Cara Menggalakkan Penggunaan Pengangkutan Awam

Kerajaan telah berusaha untuk meningkatkan kemudahan awam terutamanya Pengangkutan Awam. Tulis karangan tentang cara untuk menggalakkan orang ramai untuk menggunakan kemudahan pengangkutan awam.

Langkah Menggalakkan Penggunaan Pengangkutan Awam

Dasawarsa ini, kemakmuran negara telah dikecapi oleh rakyat Malaysia di bawah pelan Rancangan Induk Pengangkutan Awam Darat (RIPAD). Namun usaha kerajaan dalam meningkatkan kemudahan awam masih tidak mampu menggalakkan orang ramai menggunakan kemudahan awam. Malah peribahasa turut ada mengatakan, ada perahu hendak berenang. Begitulah sikap masyarakat yang tidak menggunakan kemudahan yang telah disediakan oleh kerajaan. Oleh itu, satu prakarsa perlu dilakukan untuk menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam. Persoalan yang masih berlegar-legar dalam kotak pemikiran kita ialah, apakah usaha bagi menggalakkan masyarakat menggunakan pengangkutan awam?

Promosi menaiki pengangkutan awam

Salah satu langkah bestari yang boleh diambil adalah melalui kempen promosi yang dilakukan oleh kerajaan ialah kerajaan menawarkan promosi menaiki pengangkutan awam secara percuma selama sebulan. Hal ini bertujuan untuk membiasakan masyarakat menaiki pengangkutan awam. Kerajaan juga menawarkan diskaun harga istimewa pada hari-hari kebesaran seperti ulang tahun hari kemerdekaan negara dan hari-hari perayaan utama. Keadaan ini akan menggalakkan orang ramai menaiki kenderaan awam untuk merebut peluang tawaran harga diskaun tersebut. Secara tidak langsung, orang ramai akan lebih selesa dan biasa menggunakan kenderaan awam kerana mereka tidak perlu menempuh kesesakan di jalan raya.

Pakej istimewa kepada golongan tertentu.

Selain kempen promosi, kerajaan juga hendaklah menawarkan pakej istimewa kepada golongan tertentu. Sebagai contoh, pelajar sekolah dan warga emas yang menggunakan kenderaan awam akan mendapat harga tetap yang murah. Dengan cara ini, pelajar dan warga emas akan rasa dihargai dengan penyediaan kerusi khas untuk golongan yang memerlukan ini akan menggalakkan mereka untuk menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam. Pakej menarik juga perlu ditawarkan kepada golongan pekerja yang membeli kad prabayar bulanan. Hal ini bertujuan menggalakkan golongan pekerja menggunakan kenderaan awam yang dapat menjimatkan kos perjalanan mereka ke tempat kerja. Secara tidak langsung, golongan pekerja dapat menjimatkan wang untuk perbelanjaan lain.

Suasana yang selamat dan kondusif

Di samping pakej istimewa, suasana yang selamat dan kondusif juga menjadi faktor yang menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam. Bagi menjamin keselamatan golongan wanita daripada gangguan lelaki yang tidak bermoral, syarikat penyedia perkhidmatan pengangkutan awam telah menyediakan gerabak khas untuk golongan wanita. Gerabak tersebut diwarnai dengan warna merah jambu. Hal ini bertujuan agar golongan lelaki tidak tersalah gerabak apabila menggunakan khidmat pengangkutan awam. Oleh itu, golongan wanita akan berasa selamat apabila menaiki pengangkutan awam.

Bas pengantara secara percuma

Tidak dinafikan, bas pengantara yang disediakan secara percuma juga menjadi penggalak kepada masyarakat untuk menggunakan pengangkutan awam yang lain. Sesetengah stesen agak jauh dari kawasan perumahan. Hal ini menyebabkan orang ramai sukar untuk menggunakan pengangkutan awam seperti LRT, KOMUTER dan Kereta api. Mereka terpaksa berjalan kaki untuk ke stesen. Dengan adanya khidmat bas pengantara yang disediakan oleh kerajaan masalah ini dapat diselesaikan dengan mudah. Oleh itu, jelas menunjukkan bahawa khidmat bas pengantara turut menggalakkan orang ramai menggunakan perkhidmatan ini.

Penutup Karangan Penggunaan Pengangkutan Awam

Secara keseluruhannya,. Kemakmuran yang dinikmati oleh kerajaan turut dirasai oleh masyarakat melalui kemajuan pembangunan infrastruktur dan kemudahan awam. Oleh itu, sebagai warga negara yang bertanggungjawab kita hendaklah menggunakan pengangkutan awam dengan penuh berhemah agar dapat kita warisi kemajuan pembangunan pengangkutan awam kepada generasi akan datang dengan kelengkapan yang baik dan sempurna.


Contoh Karangan: Kepentingan Pengangkutan Awam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You cannot copy content of this page