Karangan SPM: Cara mengamalkan Gaya Hidup Sihat

Kadar pertambahan bilangan pesakit tidak mengenal usia berlaku pada zaman sekarang. Apakah cara untuk mengamalkan gaya hidup sihat?

Cara untuk memupuk Amalan Gaya Hidup Sihat

Dalam meniti arus kemodenan yang berteraskan sains dan teknologi maklumat, faktor kesihatan masyarakat pada hari ini berada pada tahap yang membimbangkan pihak berkuasa terutamanya Kementerian Kesihatan Malaysia. Semakin hari, masalah wabak pelbagai penyakit semakin menjalar dalam kalangan masyarakat tanpa mengira usia tua atau muda. Jika dahulu masalah darah tinggi dan kencing manis merupakan penyakit yang sering dihadapi oleh golongan tua tetapi pada hari ini golongan kanak- kanak juga sering dihantui penyakit berkenaan. Bak kata pepatah, setiap penyakit ada ubatnya, setiap masalah pasti ada jalan keluarnya. Salah satu daripadanya adalah dengan mengamalkan gaya hidup sihat sebagaimana yang disarankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. Bagaimanakah caranya untuk kita mengamalkan gaya hidup sihat?

Pengambilan makanan seimbang

Kata kunci pengambilan makanan seimbang merupakan salah satu cara untuk mengamalkan gaya hidup sihat. Kebanyakan rakyat Malaysia mengganggap pengambilan makanan seimbang ialah diet. Sebenarnya, pengambilan makanan seimbang bermaksud pengambilan makanan oleh seseorang individu yang mengandungi semua nutrien dan vitamin yang diperlukan oleh tubuh badan secara seimbang. Jika kita merujuk piramid makanan, pembahagian pemakanan terbahagi kepada beberapa bahagian mengikut keperluan makanan berdasarkan seorang manusia normal. Piramid makanan merupakan kumpulan makanan yang mengandungi karbohidrat, vitamin, mineral, protin dan terakhir bahagian atas ialah kumpulan makanan mengandungi lemak. Piramid makanan merupakan panduan kepada pengguna dengan mengurangkan pengambilan makanan berlemak di bahagian atas sekali, seperti lemak dan gula. Manakala, kita boleh makan makanan kandungan karbohidrat seperti nasi dan roti yang membekalkan kita tenaga untuk menjalani kehidupan seharian. Bak kata pepatah, “Aku makan untuk hidup, bukan hidup untuk makan“, kita boleh mengamalkan gaya hidup sihat dengan mengambil makanan seimbang setiap hari.

Menjalankan aktiviti rekreasi

Seterusnya, kita boleh menjalankan aktiviti rekreasi untuk mengamalkan gaya hidup sihat. Kegiatan rekreasi merupakan aktiviti yang berfaedah terutama untuk mengisi masa senggang, merehatkan minda dan mengelakkan stress, selain menyehatkan badan. Anak muda atau remaja boleh menyertai aktiviti berkenaan seperti berkayak, mendaki gunung, menyelam, “jungle tracking” dan sebagainya. Sebelum melakukan aktiviti berkenaan, kita boleh melakukan aktiviti regangan agar seluruh sendi dan sistem kardivaskular kita bersedia terlebih dahulu sebelum melakukan aktiviti yang lasak. Aktiviti rekreasi ini boleh menlancarkan kadar pengaliran darah dan pergerakan jantung akan stabil. Selain itu, aktiviti ini dapat merembeskan peluh yang mengandungi toksin untuk disingkirkan daripada badan. Oleh sebab itu, badan kita akan menjadi sihat dan sukar untuk dijangkiti patogen-patogen penyakit. Bak kata pepatah, malang tidak berbau dan sediakan payung sebelum hujan. Aktiviti berekreasi merupakan satu cara untuk kita mengamalkan gaya hidup sihat dan menjauhi dari penyakit.

