Karangan SPM – Langkah Mengatasi Masalah Sosial

Masalah sosial dalam kalangan remaja telah merosakkan keharmonian masyarakat kita. Apakah langkah yang perlu diambil untuk mengatasi masalah sosial ini?

Langkah untuk Mengatasi Masalah Sosial Remaja

“Seorang lelaki telah membunuh bapanya”, merupakan sebahagian daripada tragedi yang kerap kita baca dan menjadi tajuk utama dalam setiap media perdana sama ada media cetak atau media elektronik. Tragedi berdarah ini bukan pertama kali didengari tetapi masalah ini semakin kerap berlaku lantaran masalah sosial yang masih belum dapat kita selesaikan secara menyeluruh. Masalah sosial secara umumnya ialah masalah yang merosakkan masyarakat dari segi budaya dan norma kehidupan yang rasional. Oleh itu, kita seharusnya membantu pihak berkuasa menangani masalah sosial ini. Persoalannya, apakah tindakan yang patut diambil oleh pelbagai pihak bagi mengatasi masalah sosial ini?

Aktiviti pencegahan dari rumah

Antara Langkah holistik yang mesti diambil ialah ibu bapa memulakan aktiviti pencegahan dari rumah. Ibu bapa hendaklah menggunakan nilai kekeluargaan untuk melindungi ahli keluarga daripada terjerumus dalam kancah kebinasaan. Nilai kasih sayang merupakan nilai yang paling utama yang mesti dipupuk dalam keluarga. Mereka hendaklah saling menyayangi antara ibu bapa dengan anak-anak sehingga nilai ini mampu menjadi benteng kepada anak-anak untuk menolak pujukan rakan-rakan yang cuba mempengaruhi mereka. Sebagai contoh , ibu bapa menzahirkan kasih sayang dengan mengisi masa lapang anak-anak melalui pelbagai aktiviti berfaedah yang dilakukan bersama-sama. Oleh itu, ibu bapa menjadi benteng kuat dalam usaha pencegahan ini.

Remaja perlu bijak mencari kenalan

Dari sudut Langkah kawalan diri pula, remaja perlu bijak untuk mencari kenalan. Mereka hendaklah menjadikan agama sebagai kayu pengukur dalam memilih rakan. Pada masa yang sama remaja hendaklah menjadikan ibu bapa sebagai rujukan sebelum hendak mengenali seseorang kenalan. Walaupun kelihatan cara ini agak kolot tetapi mampu mengekang gejala ini daripada meracuni remaja. Oleh itu, remaja hendaklah menguatkan pegangan agama agar menjadi panduan dalam hidup termasuklah dalam hal memilih rakan.

Kerjasama jiran tetangga dan masyarakat

Langkah lain yang wajar diberi perhatian ialah kerjasama daripada jiran tetangga dan masyarakat. Semangat kejiranan hendaklah dipupuk agar dapat membantu menyelesaikan masalah sosial ini. Sikap ‘suka menjaga tepi kain orang’ hendaklah dilihat dari sudut yang positif. Jiran tetangga hendaklah memantau aktiviti anak-anak jiran yang sering melepak dengan rakan yang tidak dikenali. Mereka hendaklah menegur atau menasihati anak-anak jiran agar tidak melakukan perbuatan yang boleh menconteng arang ke muka ibu bapa mereka. Tindakan ini akan menjadikan hubungan kejiranan berubah menjadi hubungan kekeluargaan tetapi dalam skop yang lebih besar. Oleh itu, peranan masyarakat dan komuniti setempat amat penting dalam mencegah masalah sosial.

Peranan kerajaan

Langkah terakhir yang turut menjadi usaha penting untuk mencegah masalah sosial ini adalah melalui peranan kerajaan. Kerajaan hendaklah mengambil beberapa langkah yang wajar mengikut sektor. Antara langkah yang diambil oleh kerajaan adalah melalui sektor pendidikan. Kementerian Pendidikan Malaysia hendakalah cakna dengan usaha mencegah masalah sosial. Institusi pendidikan negara merupakan tempat yang dapat mencegah gejala sosial ini melalui aktiviti kurikulum dan kokurikulum. Kerajaan juga mampu menggalas tanggungjawab ini dengan mengambil pendekatan yang lebih mesra rakyat dan bukan sekadar penguatkuasaan semata-mata.

Penutup Karangan Masalah Sosial

Secara keseluruhannya, setiap penyakit ada penawarnya, setiap masalah ada penyelesaiannya, maka masalah yang meruncing ini turut ada jalan penyelesaian dan titik noktahnya. Oleh itu, semua pihak mestilah berganding bahu dan bergembleng tenaga untuk menyelesaikan masalah sosial yang membelenggu masyarakat kita ini. Sesungguhnya, sebatang lidi dapat dipatahkan tetapi seikat lidi tidak mampu dipatahkan. Maka, kerjasama daripada semua pihak amat diperlukan demi memastikan negara terus bebas daripada gejala sosial yang akan merosakkan pembangunan insan masyarakat Malaysia.


Contoh Karangan: Punca Masalah Disiplin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You cannot copy content of this page