Nota Mikroekonomi P1 – Pengenalan ekonomi (Bab 1)

Definisi: Ilmu ekonomi sebagai kajian tentang bagaimana sumber terhad digunakan bagi memenuhi kehendak manusia yang tidak terhad.

Sumber Ekonomi/ Faktor Pengeluaran

Pada umumnya, sumber ekonomi dapat dikategorikan kepada empat jenis, iaitu tanah, buruh, modal dan usahawan.

Tanah

  • Sumber alam semula jadi yang terdapat di permukaan atau di dalam tanah.
  • Meliputi sumber galian dan tumbuh-tumbuhan serta air dan udara.
  • Penawaran tanah adalah terhad.
  • Ganjaran dalam bentuk sewa.

Buruh

  • Menyumbangkan tenaga fizikal atau mental dalam proses pengeluaran / mengeluarkan barang atau perkhidmatan.
  • Boleh dipindahkan (mobiliti) dari satu tempat ke tempat yang lain
  • Ganjaran kepada buruh ialah upah / gaji.

Modal

  • Digunakan oleh pengeluar untuk mengeluarkan barang lain bagi menghasilkan pulangan
  • Terdapat pelbagai jenis modal, misalnya modal tetap, modal kerja dan modal sosial.
  • Modal tetap ialah modal yang tidak akan berubah dari segi bentuk fizikalnya selepas digunakan dalam proses pengeluaran. Contoh: mesin.
  • Modal kerja ialah modal atau input yang akan berubah dari segi bentuk fizikalnya selepas digunakan dalam proses pengeluaran. Contoh: bahan pembakar.
  • Modal sosial ialah modal yang dapat melicinkan proses pengeluaran sesuatu barang atau perkhidmatan. Contoh: jalan raya, sekolah, dan hospital.
  • Boleh dipindahkan (mobiliti) dari satu tempat ke tempat yang lain.
  • Ganjaran kepada modal ialah kadar bunga.

Usahawan

  • Bertanggungjawab menggabungkan faktor-faktor pengeluaran untuk menghasilkan barang dan perkhidmatan
  • Berinovasi dan sanggup menanggung risiko.
  • Ganjaran kepada usahawan ialah keuntungan.

Kehendak manusia

Kehendak boleh didefinisikan sebagai keinginan individu untuk menggunakan barang dan perkhidmatan bagi menikmati hidup yang lebih selesa.

Keperluan boleh didefinisikan sebagai keinginan individu terhadap barang keperluan asas yang mesti dipenuhi bagi meneruskan kehidupan.

PerbezaanKehendak danKeperluan

Keperluan ialah keinginan terhadap barang asas yang penting untuk terus hidup, manakala kehendak merupakan keinginan untuk memiliki barang dan perkhidmatan supaya hidup menjadi lebih selesa.

Keperluan manusia terhadap barang keperluan asas adalah terhad dan terbahagi kepada tiga jenis sahaja, iaitu makanan, pakaian, dan tempat tinggal. Sebaliknya, kehendak manusia adalah tidak terhad.

Keperluan mesti dipenuhi bagi membolehkan seseorang individu terus hidup. Sebaliknya, kehendak tidak perlu dipenuhi bagi meneruskan kehidupan.

Keperluan bersifat sejagat tetapi kehendak bersifat pelbagai. Setiap individu mempunyai kehendak yang berlainan, bergantung kepada cita rasa masing-masing.

Misalnya, golongan berpendapatan tinggi berkehendakkan barang mewah tetapi bagi golongan berpendapatan rendah, barang normal lebih dipentingkan.


Barang dalam ekonomi dapat di bahagikan kepada:

Barang percuma

  • Penawarannya tidak terhad.
  • Tidak dikeluarkan oleh manusia. Sebaliknya, barang percuma merupakan anugerah alam semula jadi
  • Tidak memerlukan kos untuk mengeluarkannya. Kos lepas barang percuma ialah sifar.
  • Tiada kos lepas.
  • Boleh diperoleh tanpa sebarang bayaran kerana tidak mempunyai harga sebagai pengukur nilai
  • Contoh: air hujan dan cahaya matahari

Barang ekonomi

  • Semua barang selain barang percuma dikenali sebagai barang ekonomi.
  • Penawarannya terhad
  • Memerlukan kos untuk mengeluarkannya.
  • Ada kos lepas.
  • Oleh sebab pengeluaran barang ekonomi melibatkan kos, pengguna perlu membayar untuk menggunakannya.
  • Contoh: kereta dan telefon bimbit

