Contoh Karangan SPM: Kepentingan Teknologi maklumat

Penggunaan alat-alat teknologi maklumat seperti telefon bimbit dan komputer menjadi kehidupan harian manusia. Apakah kepentingan teknologi maklumat kepada kehidupan masyarakat?

Kepentingan Teknologi maklumat kepada Masyarakat

Pada alaf 21 ini, masyarakat telah menguna pakai pelbagai peranti untuk mendapatkan maklumat. Kecanggihan teknologi maklumat dan telekomunikasi ini telah menjadikan semua orang yang jauh menjadi dekat. Berita di sebarang lautan mampu diperoleh dalam sekelip mata. Malah, teknologi maklumat dan komunikasi ini telah menjadi sebahagian daripada kehidupan manusia, ibarat kata Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, seniman agung negara, irama dan lagu tidak dapat dipisahkan, kalau dipisahkan pincanglah lagu. Begitulah, hubungan akrab antara manusia dengan teknologi maklumat dan telekomunikasi. Persoalannya, apakah peranan yang penting dalam teknologi maklumat kepada masyarakat hari ini sehingga menjadi sebahagian daripada kehidupan?

Medium masyarakat berkongsi idea dan pendapat

Salah satu peranan teknologi maklumat yang sangat signifikan dalam landskap kehidupan hari ini ialah teknologi tersebut menjadi medium masyarakat berkongsi idea dan pendapat. Kemahiran berkomunikasi ini sejak dahulu telah pun wujud, namun perubahan kemajuan dunia menjadikan komunikasi itu lebih mudah untuk disampaikan kepada sesiapa sahaja. Malah urusan kerja juga boleh menggunakan medium tersebut untuk mengadakan mesyuarat bersama dengan kakitangan. Baru-baru ini, persidangan APEC 2020 telah berlangsung di Malaysia, namun peserta persidangan hanya bersidang secara maya sahaja di hadapan komputer masing- masing. Mereka telah berkongsi pandangan dan pendapat secara maya yang dihoskan oleh Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin bin Haji Mohamad Yassin.

Mudah memperoleh pelbagai maklumat

Selain itu, masyarakat mudah memperoleh pelbagai maklumat dengan menggunakan teknologi maklumat dan telekomunikasi. Masyarakat dapat memperoleh maklumat untuk kegunaan diri sendiri seperti mencari maklumat untuk keperluan minat dan kecenderungan. Selain itu, umat manusia tidak lagi dianggap seperti katak di bawah tempurung apabila semua maklumat mudah diperoleh. Dengan cari ini, mereka sentiasa peka dengan situasi yang berlaku sama ada di dalam negara atau di luar negara. Secara tidak langsung, kita dapat melahirkan generasi yang bermaklumat dan berpengetahuan namun pemantauan amat perlu dilakukan oleh semua pihak yang terlibat dalam pembangunan teknologi maklumat dan komunikasi agar kecanggihan ini tidak menjadi seperti senjata makan tuan, yang akhirnya merosakkan rakyat dan negara.

Perkembangan perniagaan atas talian

Bukan itu sahaja, akibat pandemik COVID-19 yang berlaku pada 2020, perniagaan atas talian mendapat sambutan di luar jangka bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Perniagaan dari rumah mula beroperasi dengan banyak dan mendapat sambutan daripada penduduk setempat yang tidak dapat bergerak akibat perintah kawalan pergerakan yang dilakukan oleh kerajaan bermula dari PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) sehingga PKPB( Perintah Kawalan Pergerakan ). Masyarakat mula mempelajari teknologi maklumat untuk memasarkan produk mereka. Secara tidak langsung kelas-kelas dalam talian yang memberi tutorial tentang perniagaan dalam talian seperti berdagang dalam Shopee, Lazada, dan pelbagai lagi platform menjadi sasaran orang yang ingin mencuba nasib berdagang secara maya.

Mengasaskan bakat kreativiti manusia

Seterusnya, teknologi maklumat dan komunikasi telah mengasaskan bakat kreativiti manusia dalam mereka cipta perisian atau aplikasi untuk kegunaan manusia sama ada sebagai medium menjana pendapatan, medium hiburan, atau medium mereka bentuk produk. Kemahiran-kemahiran alternatif ini dapat diperoleh melalui tutorial yang dipelajari dalam internet. Laman ‘Youtube’ bukan sahaja menghidangkan hiburan tetapi juga tutorial pembelajaran kendiri yang boleh dilakukan di rumah. Secara tidak langsung, teknologi maklumat dan komunikasi ini dapat meningkatkan pengetahuan, memberikan kemahiran dan menjadikan manusia terus dapat menjalani kehidupan walaupan dalam situasi pergerakan yang terhad.

Penutup Karangan Kepentingan Teknologi maklumat

Akhirul kalam, teknologi maklumat dan komunikasi menjadi medium utama kepada ibu bapa, pelajar, masyarakat, peniaga, pekerja, majikan, dan pemimpin untuk terus bergerak dan berhubung secara maya. Secara tidak langsung, pandemik ini telah membuka peluang dan ruang kepada semua untuk mengetahui, mempelajari dan mempratikkannya dalam kehidupan agar dapat terus bertahan menghadapi wabak pandemik COVID-19.


Contoh Karangan: Kebaikan Kemajuan Teknologi maklumat

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You cannot copy content of this page