Karangan SPM – Langkah mengatasi masalah disiplin

Masalah disiplin pelajar merupakan cabaran yang besar terhadap pihak sekolah dan guru. Apakah langkah untuk mengatasi masalah disiplin ini?

Langkah mengatasi masalah disiplin pelajar

Sedasawarsa ini, masalah disiplin semakin menjadi-jadi dalam kalangan pelajar sekolah sehingga tular di media sosial tentang pelajar SPM yang menconteng pakaian mereka dengan perkataan menghina guru. Masalah disiplin secara umumnya dikaitkan dengan kegagalan pelajar mematuhi peraturan sekolah yang telah ditetapkan. Salah laku yang sering dilakukan oleh pelajar termasuklah membuli rakan sekolah, ponteng kelas, melawan guru, dan merosakkan harta benda sekolah. Keadaan ini menjadikan masalah disiplin semakin sukar diatasi oleh pihak sekolah. Oleh itu, satu usaha perlu dilakukan untuk mengatasi masalah disiplin. Persoalan yang menerjah ke dalam horizon pemikiran kita ialah, apakah langkah bagi mengatasi masalah disiplin ini?

Ibu bapa perlu membahagikan masa dengan anak

Antara langkah yang signifikan dalam isu ini ialah ibu bapa perlu bijak dalam membahagikan masa dengan anak-anak dan kerjaya bagai menarik rambut di dalam tepung, rambut tidak putus tepung tidak berselerak. Mereka hendaklah meluangkan masa pada setiap hujung minggu bersama-sama anak dengan melakukan pelbagai aktiviti riadah seperti bermain boling sambil berjalan-jalan di pusat beli-belah. Dengan cara ini anak-anak akan berasa seronok dan gembira apabila mendapat perhatian yang sempurna daripada ibu bapa bagai menatang minyak yang penuh. Keadaan ini menyebabkan anak-anak tidak menimbulkan masalah seterusnya melanggar peraturan sekolah. Secara tidak langsung, ibu bapa berperanan besar dalam mengatasi masalah disiplin.

Pelajar bijak memilih rakan

Langkah yang seterusnya ialah remaja sekolah hendaklah bijak memilih rakan. Hal ini dikatakan demikian kerana rakan merupakan insan yang paling kerap bersama remaja terutama pada waktu persekolahan bersesuaian dengan satu hadis Nabi S.A.W yang menyebut perumpamaan kawan yang baik itu seperti berkawan dengan si penjual minyak wangi. Dengan cara ini remaja akan dapat menilai mana kaca mana permata untuk dijadikan rakan mereka. Oleh itu, remaja sekolah hendaklah memilih rakan yang memiliki kecenderungan atau minat yang sama dengan menjadikan akhlak mulia sebagai neraca pertimbangan dalam memilih rakan sebaya. Secara tidak langsung, remaja akan terhindar daripada perbuatan negatif yang boleh menyebabkan remaja terjerumus dalam masalah disiplin.

Peranan Media massa

Di samping itu, media massa turut berperanan dalam mengatasi masalah disiplin. Ledakan teknologi maklumat pada hari menyebabkan pelbagai aplikasi televisyen boleh diakses oleh remaja sekolah tanpa sebarang sekatan daripada pihak kerajaan. Kerajaan melalui SKMM hendaklah menguatkuasakan undang-undang dengan menghalang kemasukan peranti- peranti elektronik seperti Kotak Android. Tindakan ini dapat mengurangkan pengaruh negatif dalam kalangan remaja sekolah. Dengan cara ini, remaja akan terhindar daripada perbuatan yang boleh menyebabkan berlakunya masalah disiplin di sekolah. Oleh itu, media massa berperanan mengatasi masalah disiplin di sekolah.

Memperketat pelaksanaan peraturan sekolah

Tidak dinafikan bahawa, pihak sekolah boleh memperketat pelaksanaan peraturan sekolah untuk mengelakkan masalah disiplin berlaku. Guru-guru khususnya guru disiplin boleh mengenakan hukuman berat kepada pelajar agar menjadi teladan kepada pelajar lain. Selain hukuman berat, hukuman yang berbentuk pengajaran juga perlu dikenakan terhadap pelajar yang melakukan kesalahan melanggar peraturan sekolah. Mereka hendaklah dikenakan denda seperti denda mencuci tandas, denda menyalin sepuluh buah karangan atau denda membaca sepuluh buah buku. Denda seperti ini akan dapat memberi kesedaran dan ilmu pengetahuan tanpa disedarinya. Secara tidak langsung masalah disiplin dapat diatasi.

Penutup Karangan Langkah mengatasi masalah disiplin

Secara keseluruhannya, penyelesaian masalah disiplin bukanlah hanya terletak di bahu guru malah semua pihak harus menggalas tanggungjawab menyelesaikan masalah yang masih belum dapat diatasi. Sesungguhnya, masalah disiplin ini hendaklah diatasi segera sebelum nasi menjadi bubur agar pihak sekolah dapat meneruskan agenda membangunkan masyarakat tanpa sebarang gangguan yang boleh merencatkan perjalanan membina generasi kepimpinan negara menjelang Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.


Contoh Karangan: Punca Ponteng Sekolah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You cannot copy content of this page