Karangan – Cara menarik menceburi bidang pertanian

Bidang pertanian merupakan sektor ekonomi yang penting di Malaysia. Huraikan cara menarik siswazah supaya menceburi bidang pertanian.

Cara untuk menarik siswazah menceburi bidang pertanian

Dalam satu ucapan persidangan Hala Tuju Sektor Pertanian dan Asas Tani, mantan Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi telah merasmikan persidangan lalu menggariskan panduan untuk menjadikan pertanian satu perniagaan seterusnya mengubah persepsi masyarakat tentang sektor pertanian di Malaysia. Persidangan yang diadakan ini bertujuan untuk mencari penyelesaian bagi mengembalikan sektor pertanian negara agar berada di landasan ekonomi dan seterusnya menarik minat para siswazah menceburi bidang petanian. Persoalannya, apakah tindakan yang boleh dilakukan oleh pelbagai pihak bagi menarik minat para pelajar di universiti menceburi bidang ini?

Ibu bapa memberi pendedahan awal

Langkah awal yang perlu dilakukan ialah ibu bapa memberi pendedahan awal kepada anak-anak tentang sektor pertanian. Peranan ini hendaklah dilakukan oleh ibu bapa dengan menjadi uswah hasanah kepada anak-anak seperti peribahasa yang mengatakan bagaimana acuan begitulah kuihnya. Mereka hendaklah memulakan aktiviti pertanian di halaman rumah bersama dengan anak-anak. Dengan cara ini, anak-anak akan terdidik sejak kecil lagi tentang pertanian kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Tegasnya, ibu bapa menjadi faktor kepada seseorang siswazah untuk meneruskan kesinambungan bidang pertanian di negara kita..

Pinjaman mudah kepada siswazah

Langkah seterusnya pula, pihak institusi kewangan perlulah memberi pinjaman mudah kepada para siswazah yang mempunyai minat dalam bidang pertanian. Kebanyakan siswazah ini ibarat setahun jagung darah setampuk pinang, mereka masih muda dan tiada simpanan wang yang banyak. Dalam isu ini, institusi perbankan negara seperti Agrobank hendaklah memainkan peranan mereka dengan mewujudkan skim pinjaman berkadar faedah rendah kepada siswazah yang ingin melakukan projek pertanian berskala sederhana atau besar dan bersifat komersial. Sesungguhnya, siswazah lepasan universiti perlulah mengambil peluang yang ada ini untuk menceburi bidang pertanian kerana dayung sudah di tangan perahu sudah di air.

Kursus yang berkaitan pertanian

Langkah yang perlu diambil oleh pihak institusi pendidikan tinggi adalah dengan menawarkan kursus yang berkaitan pertanian. Sebagai contoh, tawaran kursus agropelancongan, kursus teknologi pertanian, kursus akuakultur dan kursus usahawan pertanian. Kursus ini akan menggalakkan pelajar untuk mengikuti jurusan pertanian yang mempunyai potensi dalam kerjaya dan masa depan mereka. Tidak dinafikan bahawa kursus pertanian moden yang diadakan ini akan memajukan industri pertanian negara. Jelas sekali bahawa, transformasi pendidikan dalam bidang pertanian mampu mengubah pemikiran masyarakat khususnya anak muda.

Kempen kepentingan sektor pertanian

Langkah akhir yang tidak boleh diketepikan ialah kempen kepentingan sektor pertanian. Kerajaan hendaklah menjadikan media sosial sebagai landasan untuk hebahan dan galakan kepada siswazah untuk melibatkan diri dalam bidang pertanian. Penggunaan media sosial seperti Facebook, Instagram, Tiktok sebagai wahana pemasaran amat sesuai untuk mendekati golongan muda khususnya siswazah kerana kemenyan sebesar lutut jika tidak dibakar manakan berbau. Secara tidak disedari semua informasi, gambar dan tutorial tentang pertanian dapat dikongsi dengan semua orang. Tegasnya, media sosial menjadi wahana dalam menggalakkan siswazah meminati seterusnya melibatkan diri dalam bidang pertanian.

Penutup Karangan menarik menceburi bidang pertanian

Secara keseluruhannya, bidang pertanian merupakan sektor yang begitu dekat di hati rakyat namun haruslah diubah dan dilakukan anjakan paradigma agar siswazah yang melibatkan diri dalam sektor pertanian dapat berbangga kerana usaha mereka ini merupakan bukti mereka memiliki semangat cinta akan negara. Oleh itu, semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing agar dapat memastikan mereka yang bakal menjadi pemimpin masyarakat dan negara memiliki matlamat yang sama ke arah mencapai kemakmuran bersama pada tahun 2030.


Contoh Karangan: Kepentingan Sektor Pertanian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You cannot copy content of this page