Barang awam

  • Barang yang ditawarkan kepada semua orang / tiada pengeculian dalam penggunaannya.
  • Ini bermaksud, semua orang boleh menggunakan barang awam tanpa mengira sama ada mampu membayar ataupun tidak.
  • Penawarannya terhad
  • Barang awam ditawarkan kepada semua golongan masyarakat, sama ada golongan kaya atau golongan miskin.
  • Biasanya disediakan oleh kerajaan bagi tujuan meningkatkan taraf kebajikan masyarakat, bukannya untuk memaksimumkan keuntungan.
  • Ada kos lepas
  • Tidak dikenakan bayaran, kalau dikenakan pun hanya minimum sahaja.
  • Contoh: rumah api dan taman rekreasi.
  • Barang awam juga dikenali sebagai barang sosial.

Barang persendirian

  • Barang yang dimiliki oleh orang persendirian
  • Orang lain tidak boleh menggunakannya tanpa kebenaran pemiliknya.
  • Bukan semua orang boleh menggunakan barang persendirian, sebaliknya hanya semua orang yang mampu membelinya sahaja boleh menggunakan barang ini.
  • Contoh: rumah dan kereta.
  • Barang persendirian juga dikenali sebagai barang swasta.

Barang pengeluar / barang modal

  • Barang siap atau barang akhir yang digunakan untuk mengeluarkan barangan lain.
  • Barang yang tidak berubah bentuk fizikalnya semasa proses pengeluaran.
  • Contoh: mesin dan jentera.

Barang perantaraan

  • Barang yang digunakan oleh firma sebagai input pengeluaran (bahan mentah).
  • Barang perantaraan akan kehilangan bentuk asalnya selepas digunakan dalam proses pengeluaran. Barang perantaraan juga dikenali sebagai modal kerja.
  • Merupakan barang pertengahan atau barang yang masih diproses untuk dijadikan barang siap.
  • Barang perantaraan akan mengalami perubahan bentuk fizikalnya semasa proses pengeluaran.
  • Contoh: getah, tepung gandum dan gula pasir

Barang pengguna

  • Merupakan barang akhir / barang siap untuk digunakan oleh pengguna.
  • Berbanding dengan barang pengeluar yang dibeli oleh penjual, pengeluar atau firma lain, barang pengguna dibeli oleh pengguna.
  • Terbahagi kepada barang tahan lama dan tidak tahan lama.
  • Contoh barang tidak tahan lama ialah ikan dan sayur-sayuran.
  • Contoh barang tahan lama ialah motorsikal dan radio.

Masalah ekonomi

Disebabkan kehendak manusia adalah tidak terhad manakala sumber ekonomi adalah terhad akan mewujudkan:

Masalah kekurangan

  • Sumber / faktor pengeluaran yang sedia ada hanya dapat mengeluarkan sebahagian daripada barangan yang dikehendaki oleh pengguna.
  • Apabila sesuatu sumber digunakan untuk mengeluarkan sesuatu barang, sumber tersebut tidak dapat digunakan untuk mengeluarkan barang lain.
  • Isi rumah mengalami kekurangan pendapatan dan firma mengalami kekurangan sumber pengeluaran.

Masalah pilihan

  • Masalah kekurangan menyebabkan isi rumah dan firma tidak dapat memenuhi semua kehendak mereka.
  • Masalah kekurangan menyebabkan isi rumah dan firma perlu membuat pilihan.
  • Isi rumah membuat pilihan untuk memaksimumkan kepuasan dan firma membuat pilihan untuk memaksimumkan keuntungan.

Masalah kos lepas

  • Jumlah barang kedua terbaik yang terpaksa dilepaskan kerana memilih pilihan yang terbaik.
  • Contoh: seorang pelajar mempunyai RM10.00. Dia terpaksa membuat pilihan sama ada membeli sebuah buku latihan ekonomi yang berharga RM10.00 atau membeli monopod yang berharga RM10.00. Jika pelajar tersebut memilih membeli buku latihan ekonomi, maka kos lepasnya ialah monopod.

Masalah asas ekonomi

Masalah asas ekonomi wujud disebabkan sumber ekonomi yang terhad berbanding dengan
kehendak yang tidak terhad. Masalah asas ekonomi adalah sama di semua negara tanpa
mengira sama ada negara maju atau di negara sedang membangun.

