Nota Ekonomi Tingkatan 4 : Sistem Ekonomi (Bab1)

Sistem ekonomi merujuk kepada peraturan yang diamalkan sesebuah negara dalam menguruskan ekonominya. Terdapat tiga jenis sistem ekonomi yang utama iaitu : Pasaran Bebas, Perancangan Pusat dan Campuran.

Sistem Ekonomi Pasaran Bebas

Sistem ekonomi pasaran bebas (kapitalis) ialah satu sistem ekonomi yang dijalankan tanpa campur tangan kerajaan. Individu dan pihak swasta bebas memiliki faktor pengeluaran dan bebas untuk mengguna atau mengubah pemilikan faktor pengeluaran untuk memenuhi utiliti dan matlamat pengeluaran Pihak kerajaan tidak campur tangan tetapi menetapkan undang- undang dan peraturan yang perlu diikuti.

Penentu kehendak
Pengguna dan pihak pengeluar berhak membuat keputusan ekonomi untuk menyelesaikan masalah asas ekonomi. Pengguna mempunyai kebebasan memilih kerana mempunyai kuasa beli iaitu kemampuan untuk membeli barang dan perkhidmatan.

Pembuat pilihan
Individu bebas membuat pilihan terhadap barangan yang ingin dibeli dan jenis pekerjaan yang ingin diceburi. Motif individu ialah untuk memaksimumkan kepuasan. Pengeluar bebas memiliki dan menggunakan faktor pengeluaran untuk mengeluarkan barang yang memaksimumkan untung. Pengeluar juga bebas memilih teknik pengeluaran yang paling cekap dalam pengeluaran untuk meminimumkan kos pengeluaran.

Dalam Sistem Ekonomi Pasaran Bebas, firma bebas bersaing melalui persaingan harga seperti mengubah harga untuk meningkatkan jualan. Firma juga boleh menawar hadiah percuma untuk bersaing dengan pengeluar yang lain. Biasanya, harga barang ditentukan oleh mekanisme harga iaitu kuasa pasaran.

Contoh negara yang mengamalkan Sistem Ekonomi Pasaran Bebas ialah Amerika Syarikat dan Hong Kong.

Kelebihan sistem ekonomi pasaran bebas

Kepuasan individu dan masyarakat dapat dimaksimumkan
– Individu sebagai pembuat keputusan akan membuat keputusan yang bijak supaya dapat memaksimumkan kepuasan masing-masing.

Kebebasan yang luas untuk melakukan kegiatan ekonomi
– Pengguna bebas memilih barang yang dikehendaki.
– Pengeluar bebas mengeluarkan barang dan perkhidmatan

Kecekapan dalam penggunaan sumber
– Setiap pengeluar akan cuba mengeluarkan sumber secara optimum
– Menghasilkan output maksimum pada kos yang minimum
– Supaya boleh terus kekal dalam pasaran

Menggalakkan perkembangan teknologi dan inovasi
– Persaingan menggalakkan peningkatan teknologi dan reka cipta baharu
– Kos pengeluaran dapat dikurangkan dan daya pengeluaran meningkat

Kelemahan sistem ekonomi pasaran bebas

Mewujudkan masyarakat materialistik
– Individu cenderung untuk mementingkan
kebendaan dan mencari kekayaan tanpa batasan

Mewujudkan ketidakstabilan ekonomi
– Turun naik harga pasaran akibat perubahan permintaan dan penawaran menyebabkan ketidakstabilan ekonomi (inflasi dan kemelesetan ekonomi)

Agihan pendapatan yang tidak setara
– Jurang pendapatan antara golongan kaya dan miskin semakin besar

Mewujudkan kuasa monopoli koporat besar
– Persaingan hebat menyebabkan firma yang kecil dan baharu tidak bersaing dengan firma besar
– Ini menggalakkan firma besar menguasai pasaran dan mendapat keuntungan besar

Kesan luaran negatif
– Firma tidak megambil kira kesan negatif yang wujud demi mencapai keuntungan yang maksimum.
– Contohnya pencemaran


Sistem Ekonomi Perancangan Pusat

Sistem Ekonomi Perancangan Pusat (sosialis / komunis) merupakan sistem ekonomi yang dikawal sepenuhnya oleh kerajaan. Semua faktor pengeluaran dimiliki secara mutlak oleh kerajaan atau badan perancangan pusat. Individu dan pengeluar tidak mempunyai kebebasan untuk memiliki dan menggunakan faktor pengeluaran.

