Contoh Karangan Langkah Membantu OKU

GolonganOrang Kurang Upaya (OKU) merupakan sebahagian daripada kelompok masyarakat yang perlu diberi layanan yang adil dan saksama. Huraikan langkah yang dapat membantu OKU supaya kehidupan mereka menjadi lebih bagus.

Langkah untuk Membantu GolonganOrang Kurang Upaya (OKU)

Bulan Mei 2020 yang lalu menjadi tarikh keramat dalam Dewan Negara apabila Yang Berhormat Senator Datuk Ras Adiba Mohd Radzi dilantik sebagai senator bagi mewakili golongan tersebut. Malah, penyanyi berbakat besar seperti Azmi Saat vokalis Caliph Buskers yang merupakan golongan kurang upaya juga menjadi ikon kepada golongan ini. Nasib mereka masih tiada yang membela malah semakin lama semakin terabai dalam masyarakat. Oleh itu, kita perlu meneliti setiap masalah yang dihadapi agar dapat mencari jalan keluar daripada kemelut yang sering melanda mereka. Persoalan yang sering menerjah kotak pemikiran kita ialah, apakah langkah bestari yang dapat membantu golongan kurang upaya?

Program Bina Semangat

Antara langkah awal yang perlu dilakukan kepada golongan Orang Kurang Upaya (OKU) ialah pihak berwajib menganjurkan Program Bina Semangat yang bertujuan untuk mengenal pasti potensi diri yang ada pada diri mereka walaupun dalam keadaan yang kurang sempurna sesuai dengan peribahasa yang menyebut hanya jauhari yang mengenal manikam. Tindakan ini bertujuan untuk melahirkan lebih ramai lagi golongan OKU yang cerdik pandai dalam bidang akademik dan golongan OKU yang berbakat dalam bidang sukan kerana mereka juga seperti sebutir permata yang belum digilap. Secara tidak langsung keprihatinan kerajaan dalam memberi mereka ruang dan peluang akan memberi keyakinan kepada untuk berdikari seperti orang normal.

Menyediakan kemudahan khusus kepada OKU

Dari sudut yang lain pula, untuk membantu OKU, kerajaan hendaklah menyediakan kemudahan khusus kepada mereka. Hal ini bertujuan agar dapat mereka berdikari tanpa perlu mendapatkan bantuan daripada orang lain apabila melakukan sebarang aktiviti atau pekerjaaan. Sebagai contoh, pihak berkuasa tempatan hendaklah menyediakan persekitaran bebas halangan bagi golongan OKU agar mereka dapat bergerak dengan mudah. Malah kerajaan juga perlu memberi syarat khas kepada syarikat pembinaan agar setiap bangunan pejabat dan rumah kediaman yang hendak didirikan mestilah dilengkapi dengan kemudahan yang mesra golongan OKU. Oleh itu, kerajaan haruslah memastikan agar kemudahan tersebut sentiasa tersedia dan terjaga dengan penguatkuasaan undang-undang yang sedia ada.

Menerima pekerja daripada golongan OKU

Bukan itu sahaja, kerajaan dan sektor swasta perlu bersikap terbuka agar dapat menerima pekerja daripada golongan OKU. Tindakan mereka ini akan menggalakkan pengambilan pekerja daripada golongan OKU dalam semua sektor pekerjaan. Pada masa yang sama mereka hendaklah menjalani kursus latihan dengan diberi elaun belajar serta kemudahan asrama agar mereka dapat merasai dunia pekerjaan sebenar yang perlu ditempuhi oleh mereka kerana berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ketepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang- senang kemudian. Dengan cara ini, golongan OKU dapat menjalani kehidupan bekerja dengan penuh yakin serta memiliki jati diri yang kuat.

Mengubah persepsi masyarakat terhadap OKU

Langkah membantu OKU yang terakhir ialah mengubah persepsi masyarakat terhadap golongan OKU. Walaupun kita berada pada alaf milinium, tanggapan masyarakat masih tidak berubah. Mereka masih mengganggap golongan OKU sebagai golongan yang memerlukan bantuan dan sokongan daripada orang ramai. Keadaan ini menyebabkan masyarakat memandang sinis terhadap golongan ini yang sering dikaitkan dengan aktiviti mengutip derma dan menjual tisu. Masyarakat perlu menerima mereka dalam kelompok sosial dan bukan meminggirkan mereka serta ahli keluarga.

Penutup Karangan Langkah Membantu OKU

“Bukanku pinta lahir ke dunia, bukan kupinta cacat begini” merupakan sebaris lirik lagu yang mengungkapkan perasaan golongan OKU dan secara keseluruhannya, golongan OKU merupakan sebahagian daripada kelompok masyarakat yang perlu diberi layanan yang adil dan saksama agar mereka mampu duduk sama rendah berdiri sama tinggi dengan masyarakat lain agar dirasai kehadiran mereka dalam masyarakat supaya mereka tidak rasa terpinggir seperti melukut di tepi gantang, masuk tak lebih, keluar tak kurang. Dengan cara ini masyarakat OKU akan lebih dihargai oleh generasi masa kini sehingga ke akhir zaman.

Leave a Reply

You cannot copy content of this page