Terdapat 4 masalah asas ekonomi seperti berikut:

Apa barang yang hendak dikeluarkan

Merujuk kepada jenis barang yang hendak dikeluarkan oleh pengeluar berikutan sumber ekonomi yang terhad. Pengeluar mengeluarkan barang berdasarkan kepada kehendak masyarakat dan corak peruntukan sumber. Walau bagaimanapun, pengeluar tidak dapat mengeluarkan semua jenis barang yang diminta oleh pengguna kerana kekurangan sumber. Jenis barang yang dikeluarkan mestilah dapat memenuhi kehendak dan memaksimumkan kepuasan masyarakat serta keuntungan firma.

Berapa hendak dikeluarkan

Merujuk kepada kuantiti barang yang hendak dikeluarkan oleh firma. Jumlah keluaran bergantung kepada mekanisme harga (permintaan dalam pasaran) atau ditentukan oleh kerajaan. Jika permintaan tinggi, firma akan menambahkan pengeluaran terhadap barang tersebut dan sebaliknya.

Bagaimana barang hendak dikeluarkan

  • Ia merujuk kepada teknik atau kaedah pengeluaran yang akan dipilih oleh pengeluar.
  • Pengeluar boleh memilih sama ada menggunakan kaedah intensif buruh atau intensif modal.
  • Jika harga buruh rendah, kaedah intensif buruh digunakan kerana pengeluar dapat meminimumkan kos pengeluaran dan memaksimumkan untung.
  • Jika harga modal rendah, kaedah intensif modal digunakan kerana pengeluar dapat meminimumkan kos pengeluaran dan memaksimumkan untung

Untuk siapa barang hendak dikeluarkan

  • Merujuk kepada pengagihan barang dan perkhidmatan kepada masyarakat.
  • Bergantung pada corak agihan pendapatan atau kuasa beli pengguna.
  • Biasanya golongan yang berpendapatan tinggi mempunyai kuasa beli yang besar dan dapat memiliki lebih banyak barang daripada golongan berpendapatan rendah.

Keluk Kemungkinan Pengeluaran

Satu keluk yang menunjukkan kombinasi maksimum dua jenis barang yang dapat dikeluarkan oleh sesebuah ekonomi dengan menggunakan semua sumber yang ada pada tingkat teknologi tertentu.

Andaian:
(1) Ekonomi telah mencapai guna tenaga penuh
(2) Ekonomi hanya mengeluarkan dua jenis barang
(3) Jumlah faktor pengeluaran tetap
(4) Tingkat teknologi tidak berubah

Keluk Kemungkinan Pengeluaran Yang Lurus

KombinasiPakaian (unit)Kain (unit)
A025
B520
C1015
D1510
E205
F250
  • Kombinasi pada titik A, 25 unit barang kain dan 0 unit barang pakaian
  • Kombinasi pada titik B, 20 unit barang kain dan 5 unit barang pakaian
  • Kombinasi pada titik C, 15 unit barang kain dan 10 unit barang pakaian

PergerakanKos lepas untuk mengeluarkan seunit barang pakaian
A ke B25-20 / 5-0
=  1 unit kain
B ke C20-15 / 10-5
=  1 unit kain
C ke D15-10 / 15-10
=  1 unit kain
D ke E10-5 / 20-15
=  1 unit kain
E ke F5-0 / 25-20
=  1 unit kain
  • Kesimpulannya, bagi setiap tambahan pengeluaran 1 unit barang pakaian, ekonomi terpaksa mengurangkan 1 unit barang kain.
  • Keluk kemungkinan pengeluarannya berbentuk garis lurus di sebabkan oleh kos lepas malar di mana kecekapan faktor pengeluaran adalah sama

Keluk Kemungkinan Pengeluaran Yang Cembung

KombinasiBarang industri (unit)Barang pertanian (unit)
A030
B129
C227
D323
E417
F50
  • Kombinasi pada titik A, 30 unit barang pertanian dan 0 unit barang industri
  • Kombinasi pada titik B, 29 unit barang pertanian dan 1 unit barang industri
  • Kombinasi pada titik C, 27 unit barang pertanian dan 2 unit barang industri

PergerakanKos lepas untuk mengeluarkan seunit barang industri
A ke B30-29 / 1-0
=  1 unit barang pertanian
B ke C29-27 / 2-1
=  1 unit barang pertanian
C ke D27-23 / 3-2
=  4 unit barang pertanian
D ke E23-17 / 4-3
=  6 unit barang pertanian
E ke F17-0 / 5-4
=  17 unit barang pertanian
  • Kesimpulannya, bagi setiap tambahan pengeluaran 1 unit barang industri, ekonomi terpaksa mengurangkan lebih banyak barang pertanian.
  • Keluk kemungkinan pengeluarannya berbentuk cembung.

