Contoh Karangan Kepentingan Sektor Pertanian

Sektor pertanian pernah menjana pendapatan penting kepada negara sebelum era kegemilangan perindustrian. Huraikan Kepentingan Sektor Pertanian kepada negara kita.

Karangan Kepentingan Sektor Pertanian kepada Negara

Kepentingan Sektor Pertanian sebagaipendapatan negara kita pada suatu ketika dahulu. Hasil getah, kelapa sawit, padi dan seumpamanya menjadi penyumbang terbesar pendapatan negara. Namun, kemajuan arus pembangunan negara yang menjurus kepada sektor perindustrian telah menenggelamkan bidang pertanian sedikit demi sedikit. Pelbagai pihak telah memberi komentar mereka tentang kerajaan harus memajukan sektor pertanian pada masa ini. Pelbagai impak positif boleh wujud menerusi aktiviti pertanian dan juga mewujudkan banyak peluang pekerjaan untuk rakyat di negara ini.

Menjana Pendapatan Negara dan Masyarakat

Sektor pertanian sering dilihat sebagai satu aktiviti ekonomi yang boleh membawa banyak impak positif kepada negara. Sektor ini mampu menjana pendapatan yang besar kepada negara dan petani. Iklim dan tanih yang sesuai mampu memberikan pulangan yang lumayan. Hasil tani yang dituai oleh petani kecil boleh menjadi penyambung rezeki. Bagi tanaman komersial pula, negara dapat menambahkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) melalui pengeskportan tanaman seperti kelapa sawit dan lada hitam. Secara tidak langsung, pengaliran wang dari luar negara dapat ditambahkan dan memanfaatkan ekonomi negara kita. Pendapatan yang stabil dari bidang pertanian akan membantu negara kita menghadapi masalah kemelesetan ekonomi.

Menyediakan peluang pekerjaan

Selain itu, perkembangan pesat dalam sektor pertanian mampu menyediakan peluang pekerjaan yang cukup besar kepada rakyat di negara kita. Sejak zaman dahulu lagi, pertanian merupakan pekerjaan warisan yang menjana ekonomi keluarga. Semasa zaman pembangunan Malaysia, sektor pertanian menyumbang 50 peratus peluang pekerjaan. Pekerjaan dalam sektor pertanian bukan sahaja bekerja di ladang, malahan meliputi pemprosesan dan pemasaran. Masyarakat desa sememangnya bergantung kepada sektor ini kerana mereka mempunyai tanah yang luas untuk dikerjakan dan tenaga buruh yang mudah didapati. Tambahan, pekerjaan ini tidak memerlukan kelulusan yang tinggi berbanding kerja profesional dan separuh profesional. Ringkasnya, pertanian akan memastikan rakyat negara ini tidak menganggur pula.

Memastikan bekalan makanan yang mencukupi

Satu lagi kepentingan Sektor Pertanian ialah untuk menjadi sekuriti bekalan makanan yang cukup kepada negara kita. Malaysia merupakan antara negara yang menjadikan beras sebagai makanan utama seharian. Negara kita memerlukan banyak belakan makanan kerana kadar pertumbuhan penduduk negara kita yang semakin pesat. Sekiranya Malaysia terus bergantung kepada barang tani yang diimport dari luar negara, kita akan menghadapi risiko yang tinggi kerana kemungkinan berlakunya bencana alam dan menjejaskan bekalan makanan negara kita. Oleh hal yang demikian, kerajaan berusaha untuk membantu petani menghasilkan padi dan sektor pertanian tidak boleh dipandang ringan.

Pembangunan kawasan pedalaman

Kita sedia maklum bahawa pembukaan kawasan ladang biasanya melibatkan kawasan pedalaman atau belum dimajukan. Situasi ini membawa tindakan kerajaan memajukan sistem pengangkutan dan perhubungan kerana kawasan ladang memerlukan kemudahan awam ini untuk memastikan hasil ladang dapat dikeluarkan dengan sistematik. Perkembangan sistem pengangkutan dan perhubungan ini pula sudah pasti akan dinikmati juga oleh rakyat sekitar kawasan pertanian itu. Sesungguhnya, pembangunan pesat akan berlaku di kawasan yang dimajukan sebagai kawasan pertanian utama negara itu.

Imej negarabertambah baik

Imej negara juga akan menjadi bertambah baik apabila pertanian menjadi satu bidang ekonomi utama. Usaha menanam tanaman sebegini pasti menjadikan kawasan bumi lebih hijau dan bersih udaranya berbanding jika pembinaan kilang pula diutamakan oleh kerajaan. Pertanian dilihat oleh masyarakat luar sebagai satu usaha menghijaukan bumi lalu menghalang berlakunya kejadian bencana alam seperti tanah runtuh yang sering dikaitkan dengan kemusnahan kawasan hutan itu. Maka, pertanian bukan sahaja memberikan sumber kewangan tetapi turut mampu memulihkan imej negara menjadi lebih baik pula.

Penutup Karangan Kepentingan Sektor Pertanian

Kesimpulannya, semua impak positif yang diutarakan memang boleh dihasilkan menerusi sektor pertanian. Semua pihak hendaklah melihat kepentingan sektor pertanian dan sektor hijau ini sebagai berpotensi untuk dimajukan pula. Kita harus berusaha bersama-sama bak kata pepatah bagai aur dengan tebing supaya sektor ini mendapat perhatian dan pengiktirafan yang sewajarnya daripada rakyat serta negara. Kerajaan yang sudah mula menyedari kepentingan industri ini terus berusaha untuk menarik lebih banyak rakyat Malaysia turut menceburinya. Kalau kita memajukan pertanian, negara ini akan terus bertambah maju pada masa hadapan pula.


Contoh Karangan: Cara menarik menceburi bidang pertanian

One comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You cannot copy content of this page