Imbangan Pembayaran merupakan satu rekod sistematik tentang jumlah penerimaan dan jumlah pembayaran kewangan sesebuah negara dengan negara lain dalam tempoh satu tahun.
Kandungan
Imbangan Pembayaran
Akaun imbangan pembayaran melibatkan rekod butiran debit dan kredit.
Debit | Kredit |
---|---|
Pembayaran kewangan | Penerimaan Kewangan |
Contoh : Rakyat Malaysia membelajankan RM4 000 semasa bercuti di Korea | Contoh : Syarikat penerbangan Malaysia menerima bayaran tambang daripada Syarikat China |
Komponen Imbangan Pembayaran
Imbangan Pembayaran terdiri daripada tiga komponen utama:
Komponen Utama | Rekod | Butiran |
---|---|---|
Akaun Modal | Perubahan bersih dalam pemilikan aset. | – Perolehan / Pelupusan aset bukan kewangan – Pindahan modal |
Akaun Semasa | Nilai eksport dan import barang dan perkhidmatan serta pendapatan. | – Akaun barangan – Akaun perkhidmatan – Akaun pendapatan primer – Akaun pendapatan sekunder |
Akaun Kewangan | Aliran masuk modal dan aliran keluar modal bagi sesebuah negara. | – Pelaburan langsung – Pelaburan portfolio – Derivatif kewangan – Pelaburan lain |
Akaun Semasa dalam Imbangan Pembayaran
- Akaun semasa merekodkan nilai eksport dan import barang serta perkhidmatan dan juga pendapatan.
- Terdiri daripada empat butiran utama:

Akaun Barangan
Merekodkan jumlah nilai eksport barang nampak dengan jumlah nilai import barang nampak.
Imbangan dagangan = Jumlah nilai eksport barang nampak – Jumlah nilai import barang nampak
Imbangan Dagangan Lebihan: nilai eksport barang nampak > nilai import barang nampak
Imbangan Dagangan Seimbang: nilai eksport barang nampak = nilai import barang nampak
Imbangan Dagangan Kurangan: nilai eksport barang nampak < nilai import barang nampak
Akaun Perkhidmatan
Merekodkan eksport dan import barang tak nampak dalam negara.
Imbangan perkhidmatan = Jumlah nilai eksport barang tak nampak – Jumlah nilai import barang tak nampak
Antara beberapa butiran penting yang direkodkan ialah penerimaan dan pembayaran daripada aktiviti seperti:
Butiran Akaun Perkhidmatan |
---|
Perjalanan dan pengangkutan |
Perkhidmatan kewangan |
Perkhidmatan, telekomunikasi, komputer dan informasi |
Pembinaan |
Perkhidmatan, insurans dan pencen |
Akaun Pendapatan
Merekodkan penerimaan dan pembayaran pendapatan oleh sesebuah negara.
Imbangan akaunpendapatan = Jumlah penerimaanpendapatan – Jumlah pembayaran pendapatan
Pendapatan tersebut terdiri daripada dua sumber :
Pendapatan primer
- Pampasan pekerja (upah, gaji dan faedah lain) yang diperoleh oleh warganegara asing yang bekerja di Malaysia dan warganegara Malaysia yang bekerja di luar negara.
- Pendapatan pelaburan (untung dan dividen) daripada pelaburan yang dibayar kepada pelabur asing yang melabur di Malaysia serta pendapatan yang diterima oleh warganegara Malaysia yang melabur di luar negara.
Pendapatan sekunder
- Pendapatan dalam bentuk bayaran pindahan iaitu urus niaga yang tidak memerlukan balasan.
- Antaranya ialah biasiswa, bantuan, kiriman wang dan derma.、
Defisit dan Lebihan Akaun Semasa
Akaun semasa merekodkan semua nilai penerimaan dan pembayaran negara dalam akaun barangan, perkhidmatan dan juga pendapatan.
Berdasarkan jumlah penerimaan dan pembayaran daripada ketiga-tiga akaun, akaun semasa boleh dibahagikan kepada dua jenis seperti yang berikut :
Lebihan Akaun Semasa
Jumlah penerimaan kewangan lebih besar daripada jumlah pembayaran kewangan dalam akaun semasa.
Defisit Akaun Semasa
Jumlah pembayaran kewangan lebih besar daripada jumlah penerimaan kewangan dalam akaun semasa.
Faktor Lebihan Akaun Semasa
Lebihan akaun semasa berlaku apabila jumlah penerimaan kewangan melebihi jumlah pembayaran kewangan dalam akaun semasa. Faktor-faktor yang menyebabkan lebihan akaun semasa ialah :
Permintaan yang tinggi untuk eksport
- peningkatan daya saing sektor perkilangan
- kejatuhan nilai mata wang
- peningkatan pendapatan di negara-negara yang mengimport barang atau perkhidmatan
Permintaan yang rendah untuk import
- kecenderungan rakyat tempatan mengutamakan barang dan perkhidmatan tempatan
- kejatuhan nilai mata wang di negara rakan dagang
- berlaku inflasi di negara rakan dagang
Peningkatan produktiviti
- Peningkatan kemahiran buruh
- Penggunaan kaedah pengeluaran yang lebih efisien yang membawa kepada peningkatan pengeluaran dengan kos purata yang rendah
Peningkatan penerimaan pendapatan primer dan sekunder
- Akan mendorong kepada lebihan akaun semasa
- Misalnya lebih banyak keuntungan diterima daripada pelaburan di luar negara serta kiriman wang daripada rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara.