Perubahan Keluk Kemungkinan Pengeluaran

(i) Perubahan anugerah sumber

  • Pertambahan anugerah sumber disebabkan pertambahan penduduk atau kemasukan buruh asing, penemuan sumber alam baru dan pertambahan pelaburan. Ia akan menyebabkan keluk kemungkinan pengeluaran akan beralih ke kanan secara selari dari AB ke A’B’
  • Pengurangan anugerah sumber disebabkan oleh kepupusan bahan galian, pengurangan tenaga kerja asing dan kemerosotan pelaburan.
  • Ia akan menyebabkan keluk kemungkinan pengeluaran akan beralih ke kiri secara selari dari AB ke A’B’.
  • (ii) Kemajuan tingkat teknologi
  • Perkembangan teknologi menyebabkan daya pengeluaran meningkat. Kesannya, pengeluaran barang dalam ekonomi bertambah.
  • Perkembangan teknologi yang sama dalam pengeluaran barang X dan barang Y , menyebabkan keluk kemungkinan pengeluaran beralih ke kanan secara selari dari AB ke A ’B’
  • Jika berlaku perkembangan teknologi dalam pengeluaran barang Y sahaja, maka pengeluaran barang Y sahaja bertambah.
  • Keluk kemungkinan pengeluaran akan beralih ke kanan dari AB ke A’B.
  • Jika berlaku perkembangan teknologi dalam pengeluaran barang X sahaja, maka pengeluaran barang X sahaja bertambah.
  • Keluk kemungkinan pengeluaran akan beralih ke kanan dari AB ke AB’.

(iii) Komposisi barang modal dan barang pengguna

  • Kadar pertambahan komposisi barang modal sama dengan kadar pertambahan barang pengguna akan menyebabkan pertambahan barang modal dan barang pengguna dalam kadar yang sama (rajah a)
  • Keluk kemungkinan pengeluaran akan beralih ke kanan secara selari dari AB ke A’B’.
  • Kadar pengurangan komposisi barang modal sama dengan kadar pengurangan barang pengguna akan menyebabkan pengurangan barang modal dan barang pengguna dalam kadar yang sama (rajah b)
  • Keluk kemungkinan pengeluaran akan beralih ke kiri secara selari dari AB ke A’B’.

  • Sekiranya pertambahan komposisi barang pengguna sahaja yang bertambah, pengeluaran barang pengguna sahaja bertambah manakala barang modal adalah tetap.
  • Keluk kemungkinan pengeluaran akan beralih ke kanan dari AB ke A’B.

  • Sekiranya pertambahan komposisi barang modal sahaja yang bertambah, pengeluaran barang modal sahaja bertambah manakala barang pengguna adalah tetap.
  • Keluk kemungkinan pengeluaran akan beralih ke kanan dari AB ke AB’.

Sistem Ekonomi

Sistem Ekonomi Kapitalis / Pasaran Bebas

Adalah satu sistem ekonomi di mana individu bebas mebuat keputusan dan menjalankan aktiviti ekonomi tanpa campurtangan kerajaan. Contoh : Amerika Syarikat

Sistem pemilikan

Individu bebas memiliki dan menggunakan sumber ekonomi iaitu buruh, tanah, modal dan usahawan.

Sistem membuat keputusan

  • Pengguna dan pengeluar bebas membuat keputusan ekonomi.
  • Peruntukkan sumber ditentukan oleh mekanisme harga iaitu kuasa permintaan dan penawaran di pasaran.

Agihan pendapatan

  • Agihan pendapatan ditentukan berdasarkan jumlah faktor pengeluaran dimiliki. Semakin banyak faktor dimiliki, semakin banyak pendapatan diperoleh.
  • Keadaan in menyebabkan agihan pendapatan tidak setara

Insentif / peruntukan sumber

  • Individu bebas memperoleh dan mencari kekayaan dan pengeluar bebas bersaing untuk mendapatkan keuntungan maksimum.
  • Oleh itu terdapat pelbagai insentif untuk meningkatkan daya saing.

