Contoh Karangan SPM: Kepentingan Pengangkutan Awam

Negara kita mempunyai kemudahan pengangkutan awam yang semakin maju. Huraikan kebaikan dan kepentingan kemudahan pengangkutan awam.

Kepentingan kemudahan pengangkutan awam

Dalam Program Transformasi Ekonomi (PTE) yang telah diperkenalkan oleh mantan Perdana Menteri Malaysia yang ke-6 iaitu Dato’ Sri Mohd. Najib bin Tun Haji Abdul Razak, beliau telah menzahirkan tranformasi dalam Rancangan Induk Pengangkutan Awam Darat (RIPAD) dan menyasarkan 2030 sebagai tahun keramat selepas kejayaan Wawasan 2020. Projek ini telah berjaya menghubungkan penduduk dari Bandar Kajang sehingga ke Bandar Sungai Buloh dengan melalui hentian-hentian di setiap pusat beli-belah yang terkemuka. Namun, kewujudan hentian yang gah dengan reka bentuk unik ini hanya akan menjadi salah satu projek ‘gajah putih’ jika orang ramai masih tidak menggunakan kemudahan awam ini. Persoalannya, apakah keistimewaan menggunakan kemudahan awam ini?

Pengurangan masalah kesesakan lalu lintas

Antara kepentingan utama kemudahan pengangkutan awam ialah pengurangan masalah kesesakan lalu lintas. Lazimnya kesesakan lalu lintas berlaku pada waktu puncak iaitu waktu pagi dan waktu petang. Hal ini dikatakan demikian kerana waktu tersebut orang ramai mula bergegas pergi dan pulang dari tempat kerja. Dengan adanya kemudahan pengangkutan awam seperti bas perantara, teksi dan Rail Transit Rendah atau dikenali LRT, masalah kesesakan lalu lintas dapat dikurangkan malah secara tidak langsung pekerja dapat hadir ke tempat kerja dalam keadaan ceria dan tidak stres. Oleh itu penggunaan pengangkutan awam dapat mengurangkan masalah kesesakan di jalan raya.

Mengurangkan kemalangan jalan raya

Dalam isu yang sama, penggunaan pengangkutan awam mampu mengurangkan kemalangan di jalan raya. Hal ini dikatakan demikian kerana kebanyakan pengguna kenderaan telah menggunakan pengangkutan awam untuk menuju ke destinasi masing-masing. Mereka tidak lagi perlu menghadapi kesesakan lalu lintas setiap hari dan menghadapi tekanan dengan sikap sesetengah pemandu yang bertindak agresif ketika memandu kenderaan mereka di jalan raya. Dengan penggunaan pengangkutan awam, kemalangan dapat dielakkan kerana sesungguhnya malang tidak berbau. Oleh itu, pengguna dapat pergi ke destinasi dengan selamat tanpa rasa tekanan.

Memupuk nilai murni dalam masyarakat

Dari sudut yang berbeza pula, penggunaan kemudahan awam dapat memupuk nilai murni sepanjang perjalanan dalam kenderaan awam. Antara nilai murni yang dapat dipupuk ialah nilai perpaduan, nilai bekerjasama, nilai bertolak ansur dan nilai hormat-menghormati. Sebagai satu tamsilan yang mudah, apabila kita menaiki LRT atau Monorel, kita dapat bertemu dengan rakan-rakan baharu yang berlainan bangsa dan kaum di dalam gerabak kecil tersebut. Pada masa yang sama jika ada orang tua, ibu mengandung dan orang kelainan upaya, kita akan memberi ruang untuk mereka duduk. Secara tidak langsung kerajaan dapat mendidik masyarakat untuk menjadi masyarakat kelas pertama.

Mengurangkan masalah pencemaran alam

Di samping itu, penggunaan pengangkutan awam turut dapat mengurangkan masalah pencemaran alam. Hal ini sejajar dengan aspirasi kerajaan untuk mewujudkan sebuah negara yang bebas daripada pencemaran terutamanya pencemaran daripada asap kenderaan yang mengeluarkan gas karbon monoksida. Dalam isu ini, pembebasan asap kenderaan boleh menyebabkan penipisan lapisan ozon dan masalah jerebu. Keadaan ini turut menyebabkan pelbagai masalah kebersihan dan kesihatan masyarakat terjejas. Dengan adanya pengangkutan awam, kenderaan persendirian dapat dikurangkan pada waktu puncak. Secara tidak langsung, masalah pencemaran alam dapat diatasi dengan lebih mudah lantaran pengangkutan awam merupakan nadi kehidupan masyarakat.

Penutup Karangan Kepentingan Pengangkutan Awam

Secara tuntasnya, perkhidmatan pengangkutan awam di Malaysia telah menyumbang banyak manfaat dan kelebihan kepada kita semua. Kelebihan yang dapat kita kecapi ini hendaklah dijaga dan dipelihara agar pengangkutan awam ini dapat diguna pakai oleh pelbagai lapisan masyarakat dari zaman ke zaman.


Contoh Karangan: Cara Menggalakkan Penggunaan Pengangkutan Awam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You cannot copy content of this page