Aktiviti sukan sebagai amalan gaya hidup sihat

Selain itu, remaja harus melakukan aktiviti sukan dalam kehidupan mereka sejajar dengan usaha Kementerian Pelajaran Malaysia yang memperkenalkan pelaksanaan Program 1 Murid 1 Sukan. Pencapaian pelajar dalam bidang kokurikulum merupakan 10% syarat kemasukan ke universiti. Namun, pelaksanaan program ini belum mencapai objektifnya kerana sebilangan pelajar masih belum membudayakan diri mereka untuk bersukan dan penglibatan mereka dalam aktiviti berkenaan hanya sekadar untuk penyertaan bukan sebagai budaya.

Sebenarnya, masyarakat akan mendapat manfaat daripada amalan bersukan kerana aktiviti sukan menyihatkan badan dan juga dapat mencergaskan minda mereka. Hal ini kerana ketika bersukan, oksigen akan diserapkan ke dalam badan dengan lebih cepat dan akan mengaktifkan sel-sel badan menjalankan proses respirasi, disamping aliran oksigen ke otak akan lebih aktif. Kebaikannya kepada pelajar, mereka tidak akan mudah mengantuk dalam kelas dan sudah pasti proses pengajaran dan pembelajaran akan lebih bermakna. Pepatah Arab ada mengatakan bahawa minda cerdas lahir daripada badan yang sihat. Justeru, kita boleh mengamalkan gaya hidup sihat dengan melakukan aktiviti bersukan.

Pemeriksaan dan rawatan kesihatan

Akhir sekali, sudah terang lagi bersuluh bahawa pemeriksaan dan rawatan kesihatan adalah penting dalam memastikan tahap kesihatan kita sentiasa berada di bawah paras bahaya. Masyarakat Malaysia perlu bersyukur kerana kerajaan amat mengambil berat dalam menyediakan prasarana dan kemudahan kesihatan bertaraf dunia. Rakyat boleh mengunjungi pusat rawatan sama ada klinik desa Hospital Desa dan Hospital Besar untuk mendapat perkhidmatan kesihatan yang berkualiti. Rawatan kesihatan amat penting supaya setiap warganegara akan tahu tahap dan darjah kesihatan mereka dari semasa ke semasa.

Pengesanan awal akan penyakit boleh menyelamatkan nyawa kerana kadang kala penyakit akan menyerang tanpa disedari terutama penyakit tiga serangkai iaitu darah tinggi, kecing manis dan serangan jantung. Contohnya, sekiranya pesakit mengalami penyakit kencing manis para doktor berpengalaman akan menasihatkan pesakit mengawal kaedah pemakanan yang sesuai dan sekiranya pesakit mengalamai masalah diabetis yang kronik suntikan insulin akan dilakukan untuk mengawal paras gula dalam badan. Pepatah ada menyebut “mencegah lebih baik daripada merawat.” Tegasnya mendapat pemeriksaan dan rawatan kesihatan adalah sangat penting dalam memastikan tahap kesihatan masyarakat dalam keadaan baik.

Penutup Karangan Pengamalan Gaya Hidup Sihat

Kesimpulannya, pengamalan gaya hidup sihat merupakan inisiatif kita sendiri. Jika kita inginkan kesihatan kita sentiasa sihat, kita perlulah melibatkan diri dengan melakukan aktiviti-aktiviti yang boleh menyihatkan tubuh badan kita seperti pengambilan makanan seimbang, melakukan aktiviti rekreasi, menyertai aktiviti sukan dan mendapatkan rawatan kesihatan secara sempurna. Oleh itu, kita perlulah memastikan tahap kesihatan kita dalam keadaan terbaik kerana pekerja, pentadbir, dan pemimpin yang sihat jasmani, rohani, emosi dan inteleknya sahaja yang akan dapat membantu menggapai cita-cita pemimpin untuk memastikan Malaysia mampu untuk duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan negara maju yang lain. Justeru, kesihatan merupakan aset paling penting sebagai warganegara Malaysia kerana bak kata pepatah, kesihatan itu lebih penting daripada wang ringgit yang menggunung.


Contoh Karangan: Kebaikan Bersukan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You cannot copy content of this page