KebaikanSistem Ekonomi Kapitalis

Dapat membuat keputusan dengan cepat
Semua keputusan ekonomi dapat dibuat melalui mekanisme harga. Harga pasaran akan naik
apabila wujud lebihan permintaan, manakala harga pasaran akan jatuh apabila wujud lebihan
penawaran.

Insentif bekerja
Oleh sebab semua keuntungan akan menjadi milik persendirian individu atau firma, pengeluar akan bersungguh-sungguh untuk mengumpul kekayaan. Dalam sistem ekonomi pasaran bebas, semua individu bebas mengumpul harta kekayaan sebanyak mungkin. Memandangkan sistem ekonomi pasaran bebas tidak melibatkan campur tangan kerajaan, firma tidak perlu membayar cukai pendapatan dan cukai lain.

Insentif bekerja
Konsep kecekapan ekonomi merujuk kepada output maksimum yang dapat dikeluarkan dengan menggunakan sumber atau input yag terhad. Memandangkan matlamat firma adalah untuk memperoleh keuntungan maksimum, firma harus memastikan proses pengeluaran yang dijalankan sentiasa berada pada tahap kecekapan yang tinggi.

Faedah persaingan
Dalam sistem ekonomi pasaran bebas, setiap firma bebas bersaing antara satu sama lain. Sesungguhnya, persaingan yang sihat dapat menggalakkan inovasi, kemajuan teknologi dan
meningkatkan daya saing firma dalam pasaran. Seterusnya, pengguna dapat mencapai tingkat kepuasan yang lebih tinggi melalui penawaran pelbagai jenis barang oleh firma dalam pasaran.


Kelemahan Sistem Ekonomi Kapitalis

Pengabaian kebajikan masyarakat
Dalam sistem ekonomi pasaran bebas, kebajikan masyarakat sering diabaikan kerana firma hanya mementingkan keuntungan persendirian semata-mata. Tanggungjawab sosial terhadap masyarakat kurang diberi perhatian oleh firma. Contohnya, firma akan tetap menjual mercun dan barang yang berbahaya kepada pengguna selagi barang tersebut mendapat permintaan daripada pengguna.

Harga tidak stabil
Dalam sistem ekonomi pasaran bebas, harga barang tidak dikawal oleh kerajaan. Sebaliknya, harga barang ditentukan oleh kuasa permintaan dan penawaran dalam pasaran. Apabila permintaan melebihi penawaran, harga akan naik. Sesungguhnya, kenaikan harga ini akan membebankan pengguna yang berpendapatan rendah. Beban pengguna akan menjadi semakin ketara jika barang yang mengalami kenaikan harga merupakan barang keperluan yang penting kepada pengguna. Sebaliknya, jika penawaran melebihi permintaan, harga pasaran akan jatuh. Keadaan ini akan menyukarkan para petani yang terpaksa berhadapan dengan masalah keluaran pertanian yang sangat rendah.

Kekurangan pengeluaran barang sosial
Barang sosial ialah barang yang tidak boleh dikecualikan penggunaannya. Biasanya, pengeluaran barang sosial bertujuan untuk meningkatkan taraf kebajikan masyarakat dan bukan untuk memaksimumkan keuntungan persendirian. Oleh itu, barang sosial kurang dikeluarkan oleh sektor swasta. Contoh barang sosial ialah taman permainan kanak-kanak.

Eksternaliti negatif
Eksternaliti negatif ialah kesan luaran negatif yang timbul daripada perkembangan industri yang tidak terkawal. Contoh eksternaliti negatif yang wujud daripada proses pengeluaran firma ialah pencemaran alam sekitar. Sesungguhnya, pencemaran yang berpunca daripada pembuangan sisa dan bahan toksik yang mencemarkan persekitaran merupakan kos sosial yang perlu ditanggung oleh masyarakat setempat.

Jurang agihan pendapatan
Dalam sistem ekonomi pasaran bebas, wujud jurang agihan pendapatan yang luas antara golongan kaya dengan golongan miskin. Jurang agihan pendapatan yang luas ini boleh menggugat keharmonian masyarakat. Keadaan ini boleh memberi kesan buruk kepada pertumbuhan ekonomi negara.


