Contoh Karangan SPM – Kesan penggunaan telefon bimbit

Pelajar sekolah tidak ketinggalan dalam perlumbaan mengejar kecanggihan malah ada juga yang mempunyai telefon. Apakah kesan penggunaan telefon bimbit dalam kalangan pelajar?

Kesan penggunaan telefon bimbit dalam kalangan pelajar

Pada zaman revolusi teknologi telekomunikasi dan multimedia tanpa had ini, telefon bimbit digunakan dengan meluas dalam kalangan masyarakat. Pada suatu masa dahulu, telefon bimbit dianggap sebagai barangan mewah yang tidak mampu dimiliki oleh kebanyakan orang selain bentuknya yang besar dah sukar dibawa. Namun, selepas kita memasuki alaf baru, pengguna telefon bimbit meningkat bak cendawan tumbuh selepas hujan disebabkan harganya yang jauh lebih murah. Kini, tidak hairanlah hampir semua penduduk dunia mempunyai  sekurang-kurangnya sebuah telefon bimbit. Pelajar sekolah pula tidak ketinggalan dalam perlumbaan mengejar kecanggihan malah ada juga yang telah pun mempunyai telefon. Penggunaan telefon bimbit dalam kalangan pelajar ini mendatangkan kesan yang pelbagai kepada para pelajar. Persoalannya, apakah kesan penggunaan telefon bimbit dalam kalangan pelajar?

Menghubungi rakan atau keluarga

Salah satu kebaikan telefon bimbit ialah membolehkan kita menghubungi rakan atau keluarga yang berada jauh di perantauan dengan mudah. Kita dapat menelefon orang tersayang bagi mengubati rindu dengan kos yang tidak terlalu mahal. Lebih-lebih lagi, dengan teknologi 4G dan 5G, kita dapat membuat membuat panggilan video atau menghantar mesej kepada orang tersayang. Malahan dengan adanya applikasi Whatsapp dan Telegram, kita boleh menghubungi sanak saudara dan handai taulan secara percuma di mana sahaja kita berada. Teknologi sebegini amat penting bagi mengubati rindu selain mengukuhkan silaturahim dalam kalangan sanak-saudara dan juga sahabat handai. Tegaslah bahawa telefon bimbit merupakan medium yang berkesan sebagai alat perhubungan antara pelajar dengan ahli keluarganya juga dengan rakan sebaya.

Membantu semasa kecemasan

Selain itu penggunaan telefon bimbit juga banyak membantu semasa kecemasan. Keselamatan seseorang individu akan lebih terjamin kerana telefon bimbit mudah digunakan bagi mendail pihak polis atau sesiapa sahaja dalam masa kecemasan. Malahan kini banyak applikasi telefon pintar yang membolehkan ibu bapa mengesan kedudukan anak-anak mereka supaya mereka tahu di mana anak-anak mereka berada. Sejak kebelakangan ini. banyak kes dimana remaja tiba-tiba hilang dan ahli keluarga dengan serta merta viralkan maklumat dan gambar mangsa melalui Whatsapp atau Facebook untuk meminta bantuan orang ramai.

Selain itu, Sistem Kedudukan Sejagat (GPS) di dalam telefon pintar akan menentukan kedudukan pengguna. Apabila permohonan kecemasan dibuat, alamat GPS dan maklumat pengguna akan dihantar ke Pusat Panggilan Kecemasan 999. Maklumat tambahan berkenaan insiden dan lokasi kejadian juga boleh ditambah ke dalam permohonan yang dihantar.Perkara sebegini amat penting terutamanya bagi seseorang pelajar yang berada dalam kecemasan.

Perkongsian matlumat tentang pelajaran

Perkongsian matlumat tentang pelajaran dapat dilakukan dengan lebih mudah dengan adanya telefon bimbit. Melalui telefon bimbit, kita boleh bersosial dengan sesiapa sahaja, tanpa mengira tempat, masa dan usia. Aplikasi seperti “whatsapp” dan “Telegram” yang percuma boleh mendatangkan kebaikan jika pandai memanfaatkannya. Sebagai seorang pelajar, menyiapkan tugasan yang diberikan oleh guru merupakan satu kewajipan penting bagi seseorang pelajar yang ingin berjaya. Dalam era pandemik Covid-19 ini, banyak pelajar tidak dapat mengikuti aktiviti pengajaran dan pembelajaran di sekolah.