Faktor Defisit Akaun Semasa
Defisit akaun semasa berlaku apabila jumlah pembayaran kewangan melebihi jumlah penerimaan kewangan dalam akaun semasa. Faktor-faktor yang menyebabkan defisit akaun semasa ialah:
Permintaan yang rendah untuk eksport
- penurunan daya saing dalam sektor perkilangan
- kenaikan nilai mata wang Malaysia
- penurunan pendapatan di negara-negara yang mengimport barang atau perkhidmatan.
Permintaan yang tinggi untuk import
- Kecenderungan rakyat tempatan mengutamakan barang dan perkhidmatan import
- Peningkatan import barang pengantara dan barang modal
- Kenaikan nilai mata wang Malaysia
Penurunan produktiviti
- Buruh yang kurang mahir
- Penggunaan kaedah pengeluaran yang kurang efisien yang membawa kepada pengurangan pengeluaran
Peningkatan pembayaran pendapatan primer dan sekunder
- Akan mendorong kepada defisit akaun semasa.
- Misalnya, lebih banyak keuntungan yang diterima oleh pelabur asing dalam negara serta kiriman wang ke luar negara oleh rakyat asing yang bekerja di sesebuah negara.
Kekurangan inovasi dan aktiviti Penyelidikan dan Pembangunan (R&D)
- Kekurangan aktiviti Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) menyebabkan kekurangan penciptaan barang dan perkhidmatan yang baharu.
- Tahap inovasi yang rendah akan mengurangkan daya saing produk sesebuah negara di pasaran antarabangsa.
- Keadaan ini menyebabkan permintaan terhadap eksport barang jatuh dan mendorong kepada defisit akaun semasa.
Implikasi Lebihan Akaun Semasa
Lebihan akaun semasa membawa kesan positif terhadap ekonomi sesebuah negara. Implikasi lebihan akaun semasa dapat dilihat dalam aspek yang berikut :
Peningkatan dalam pendapatan negara
Peningkatan permintaan untuk barang eksport akan meningkatkan pengeluaran barang dan perkhidmatan dalam negara.
Peningkatan guna tenaga
Peningkatan permintaan untuk barang eksport mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan untuk rakyat tempatan dan mengurangkan kadar pengangguran dalam negara.
Peningkatan taraf hidup
Kewujudan peluang pekerjaan meningkatkan pendapatan masyarakat dan meningkatkan kuasa beli dan taraf hidup penduduk.
Peningkatan kadar pertukaran asing
Peningkatan permintaan terhadap eksport menambahkan permintaan terhadap mata wang tempatan di pasaran luar negara dan ini dapat meningkatkan kadar pertukaran asing.
Inflasi
Permintaan yang tinggi terhadap barang dan perkhidmatan menaikkan harga barang dan perkhidmatan dan boleh membawa kepada peningkatan kadar inflasi.
Implikasi Defisit Akaun Semasa
Defisit akaun semasa membawa kesan negatif terhadap ekonomi sesebuah negara. Implikasi defisit akaun semasa dapat dilihat dalam aspek-aspek yang berikut :
Penurunan dalam pendapatan negara
Disebabkan oleh penurunan permintaan terhadap eksport barang dan perkhidmatan yang mengurangkan pengeluaran barang dan perkhidmatan dalam negara.
Penurunan guna tenaga
Penurunan permintaan terhadap eksport barang dan perkhidmatan mengurangkan peluang pekerjaan dalam negara dan meningkatkan kadar pengangguran dalam negara.
Penurunan taraf hidup
Peluang pekerjaan yang terhad menyebabkan pendapatan masyarakat merosot dan menurunkan kuasa beli dan taraf hidup penduduk.
Penurunan kadar pertukaran asing
Penurunan permintaan terhadap eksport barang dan perkhidmatan mengurangkan permintaan terhadap mata wang tempatan di pasaran luar negara dan seterusnya menurunkan kadar pertukaran asing.
Cara Mengatasi Defisit Akaun Semasa
Kerajaan boleh mengatasi masalah ini melalui beberapa tindakan berikut:
Meningkatkan peruntukan atau pelaburan atas sektor pendidikan dan kesihatan
- supaya meningkatkan kualiti sumber manusia dari segi kemahiran, inovasi dan produktiviti
- untuk meningkatkan daya saing negara di peringkat antarabangsa
Meningkatkan pelaburan dalam kemudahan dan infrastruktur
- seperti lapangan terbang, pelabuhan dan stesen telekomunikasi
- untuk meningkatkan aktiviti ekonomi khususnya industri berorientasikan eksport
Meningkatkan insentif kerajaan
- seperti insentif pelaburan, pelepasan cukai, subsidi eksport dan kelonggaran keperluan visa untuk pelancong
- untuk meningkatkan pelaburan asing serta permintaan terhadap eksport barang dan perkhidmatan
Mengurangkan import
- dengan mengenakan sekatan seperti tarif dan kuota yang dapat membantu meningkatkan permintaan barang tempatan