Sistem Ekonomi Perancangan Pusat (Sosialis)

Adalah satu sistem ekonomi di mana kerajaan mempunyai kuasa mutlak dalam menentukan keputusan dan kegiatan ekonomi. Contoh: negara komunis

Sistem pemilikan

  • Sumber ekonomi iaitu buruh, modal, tanah dan usahawan adalah milik kerajaan sepenuhnya.
  • Ia digunakan kerajaan untuk menghasilkan barang dan perkhidmatan.

Sistem membuat keputusan

  • Semua keputusan ekonomi dibuat oleh kerajaan melalui badan perancangan pusat.
  • Kerajaan memperuntukkan sumber ekonomi untuk mengeluarkan barang demi memaksimumkan kebajikan masyarakat.
  • Individu tidak berhak memilih barang dan perkhidmatan yang digunakan.

Agihan pendapatan

  • Kerajaan bertanggung jawab dalam pengagihan pendapatan dan kekayaan secara adil dan saksama. Oleh itu, agihan pendapatan setara.
  • Tidak wujud persaingan untuk mengeluarkan barang dan perkhidmatan kerana semuanya dikeluarkan oleh kerajaan.

Insentif / peruntukan sumber

  • Tujuan utama pengeluaran barang adalah untuk memaksimumkan kebajikan rakyat,
  • Individu tidak bebas memperoleh dan mencari kekayaan. Oleh itu , insentif / ganjaran kurang.

Sistem Ekonomi Campuran

Adalah satu sistem ekonomi di mana individu bebas mebuat keputusan dan menjalankan aktiviti ekonomi dan wujud campurtangan kerajaan. Iaq menekankan kerjasama antara pihak swasta dengan kerajaan dalam menyelesaikan masalah asas ekonomi. Contoh : Malaysia

Sistem pemilikan

Individu bebas memiliki sumber ekonomi dan terdapat sumber milik kerajaan untuk mengeluarkan barang awam

Sistem membuat keputusan

  • Pengguna , pengeluar dan kerajaan bersama-sama membuat keputusan ekonomi.
  • Peruntukkan sumber ditentukan oleh mekanisme harga dan dikawal oleh kerajaan melalui undang-undang dan peraturan.
  • Individu dan pihak swasta bebas memilih barang untuk memaksimumkan kepuasan dan memaksimumkan keuntungan.
  • Kerajaan memiliki sumber ekonomi untuk memaksimumkan kebajikan dengan mengeluarkan barang awam.

Agihan pendapatan

Agihan pendapatan lebih setara kerana ada campur tangan kerajaan melalui pengenaan cukai kepada golongan yang berpendapatan tinggi dan pemberian subsidi kepada golongan berpendapatan rendah.

Insentif / peruntukan sumber

  • Individu bebas memperoleh dan mencari kekayaan dan pengeluar bebas bersaing untuk mendapatkan keuntungan maksimum, tetapi dikawal oleh kerajaan.
  • Kerajaan mengeluarkan barang awam unutk memaksimumkan kebajikan masyarakat.
  • Oleh itu terdapat pelbagai insentif untuk meningkatkan daya usaha individu dan kerajaan.

Sistem Ekonomi Islam

Adalah satu sistem ekonomi di mana individu bebas membuat keputusan dan menjalankan aktiviti ekonomi dengan campurtangan kerajaan dan berlandaskan kepada syariat Islam (Al-Quran dan Sunnah)

Sistem pemilikan

  • Sumber ekonomi adalah milik Allah dan manusia hanya sebagai pemegang amanah.
  • Individu bebas mengumpul harta kekayaan tetapi tidak bertentangan dengan dengan syariat Islam.

Sistem membuat keputusan

  • Pengguna , pengeluar dan kerajaan bersama-sama membuat keputusan ekonomi.
  • Peruntukkan sumber ditentukan oleh mekanisme harga dan dikawal oleh kerajaan melalui undang-undang dan peraturan berdasarkan hukum Islam.

Agihan pendapatan

  • Harta dan kekayaan perlu diagihkan secara adil.
  • Mereka yang mampu diwajibkan mengeluarkan zakat untuk membantu golongan miskin. Ini akan dapat merapatkan jurang perbezaan antara golongan kaya dan golongan miskin.

Insentif / peruntukan sumber

  • Tujuan dalam sistem ekonomi ini adalah untuk mendapatkan kesejahteraan dunia dan akhirat.
  • Segalanya dianggap sebagai ibadah dan akan mendapat ganjaran di akhirat.
  • Oleh itu , terdapat unsur insentif .