Penentu kehendak
Segala keputusan ekonomi yang berkaitan dengan masalah asas ekonomi akan diselesaikan oleh kerajaan. Kerajaan merancang dan mengawal peruntukan faktor pengeluaran serta corak agihan barang dan perkhidmatan kepada masyarakat.

Pembuat pilihan
Individu tidak mempunyai kebebasan dalam membuat pilihan barangan yang ingin dibeli dan jenis pekerjaan yang ingin diceburi. Pengeluar juga tiada kebebasan dalam pemilikan dan penggunaan faktor pengeluaran untuk mengeluarkan barang. Kerajaan yang membuat pilihan jenis dan kaedah barang dikeluarkan.

Dalam Sistem Ekonomi Perancangan Pusat, pihak kerajaan memainkan peranan utama dalam menyelesaikan masalah asas ekonomi dan mengawal tingkat harga pasaran. Oleh itu, tidak wujud persaingan dalam sistem ini. Matlamat kerajaan ialah memaksimumkan kebajikan dan keadilan sosial.

Contoh negara yang mengamalkan Sistem Ekonomi Perancangan Pusat ialah Cuba dan Korea Utara.

Kelebihan Sistem Ekonomi Perancangan Pusat

Agihan pendapatan yang seimbang
– Semua barang dan perkhidmatan diagihkan secara sama rata
– Jurang pendapatan menjadi kecil

Barang awam dan kebajikan masyarakat diutamakan
– Kerajaan bermotifkan kebajikan masyarakat maksimum.
– Kerajaan hanya akan mengeluarkan barang dan perkhidmatan yang diperlukan oleh masyarakat

Peruntukan sumber ke arah kebajikan rakyat
– Ini kerana faktor pengeluaran diagihkan melalui badan perancangan pusat
– Mengambil kira kos sosial yang mungkin berlaku

Pengeluaran secara berskala besar
– Kerajaan sebagai pengeluar tunggal dalam pasaran dapat melakukan aktiviti pengeluaran secara besar-besaran
– Menikmati ekonomi bidangan iaitu kos pengeluaran menjadi rendah dan harga barangan turut rendah

Kelemahan Sistem Ekonomi Perancangan Pusat

Pilihan individu terhad
– Masyarakat tidak mempunyai kebebasan kerana semua keputusan dibuat oleh kerajaan

Kurang motivasi dan intensif bekerja kuat
– Individu tidak dibenarkan mengumpulkan kekayaan secara bebas.
– Menyebabkan mereka tiada galakan untuk terus bekerja dan berusaha

Keusahawanan individu terhad
– Keusahawanan dan inovasi tidak dapat berkembang pesat kerana tiada persaingan
– Menyebabkan ekonomi tidak berkembang maju

Risiko kesilapan dalam membuat keputusan ekonomi
– Keputusan ekonomi dilakukan oleh sekumpulan kecil pemerintah
– Risiko untuk membuat keputusan tidak tepat adalah tinggi
– Boleh menjejaskan kebajikan rakyat


Sistem Ekonomi Campuran

Sistem Ekonomi Campuran menggabungkan pelbagai ciri kebaikan sistem ekonomi pasaran bebas
dan sistem ekonomi perancangan pusat. Sistem ini menggunakan pasaran serta membenarkan kerajaan campur tangan dalam kegiatan ekonomi. Pihak kerajaan dan kuasa pasaran atau mekanisme pasaran bersama-sama memainkan peranan untuk menjamin aktiviti ekonomi berjalan lancar Kerajaan akan campur tangan jika berlaku ketidakstabilan dan penyelewengan dalam aktiviti ekonomi.

Individu dan pihak swasta bebas memiliki faktor pengeluaran dengan kawalan kerajaan melalui undang-undang dan peraturan untuk menjaga kebajikan masyarakat. Terdapat faktor pengeluaran tertentu yang hanya dimiliki oleh pihak kerajaan untuk mengeluarkan barang awam.

Penentu kehendak
Pengguna dan pihak pengeluar berhak dalam membuat keputusan ekonomi. Pengguna mempunyai kuasa menentukan corak permintaan barang dan perkhidmatan. Firma mengeluarkan barang ekonomi untuk memperoleh keuntungan yang maksimum. Manakala, Kerajaan akan membuat keputusan dan mengeluarkan barang awam yang tidak dikeluarkan oleh pihak swasta.

