Contoh Karangan Punca Masalah Disiplin

Masalah disiplin semakin berleluasa di sekolah. Apakah punca atau faktor yang mempengaruhi remaja sampai menimbulkan masalah disiplin di sekolah?

Punca Masalah Disiplin di Sekolah

Baru-baru ini tular di media sosial tentang sekumpulan pelajar SPM yang pulang dari sekolah dengan pakaian yang berconteng perkataan menghina guru. Perbuatan tidak bermoral ini menjadi bukti masalah disiplin masih wujud dan berlaku di sekolah malah masalah disiplin semakin berleluasa sementelah pula tindakan mereka tersebut mendapat perhatian media sosial lalu mereka berasa bangga dengan tindakan yang tidak bermoral. Oleh itu, kita hendaklah mencari punca masalah ini terjadi agar dapat kita memperbetul sebelum nasi menjadi bubur. Persoalan yang menerjah dalam kotak pemikiran kita ialah, apakah punca atau faktor yang mempengaruhi remaja melakukan tindakan melanggar disiplin di sekolah?

Sikap pelajar yang agresif

Sikap pelajar yang agresif dan bertindak di luar batas merupakan punca utama masalah disiplin di sekolah . Hal ini dikatakan demikian kerana pelajar tersebut telah terdidik dengan cara yang agresif sejak kecil lagi sehingga sukar untuk ditegur oleh ibu bapa mereka. Sebagai satu tamsilan, pelajar akan bertindak mengganggu rakan sekelas, membuat bising ketika guru sedang mengajar dan bergaduh dengan rakan-rakan lain. Tindakan pelajar tersebut telah menyebabkan masalah disiplin berlaku di sekolah. Akibatnya, guru menghadapi masalah untuk menyelesaikan pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas jika ada gangguan yang boleh merencatkan tugasan mereka.

Pengaruh rakan sebaya

Selain sikap pelajar yang agresif, pengaruh rakan sebaya turut menjadi faktor masalah disiplin ini terjadi. Hal ini dikatakan demikian kerana mereka mudah mempercayai rakan sebaya lantaran mereka sering bersama sepanjang hari persekolahan. Hubungan mereka begitu akrab bagai isi dengan kuku. Keadaan ini akan menyukarkan ibu bapa untuk mendidik anak mereka lantaran pengaruh rakan sebaya begitu tenal dalam jiwa remaja sehingga mereka sanggup mempertahankan rakan jika ibu bapa bertindak menghalang hubungan mereka. Akibatnya, pelajar akan sering ponteng sekolah mengikut rakan mereka pergi melepak di pasar raya atau di mana-mana sahaja.

Ibu bapa tidak meluangkan masa bersama anak

Dari sudut yang berbeza pula, sikap ibu bapa turut menjadi faktor pelajar melakukan masalah disiplin di sekolah. Kebanyakan ibu bapa yang bekerja, mereka akan keluar ke tempat kerja pada awal pagi dan pulang pada lewat malam. Keadaan ini menyebabkan ibu bapa tiada masa bersama-sama anak mereka lalu anak-anak terabai dan kurang perhatian daripada mereka. Akibatnya, anak-anak akan melakukan tindakan yang melanggar peraturan sekolah dengan tujuan untuk mendapatkan perhatian daripada ibu bapa. Secara tidak langsung, tindakan anak-anak yang melanggar peraturan sekolah akan menimbulkan masalah disiplin lalu mengganggu pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah.

Pengaruh media massa dan media sosial

Tidak dinafikan pengaruh media massa khususnya media sosial yang begitu rapat dengan remaja telah menyebabkan masalah disiplin berlaku di sekolah. Mereka membawa telefon bimbit ke sekolah untuk melayari Internet dan media sosial seperti Facebook, Tiktok, Instagram dan Twitter. Mereka begitu sibuk untuk memuat naik dan mengemas kini status dalam media sosial. Hal ini menyebabkan pelajar tidak dapat memberi tumpuan semasa pengajaran guru. Akibatnya, pelajar tidak menghargai masa walaupun peribahasa dahulu menyebut masa itu emas.

Penutup Karangan Punca Masalah Disiplin

Secara keseluruhannya, masalah disiplin yang berlaku di sekolah bukanlah semata- mata terletak atas bahu pihak sekolah sahaja untuk menyelesaikan masalah yang sudah bersarang lama dalam institusi pendidikan negara. Oleh itu, semua pihak hendaklah memberi kerjasama kepada pihak sekolah untuk mengatasi masalah disiplin agar dapat memastikan pelajar mengikuti pengajaran di dalam bilik darjah dalam suasana yang kondusif demi menjamin kejayaan pelajar dan masa depan mereka.


Contoh Karangan yang berkaitan: Langkah mengatasi masalah disiplin
Contoh Karangan yang berkaitan: Punca Ponteng Sekolah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You cannot copy content of this page