Pasaran dan Penyelesaian Masalah Asas Ekonomi

Ekonomi Pasaran Bebas

Bagaimanakah Sistem Ekonomi Pasaran Bebas Menyelesaikan Masalah Asas Ekonomi

(i) Apa dan berapa barang yang hendak dikeluarkan

  • diselesaikan melalui mekanisme harga iaitu interaksi antara kuasa permintaan dan penawaran dalam pasaran.
  • Pengguna mempunyai kuasa (dianggap sebagai raja) dalam menentukan jenis dan kuantiti barang yang dikeluarkan.

(ii) Bagaimanakah barang yang hendak dikeluarkan

  • bergantung kepada teknik pengeluaran yang paling cekap / teknik pengeluaran yang dapat meminimumkan kos pengeluaran bagi memaksimumkan keuntungan.
  • Pengeluar perlu memilih teknik yang paling cekap dengan kos yang lebih murah sama ada intensif buruh atau intensif modal.

(iii) Untuk siapakah barang itu dikeluarkan

  • bergantung kepada kemampuan membeli / kuasa beli / kesanggupan membayar / corak agihan pendapatan.
  • Individu berpendapatan tingggi cenderung mendapat lebih banyak barang berbanding individu berpendapatan rendah.

Kebaikan Sistem Ekonomi Pasaran Bebas

(i) Mementingkan kebajikan individu

Kebajikan negara berada pada tahap tinggi kerana individu berusaha untuk memaksimumkan kepuasan masing-masing.

(ii) Menggalakkan persaingan

Persaingan yang sihat dikalangan pengeluar dapat meningkatkan kecekapan dan kebajikan pengguna seperti harga barang di pasaran yang sentiasa rendah.

(iii) Menggalakkan perkembangan teknologi dan penciptaan baharu.

  • Persaingan akan meningkatkan teknologi dan reka cipta baru di pasaran.
  • Kesannya, kos pengeluaran akan berkurangan, kualiti barang meningkat dan proses pengeluaran dapat di percepatkan.

Kelemahan Sistem Ekonomi Pasaran Bebas

(i) Kegagalan mengeluarkan barang awam

  • Barang awam tidak dikeluarkan oleh pengeluar kerana tidak menguntungkan.
  • Objektif utama sistem ekonomi pasaran bebas untuk mendapat keuntungan yang maksimum

(ii) Ketidakstabilan ekonomi

  • Harga barang cenderung turun naik akibat kebebasan pengeluar membuat keputusan ekonomi dan tiada campurtangan kerajaan.
  • Ketidakstabilan harga mendorong kepada ketidakstabilan ekonomi, yang akan menjejaskan kebajikan rakyat sesebuah negara.

(iii) Ketidakadilan dalam agihan pendapatan

  • Kebebasan memiliki sumber-sumber pengeluaran menyebabkan jurang pendapatan antara golongan berpendapatan tinggi dengan golongan berpendapatan rendah semakin besar.
  • Kesannya, proses pembangunan negara dan keharmonian negara akan terjejas.

(iv) Mewujudkan monopoli dalam pasaran

  • Persaingan bebas antara pengeluar akan mengwujudkan monopoli dalam pasaran dimana firma yang kuat sahaja dapat bertahan dalam pasaran.
  • Kewujudan monopoli dalam pasaran memberi kesan buruk pada pengguna seperti harga yang tinggi dan kuantiti barang yang sedikit di pasaran.

(v) Kewujudan kesan luaran (eksternaliti) negatif

  • Objektif untuk memaksimumkan untung menyebabkan pengelauar mengabaikan tanggungjawab sosial.
  • Contohnya: Pencemaran air sungai hasil dari pembuangan sisa-sisa kilang ke dalam sungai yang akan menjejaskan kesihatan dan kebajikan masyarakat.

Perlunya Campur Tangan Kerajaan

(i) Menyediakan barang awam

  • Tidak dikeluarkan oleh pihak swasta kerana tidak menguntungkan mereka.
  • Oleh itu, kerajaan akan campurtangan dalam menyediakan barang awam seperti hospital untuk kebajikan rakyat.

(ii) Mengawal kuasa monopoli

Kuasa monopoli menyebabkan ketidakcekapan pengeluaran dan peruntukkan sumber dalam ekonomi. Firma monopoli juga akan mengenakan harga yang tinggi dan mengeluarkan keluaran yang rendah.