Oleh itu, pelajar itu boleh menghubungi rakan-rakannya melalui telefon bimbit untuk bertanyakan tugasan yang perlu disiapkan. Secara tidak langsung, segala perkara penting yang disampaikan oleh guru ketika pelajar tidak boleh hadir ke sekolah dapat diketahui dengan segera melalui penggunaan telefon bimbit. Budaya tolong-menolong ibarat berat sama dipikul, ringan sama dijinjing antara pelajar sekolah juga dapat dipupuk dalam kalangan pelajar. Ringkasnya, penggunaan telefon bimbit dalam kalangan pelajar dapat memudahkan urusan pembelajaran mereka.

Kesan pembaziran

Malangnya, disebalik kebaikan telefon bimbit, ada udang di sebalik batu di sebalik penggunaannya. Hal ini demikian kerana telefon bimbit dapat memberikan kesan negatif terhadap penggunanya. Penggunaan telefon bimbit yang tidak terkawal boleh menyebabkan berlakunya pembaziran. Golongan remaja yang umur baru setahun jagung, darah baru setampuk pinang sentiasa ingin mempunyai model telefon bimbit terbaru apabila melihat kawan lain juga memilikinya. Sebenarnya, mereka sepatutnya mengukur baju di badan sendiri dan jangan nanti sudah terhantuk baru tengadah. Bak kata pepatah melayu, ingat sebelum kena, jimat sebelum habis. Oleh itu, pelajar harus mengurangkan penggunaan telefon bimbit supaya dapat mengelakkan pembaziran

Menjejaskan pelajaran pelajar

Penggunaan telefon bimbit dalam kalangan pelajar sememangnya menjejaskan pelajaran mereka. Hal ini berlaku kerana pelajar menggunakan telefon bimbit tanpa kawalan dapat menatijahkan prestasi akademik dalam kalangan pelajar semakin merosot. Misalnya, pelajar telah mengabaikan pelajaran mereka kerana fokus pelajar semasa waktu pengajaran dan pembelajaran telah berkurang. Rata-rata generasi muda menggunakan aplikasi dalam telefon pintar untuk melayari laman sembang dan aplikasi permainan maya sehingga ketagihan.

Prestasi akademik pelajar akan merosot  kerana kekurangan inisiatif dalam prestasi akademik selepas ketagihan dalam perisian telefon bimbit yang semakin canggih. Tambahan pula, sekiranya pelajar membawa telefon bimbit ke sekolah, mereka tidak akan menumpukan perhatian untuk belajar tetapi leka dengan permainan video. Jelaslah bahawa ketagihan penggunaan telefon bimbit dalam kalangan pelajar akan menjejaskan prestasi akademik mereka.

Menjejaskan kesihatan pelajar

Lanjutan daripada huraian yang telah dinyatakan di atas, penggunaan telefon bimbit juga boleh menjejaskan kesihatan pelajar. Tabiat obses teknologi yang diteruskan tanpa ada had adalah Insomnia dimana penggunaan telefon pintar seperti permainan video, melayari Internet dan sebagainya secara tidak langsung boleh menjejaskan kualiti tidur. Ketagihan terhadap media sosial misalnya akan membawa kepada tabiat berjaga malam dan akhirnya menyebabkan masalah kekurangan tidur dan keletihan. Perkongsian yang kita lihat di “Facebook” juga boleh mempengaruhi perasaan seseorang. Pelajar mungkin menimbulkan perasaan cemburu apabila melihat gambar mengenai status orang lain seterusnya boleh menyebabkan pelajar tersebut mendapat masalah kemurungan. Selain itu, telefon bimbit akan mengeluarkan gelombang semasa kita menjawab telefon dan akan mengganggu fungsi saraf otak sehingga menyebabkan barah atau kanser. Tuntasnya, pelajar sepatutnya tidak menggunakan telefon bimbit dengan masa yang panjang.

Penutup Karangan penggunaan telefon bimbit

Kesimpulannya, penggunaan telefon bimbit dalam kalangan pelajar mendatangkan kesan buruk dan kesan baik. Pelajar perlu memanfaatkan kebaikan dan mengelakkan keburukan penggunaan telefon bimbit kerana yang baik dijadikan teladan, yang buruk dijadikan sempadan. Sebagaimana kata pepatah, genggam bara api biarlah sampai jadi arang, justeru itu, langkah-langkah yang konkrit, sistematik dan pragmatik perlu dilaksanakan oleh semua pihak secara berterusan dan jangan sekadar hangat-hangat tahi ayam sahaja untuk membasmi masalah yang timbul ekoran daripada penggunaan telefon bimbit serta melahirkan remaja yang berwawasan kerana pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara.


Contoh Karangan berkaitan: Kebaikan dan Keburukan Penggunaan Gajet

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You cannot copy content of this page