Contoh Karangan Punca Ponteng Sekolah

Masalah ponteng sekolah nerupakan isu yang dihadapi oleh semua sekolah di negara kita. Apakah punca pontengsekolah dalam kalangan pelajar sekolah.

Punca Ponteng Sekolah

Sedasawarsa ini, masalah ponteng sekolah dalam kalangan pelajar semakin menjadi-jadi. Malah kelibat pelajar beruniform melepak sambil menghisap rokok bersama-sama rakan bagai tiada kesalahan atau dosa yang dilakukan oleh mereka. Jika masalah ponteng sekolah dibiarkan tanpa sebarang usaha daripada semua pihak untuk menanganinya, kita khuatiri masalah ini akan menjadi duri dalam daging kepada masyarakat sehingga sukar untuk ditangani bagai retak menanti belah. Oleh itu kita perlu meneliti punca berlakunya ponteng sekolah dalam kalangan pelajar sekolah.

Pelajar tidak meminati pembelajaran di sekolah

Faktor yang signifikan dalam isu ini ialah pelajar tidak meminati pembelajaran di sekolah. Hal ini dikatakan demikian kerana sukatan pelajaran yang memerlukan pelajar mengingati maklumat seperti mata pelajaran sejarah, sains, geografi dan sebagainya. Tambahan pula, mata pelajaran tersebut sukar untuk difahami pelajar lalu menimbulkan kebosanan untuk belajar sehingga mereka sanggup ponteng sekolah. Mereka tidak mahu berusaha untuk memahami pelajaran walaupun belakang parang kalau diasah lagikan tajam, inikan pula akal manusia. Oleh itu, sikap pelajar yang mudah putus asa dan tidak mahu berusaha untuk berjaya menjadi punca mereka ponteng sekolah.

Kekurangan kasih sayang daripada ibu bapa

Dari sudut yang lain pula, pelajar ponteng sekolah adalah kerana kurang perhatian dan kasih sayang daripada ibu bapa. Hal ini disebabkan oleh kesibukan ibu bapa bekerja untuk mencari rezeki. Tanggungjawab menjaga anak diserahkan kepada pengasuh atau orang gaji di rumah. Akibatnya, anak-anak kekurangan kasih sayang daripada ibu bapa. Keadaan ini menyebabkan anak-anak memberontak lalu melakukan tindakan melampau sehingga mereka sanggup ponteng sekolah dan melepak bersama rakan-rakan sebaya yang tidak bersekolah. Oleh itu, ibu bapa perlu memberi kasih sayang yang sempurna kepada anak-anak bagai menatang minyak yang penuh agar mereka ketahui kasih sayang ibu bapa mereka.

Pengaruh rakan sebaya

Punca seterusnya memainkan peranan yang besar dalam mempengaruhi pelajar untuk ponteng sekolah ialah pengaruh rakan sebaya. Hubungan persahabatan mereka terlalu rapat bagai isi dengan kuku, malah mereka saling berkongsi masalah dan membantu sesama mereka. Keadaan ini menyebabkan pelajar lebih mempercayai rakan mereka daripada kata-kata ibu bapa atau guru. Mereka sanggup melakukan apa-apa sahaja atas dasar kawan sejati. Akibatnya, mereka sanggup ponteng sekolah kerana terpengaruh oleh ajakan rakan ‘sejati’ mereka. Tegasnya, sikap pelajar yang mudah terpengaruh oleh rakan sebaya menjadi faktor masalah ini berlaku.

Masalah ekonomi dan kemiskinan hidup

Masalah ekonomi dan kemiskinan hidup yang dihadapi oleh sesebuah keluarga menyebabkan anak-anak berasa malu untuk hadir ke sekolah. Mereka berasa malu dengan keadaan pakaian dan kasut sekolah yang tidak sesempurna rakan-rakan lain. Keadaan ini menyebabkan mereka mengasingkan diri mereka daripada rakan-rakan. Akibat daripada tekanan ekonomi ini, mereka ponteng sekolah lalu terlibat dalam aktiviti tidak sihat. Malah ada antara mereka yang ponteng sekolah kerana melakukan kerja sambilan bagi membantu ibu bapa dan adik-adik yang masih kecil lagi. Tidak dinafikan bahawa masalah kemiskinan menjadi faktor penghalang seseorang pelajar untuk pergi ke sekolah.

Penutup Karangan Punca Ponteng Sekolah

Kesimpulannya, gejala ponteng sekolah bukanlah isu baharu tetapi isu lama yang masih belum ketemu jalan penyelesaiannnya disebabkan oleh sikap tunggu dan lihat yang akhirnya membawa padah. Jika tiada usaha untuk menyelesaikan masalah ini, pelbagai masalah akan timbul pada kemudian hari yang akan merencatkan pembangunan insan yang direncanakan oleh pemimpin masa ini demi melahirkan pemimpin masa hadapan yang berdisiplin, berakhlak mulia, dan bersopan santun sebagai satu persediaan menjelang Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.


Contoh Karangan: Cara memupuk minat membaca

Contoh Karangan: Langkah mengatasi masalah disiplin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You cannot copy content of this page