Pembuat pilihan
Individu bebas membuat pilihan terhadap barangan yang ingin dibeli berdasarkan kemampuan dan bebas memilih jenis pekerjaan yang ingin diceburi. Pengeluar bebas memiliki dan menggunakan faktor pengeluaran untuk mengeluarkan barang dengan memilih teknik yang paling cekap untuk meminimumkan kos. Kerajaan mengawal kebebasan melalui undang-undang dan peraturan. Kerajaan akan memilih teknik pengeluaran yang memaksimumkan kebajikan masyarakat.

Dalam Sistem Ekonomi Campuran, individu dan firma bebas bersaing secara sihat dengan menggunakan kaedah yang paling cekap. Kerajaan pastikan persaingan yang sihat supaya tiada penindasan. Harga barang ekonomi ditentukan oleh mekanisme harga. Kerajaan akan mengawal harga melalui subsidi / cukai dan melalui dasar harga maksimum / minimum. Selain itu, kerajaan akan menentukan harga barang awam dan tiada persaingan untuk barang awam.

Contoh negara yang menggunakan Sistem Ekonomi Campuran ialah Malaysia, Thailand dan Singapura.

PihakMatlamat
Penggunamemaksimumkan kepuasan diri (utiliti)
Pengeluarmemaksimumkan keuntungan
Kerajaanmemaksimumkan kebajikan masyarakat
Matlamat Pengguna, Pengeluar dan Kerajaan.

Tujuan campur tangan kerajaan

  • Membekalkan barangan awam seperti hospital, sekolah
  • Melaksanakan program ekonomi awam
  • Mengawal harga barang dan perkhidmatan untuk barang kawalan, mengadakan pemantauan
  • Mengurangkan kesan eksternaliti melalui penguatkuasaaan undang-undang
  • Menstabilkan ekonomi
  • Merapatkan jurang pendapatan melalui cukai pendapatan, pemberian bantuan kewangan

Sistem Ekonomi Islam

Ekonomi Islam merupakan sistem ekonomi campuran yang berlandaskan Al-Quran dan Hadis. Segala keputusan haruslah berlandaskan syariat Islam. Pihak kerajaan, mekanisme harga dan pihak swasta memainkan peranan penting untuk memastikan aktiviti ekonomi berjalan dengan lancar, produktif, adil dan saksama.

CIRI-CIRI SISTEM EKONOMI ISLAM

Ekonomi Islam merupakan satu cabang dalam sistem ekonomi campuran dan mempunyai ciri yang mirip dengan sistem ekonomi campuran.

Sebahagian daripada keseluruhan sistem hidup Islam
– Mencapai matlamat sistem ekonomi Islam iaitu al-Falah (kebahagian di dunia dan akhirat)
–  Keputusan ekonomi berlandaskan hukum Islam
–  Aktiviti tidak halal seperti perjudian dan penipuan diharamkan

Persaingan yang adil dan saksama
– Persaingan yang sihat wujud dalam kalangan pengeluar
– Individu dan pengeluar bebas memiliki kekayaan asalkan tidak bertentangan dengan hukum Islam
– Kerajaan mengawal kebebasan pengguna dan pengeluar melalui undang-undang

Kepentingan antara individu dan masyarakat yang seimbang
– Kepentingan awam lebih diutamakan berbanding kepentingan individu
–  Kerajaan mengeluarkan barang awam untuk kebajikan masyarakat
– Golongan yang mampu akan membayar zakat untuk diagihkan kekayaan mereka kepada golongan kurang mampu

Pemilikan faktor pengeluaran:

– Semua kekayaan milik mutlak Allah
– Manusia sebagai pemegang amanah.
– Individu dan firma bebas mencari kekayaan tetapi tidak bercangah dengan syarak
– Sumber digunakan dengan cekap / tanpa pembaziran

Dalam Sistem Ekonomi Islam, Individu dan firma bebas membuat keputusan tentang ekonomi berdasarkan prinsip Islam. Kerajaan akan memastikan kebajikan rakyat terjamin. Individu atau firma bebas menentukan jenis barang tetapi tidak bercanggah dengan syarak / barang halal /pekerjaan tidak bercanggah dengan syarak.

Persaingan digalakkan secara adil dan saksama. Setiap individu yang bersaing mesti mempunyai peluang dann kemudahan yang sama. Manakala, harga ditentukan oleh mekanisme harga berlandaskan hukum syarak untuk barang ekonomi. Jika berlaku ketidakadilan, kerajaan harus mengawal melalui undang- undang seperti dasar kawalan harga.

Contoh negara yang menggunakan Sistem Ekonomi Islam ialah Arab.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You cannot copy content of this page