerajaan juga memberi subsidi kepada sesetengah industri dalam bentuk pemberian diskuan untuk penggunaan elektrik
Biasiswa, dermasiswa dan bantuan kerjaan
Biasiswa, dermasiswa dan bantuan erajaan adalah pemberian wang kepada murid-murid di sekolah dan pelajar universiti di dalam dan luar negara
Perbelanjaan pembangunan
- Merujuk kepada perbelanjaan pelaburan kerajaan dalam projek-projek pembangunan ekonomi negara
- Bertujuan untuk meningkatkan pembentukan modal negara, guna tenaga dan pendapatan negara.
- Juga bermatlamat untuk meningkatkan taraf hidup dan tingkat kebajikan rakyat pada mas depan dengan menyediakan pelbagai kemudahan dan infrastruktur kepada rakyat
Berikut adalah perbelanjaan pembangunan mengikut sektor :
Sektor perkhidmatan ekonomi
Perbelanjaan untuk menyediakan prasarana dan kemudahan awam bagi meningkatkan kualiti hidup rakyat dan pendapatan negara. Subsektornya terdiri daripada :
- pertanian dan pembangunan luar bandar
- kemudahan awam
- perdagangan dan perindustrian
- pengangkutan
- perhubungan
Sektor perkhidmatan sosial
Perbelanjaan untuk membina bangunan sekolah, rumah dan hospitak serta pembangunan sumber manusia. Subsektornya terdiri daripada :
- pendidikan dan latihan
- kesihatan
- perumahan
sektor keselamatan
Perbelanjaan untuk membeli peralatan pertahanan, tentera dan membina bangunan balai polis. Subsektornya terdiri daripada:
- pertahanan
- keselamatan dalam negeri
sektor pentadbiran am
Perbelanjaan untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan awam seperti pembinaan infrastruktur ICT, pengembangan ruang pejabat dan bayaran kelengkapan pejabat
Belanjawan negara
Belanjawan negara ialah suatu penyata tentang anggaran jumlah hasil yang diperoleh dan anggaran jumlah perbelanjaan yang akan dilakukan untuk tahun kewangan akan datang.
Belanjawan negara merupakan anggaran pendapatan yang akan diterima dibandingkan dengan segala perbelanjaan yang akan dibuat pada masa depan
Antara tujuan belanjawan negara ialah :
Memastikan peruntukan dikawal agar jumlah perbelanjaan tidak melebihi jumlah hasil negara |
Mempengaruhi aktiviti ekonomi untuk mencapai matlamat ekonomi yang diingini |
Mencapai pembangunan dan kadar pertumbuhan ekonomi yang mampan |
Mencapai kestabilan ekonomi dengan mengawal kadar inflasi dan pengangguran |
- Perbelanjaan dalam belanjawan negara termasuklah perbelanjaan mengurus dan perbelanjaan pembangunan yang dibayar oleh kerajaan
- Pendapatan pula merujuk kepada hasil cukai dan hasil bukan cukai yang diterima oleh kerajaan
- Belanjawan negara boleh dibahagikan kepada tiga jenis iaitu :
- belanjawan seimbang
- belanjawan defisit
- belanjawan lebihan
Belanjawan seimbang
Belanjawan seimbang merujuk kepada keadaan jumlah hasil kerajaan adalah bersamaan dengan jumlah perbelanjaan kerajaan.
- Jenis belanjawan ini dilaksanakan untuk mengukuhkan kedudukan kewangan sektor awam dan kestabilan ekonomi apabila ekonomi mencapai tingkat guna tenaga penuh
- Untuk memastikan semua perbelanjaan kerajaan menggunakan hasil yang diperoleh sepenuhnya
- Oleh itu, tiada baki yang tertinggal dan tiada perbelanjaan yangdibayar dengan hutang
- Belanjawan seimbang mengekalkan keadaan yang stabil dalam ekonomi
Belanjawan defisit
Belanjawan defisit berlaku apabila jumlah hasil kerajaan kurang daripada jumlah perbelanjaan kerajaan.
Dilaksanakan semasa ekonomi menghadapi masalah pengangguran atau kemelesetan ekonomi melalui peningkatan perbelanjaan kerajaan, pengurangan cukai atau kedua-duanya secara serentak.
Peningkatan perbelanjaan kerajaan
- Dengan menambahkan perbelanjaan mengurus serta perbelanjaan pembangunan kerajaan
- Tindakan ini akan mencipta peluang pekerjaan kepada masyarakat dan menambahkan pendapatan individu serta negara
- Kesannya, kuasa beli masyarakat meningkat
Pengurangan cukai
- Kerajaan akan menurunkan kadar cukai
- Kesannya pendapatan boleh guna dan kuasa beli masyarakat meningkat
- Permintaan barang dan perkhidmatan dalam pasaran meningkat
- Menggalakkan pertumbuhan ekonomi
Belanjawan lebihan
Belanjawan lebihan berlaku apabila jumlah hasil kerajaan lebih daripada jumlah perbelanjaan kerajaan.