Oleh itu, campurtangan kerajaan perlu mengawal harga dan meningkatkan keluaran dengan melaksanakan dasar harga maksimum / dasar harga minimum / dasar peletakan harga

(iii) Mencapai kestabilan ekonomi

  • Ketidakstabilan ekonomi seperti masalah inflasi / pengangguran akan mendatangkan masalah kepada negara.
  • Oleh itu, kerajaan perlu campurtangan dengan melaksanakan dasar fiskal atau dasar kewangan untuk memastikan kestabialan ekonomi.

(iv) Merapatkan jurang agihan pendapatan

  • Agihan pendapatan yang tidak setara menyebabkan jurang pendapatan golongan kaya dan miskin semakin besar.
  • Oleh itu, kerajaan perlu campurtangan dengan mengenakan cukai kepada golongan kaya dan bantuan subsidi kepada golongan miskin supaya agihan pendapatan lebih setara.

(v) Mengawal kesan luaran yang negatif

  • Perkembangan industri yang tidak terkawal dan sikap pengeluar mementingkan keuntungan mewujudkan kesan luaran negatif seperti pencemaran udara, air atau bunyi yang menyebabkan penurunan taraf hidup masyarakat.
  • Oleh itu, kerajaan perlu campurtangan seperti dengan melaksanakan peraturan dan undang-undang.

Soalan dan Panduan Menjawab

BAHAGIAN B (ESEI)

1. (a) Terangkan dua kebaikan sistem ekonomi pasaran bebas.

i) Mementingkan kebajikan individu
Kebajikan negara berada pada tahap tinggi kerana individu berusaha untuk memaksimumkan kepuasan masing-masing.

(ii) Menggalakkan persaingan
Persaingan yang sihat dikalangan pengeluar dapat meningkatkan kecekapan dan kebajikan pengguna seperti harga barang di pasaran yang sentiasa rendah.

(b) Terangkan bagaimana sistem ekonomi pasaran bebas mengatasi masalah asas ekonomi yang dihadapi oleh pengeluar kopi?

Berapa banyak kopi hendak dikeluarkan?
Kuantiti kopi yang hendak dikeluarkan bergantung kepada jumlah permintaan pasaran melalui proses mekanisme harga.

Bagaimana kopi hendak dikeluarkan?
Pengeluar menggunakan kaedah pengeluaran yang cekap samada intensif buruh atau intensif modal untuk meminimumkan kos pengeluaran dan memaksimumkan keuntungan.

Untuk siapa kopi dikeluarkan?
Kopi dikeluarkan berdasarkan kepada corak agihan pendapatan. Semakin tinggi pendapatan atau kuasa beli pengguna maka semakin banyak kopi boleh diperolehi.


BAHAGIAN C (KUANTITATIF)

Jadual di bawah menunjukkan kombinasi barang modal dan barang penggunayang dapat dikeluarkan oleh sesebuah ekonomi.

a) Nyatakan andaian yang dibuat dalam penerbitan keluk kemungkinan pengeluaran.

  • Ekonomi hanya mengeluarkan 2 jenis barang sahaja
  • Tingkat teknologi tidak berubah
  • Jumlah faktor pengeluaran tetap
  • Ekonomi pada guna tenaga penuh

b) Dengan menggunakan kertas graf, lukiskan keluk kemungkinan pengeluaran bagi ekonomi tersebut.

c) Jelaskan implikasi kombinasi pengeluaran jika pengeluaran seperti berikut:

(i) 3 unit barang perkilangan dan 30 unit barang pertanian
(ii) 10 unit barang pertanian dan 4 unit barang perkilangan
(iii) 2 unit barang perkilangan dan 30 unit barang pertanian

(i)
– Kombinasi ini terletak di luar keluk kemungkinan pengeluaran.
– Ekonomi tidak dapat mengeluarkan kombinasi ini kerana sumber ekonomi dan tingkatan teknologi yang disedia ada tidak mengcukupi.

(ii)
– Kombinasi ini terletak didalam kemungkinan pengeluaran.
– Kombinasi ini menunjukkan ketidakcekapan penggunaan sumber kerana keluaran masih dapat ditingkatkan tanpa mengurangkan barang lain.

(iii)
– Kombinasi ini menunjukkan keluaran maksimum yang dapat dikeluarkan apabila semua sumber digunakan sepenuhnya dengan cara yang cekap.
– Tambahan keluaran satu barang tidak dapat dilakukan tanpa mengurangkan keluaran barang yang lain.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You cannot copy content of this page