Dilaksanakan semasa ekonomi menghadapi masalah inflasi melalui pengurangan perbelanjaan kerajaan,peningkatan cukai atau kedua-duanya secara serentak.
Pengurangan perbelanjaan kerajaan
- Dengan mengurangkan perbelanjaan mengurus serta perbelanjaan pembangunan kerajaan
- Tindakan ini akan memperlahankan pertumbuhan ekonomi dalam negara dan tingkat harga barang umum akan menurun
- Kesannya, inflasi dapat dikawal dan kos sara hidup masyarakat telah menurun
Peningkatan cukai
- Kerajaan akan menaikkan kadar cukai
- Kesannya pendapatan boleh guna dan kuasa beli masyarakat menurun
- Permintaan barang dan perkhidmatan dalam pasaran menurun dan masalah inflasi akibat permintaan yang berlebihan dalam ekonomi dapat distabilkan
- Tingkat harga umum baru bagi barang dan perkhidmatan dalam pasaran juga akan menurun
Kesan Alat Dasar Ekonomi atas Objektif Makroekonomi Negara
Alat dasar ekonomi yang berbeza boleh digunakan untuk mengatasi masalah ekonomi. Alat-alat dasar ekonomi yang digunakan akan memberi kesan yang berbeza atas objektif makroekonomi.

Cukai
- Pengenaan cukai boleh mempengaruhi ppendapatan boleh guna pengguna dan keupayaan firma untuk melabur
- Kesannya permintaan agregat dalam pasaran dan tinkat pengeluaran fira juga turut berubah
Objektif Makroekonomi | Menaikkan kadar cukai | Menurunkan kadar cukai |
---|---|---|
Guna tenaga penuh | Guna tenaga akan berkurang kerana firma mengurangkan pekerja akibat pengurangan pengeluaran | Guna tenaga akan bertambah kerana firma menambahkan pekerja akibat peningkatan pengeluaran |
Kestabilan harga | Tingkat harga umum akan menurun akibat lebihan penawaran barang dalam pasaran oleh firma | Tingkat harga umum akan meningkat akibat lebihan permintaan barang dalam pasaran oleh isi rumah |
Pertumbuhan ekonomi | Pertumbuhan ekonomi menjadi perlahan kerana keluaran dan pendapatan negara merosot | Pertumbuhan ekonomi menjadi pesat kerana keluaran dan pendapatn negara meningkat |
Kestabilan imbangan pembayaran | Aliran masuk wang ke dalam negara merosot kerana kos pelaburan dalam ekonomi meningkat | Aliran masuk wang ke dalam negara meningkat kerana kos pelaburan dalam ekonomi menurun |
Perbelanjaan kerajaan
- Sekiranya kerajaan menambahkan perbelanjaan pembangunan, aktiviti pengeluaran dalam ekonomi akan meningkat dan seterusnya mencipta peluang pekerjaan kepada masyarakat
- Kadar pengangguran dalam negara akan menurun dan kuasa beli masyarakat akan meningkat
- Perbelanjaan pembangunan kerajaan untuk menyediakan pelbagai kemudahan dalam negara juga dapat menarik aliran masuk modal pelaburan dari luar negara atau tempatan kepada ekonomi negara
Objektif makroekonomi | Meningkatkan perbelanjaan kerajaan | Menurunkan perbelanjaan kerajaan |
---|---|---|
Guna tenaga penuh | Guna tenaga akan meningkat kerana peningkatan dalam peluang pekerjaan kesan daripada pelaksanaan projek kerajaan | Guna tenaga akan menurun kerana peluang pekerjaan yang terhad kesan daripada pengurangan projek pembangunan kerajaan |
Kestabilan harga | Tingkat harga umum akan meningkat akibat lebihan permintaan barang dalam pasaran | Tingkat harga umum akan menurun akibat kurangan permintaan barang dalam pasaran |
Pertumbuhan ekonomi | Pertumbuhan ekonomi menjadi pesat kerana keluaran dan pendapatan negara meningkat | Pertumbuhan ekonomi menjadi perlahan kerana keluaran dan pendapatan negara merosot |
Kestabilan imbangan pembayaran | Aliran masuk wang ke dalam negara meningkat kerana banyak pelaburan kerajaan dalam ekonomi | Aliran masuk wang ke dalam negara merosot kerana kurang pelaburan kerajaan dalam ekonomi |
Nota Dasar Kewangan (Alat Dasar Ekonomi)