Karangan Langkah Mempopularkan Permainan tradisional

Permainan tradisional semakin dipinggirkan oleh masyarakat Malaysia. Oleh hal yang demikian, pelbagai cara untuk menyuburkan permainan tradisonal perlu dipertingkatkan. Bincangkan.

Langkah untuk Mempopularkan Permainan tradisional

Malaysia kini berhadapan dengan arus globalisasi dan modenisasi yang berkembang pesat. Berkait rapat dengan perkembangan tersebut, generasi muda hari ini lebih terdedah kepada alam siber dan permainan komputer sehingga melupakan permainan tradisional yang merupakan warisan pusaka sejak duhulu lagi. Lantaran itu, permainan tradisional turut dipandang enteng serta mula tersisih daripada arus perdana kehidupan masyarakat. Oleh hal yang demikian, semua pihak perlu mengambil langkah yang proaktif bagi menyuburkan kembali permainan tradisional.

Ibu Bapa memperkenalkan permainan tradisional

Ibu bapa dianggap pihak yang paling dominan berperanan memperkenalkan serta mempopularkan permainan tradisional kepada generasi muda khususnya kepada anak-anak mereka. Ibu bapa perlu mendedahkan permainan tradisional kepada anak-anak mereka sejak kecil bertepatan dengan peribahasa melentur buluh biarlah dari rebungnya bagi tujuan memupuk minat bermain permainan tradisional. Mereka boleh membelikan anak-anak mereka permainan tradisional sebagai hadiah sempena hari ulang tahun ataupun sebagai hadiah kerana pencapaian cemerlang dalam akademik di sekolah.

Ibu bapa juga boleh menganjurkan pertandingan permainan tradisional melalui Hari Keluarga yang diadakan sama ada dilakukan secara bersendirian atau bersama dengan rakan-rakan sekerja. Inisiatif ini dapat memberikan peluang kepada seluruh ahli keluarga yang mengambil bahagian untuk mencuba bermain permainan tradisional seperti congkak, menaikkan layang-layang dan bermain gasing.

Kegiatan kokurikulum di sekolah

Selain itu, pihak kerajaan melalui Kementerian Pelajaran Malaysia mestilah menjadikan permainan tradisional sebagai satu daripada kegiatan kokurikulum di sekolah. Rentetan daripada itu, pihak sekolah hendaklah digalakkan menubuhkan kelab atau persatuan yang bercirikan permainan tradisional. Dengan berpayungkan kelab atau persatuan permainan tradisional seperti Kelab Budaya Bangsa, pelajar boleh belajar tentang cara membuat, cara bermain dan mengetahui syarat-syarat bermain sesuatu permainan tradisional.

Setelah mengetahui secara mendalam sesuatu permainan itu, pelajar akan berminat untuk melibatkan diri dalam permainan tradisional tersebut. Usaha menanam minat terhadap generasi muda penting kerana mereka merupakan akar tunjang yang bakal mewarisi warisan pusaka bangsa serta mewarnai masyarakat masa hadapan, justeru, penglibatan pelajar secara langsung dalam permainan tradisional nescaya dapat mempopularkan permainan tersebut di Malaysia daripada pupus dan lenyap begitu sahaja. Bertepatan dengan kata peribahasa, tak kenal maka tak cinta, maka iltizam pihak sekolah amat dituntut agar putera-puteri yang sedang berjuang di medan ilmu dapat bergiat aktif mempopularkan permainan tradisional di samping mengurangkan sedikit tekanan menghadapi peperiksaan.

Kempen cintai permainan tradisional

Seterusnya, usaha mengadakan pelbagai kempen cintai permainan tradisional merupakan satu kaedah yang ampuh untuk mempopularkan permainan tradisional di negara kita. Kempen ini perlu dijalankan oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara secara terancang dan berkesan dengan kerjasama pihak media cetak dan media elektronik seperti akhbar dan televisyen. Pihak media massa perlu menyiarkan rencana dan dokumentari untuk memperkenalkan permainan tradisional di negara kita seperti wau, gasing, congkak dan lain-lain. Pelbagai aktiviti harus dianjurkan sempena kempen tersebut, seperti peraduan mengarang, pameran, peraduan melukis poster dan lain-lain lagi. Melalui proses tersebut, permainan tradisional boleh menjadi lebih popular di merata-rata tempat bersesuaian dengan kata peribahasa seperti pegaga tumbuh melata.

Pertukaran budaya dengan negara luar

Pertukaran budaya dengan negara luar merupakan inisiatif lain yang boleh dilakukan bagi mempopularkan permainan tradisional. Apabila program tersebut dilaksanakan maka pelajar dari luar negara yang datang ke Malaysia akan berpeluang bermain pelbagai permainan tradisional di sini. Apabila mereka pulang ke negara mereka kelak, mereka akan mengajar rakan-rakan dan ahli keluarga permainan yang pernah mereka mainkan di sini.

Usaha ini secara tidak langsung membolehkan nama Malaysia akan terkenal di persada antarabangsa dan rakyat Malaysia boleh berbangga kerana Malaysia masih mempunyai permainan tradisional yang tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas. Perkara yang sama boleh dilakukan oleh agensi pelancongan yang bertindak sebagai medium penyebar maklumat untuk memperkenalkan permainan tradisional kepada pelancong asing. Lantaran itu, agensi pelancongan boleh mengurus aktiviti seperti bermain gasing, galah panjang dan teng-teng di tempat penginapan pelancong asing. Diharapkan langkah ini akan membuatkan para pelancong terhibur sekali gus berminat dengan acara-acara yang disediakan dan ingin datang kembali ke Malaysia.

Pertandingan untuk mempopularkan permainan tradisional

Tidak disangkal lagi, penganjuran pelbagai bentuk pertandingan merupakan inisiatif yang praktikal untuk mempopularkan permainan tradisional kepada masyarakat di Malaysia. Melalui pertandingan yang diadakan semua pihak yang mengambil bahagian akan saling bertukar pengalaman dan mengukuhkan ukhwah antara mereka. Agensi-agensi kerajaan dengan kerjasama pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) boleh bergabung dengan sektor korporat seperti Proton, TM Net dan Maxis menganjurkan pertandingan permainan tradisional dari peringkat sekolah, daerah, kebangsaan hinggalah ke peringkat antarabangsa.

Dalam konteks ini, contoh yang terbaik ialah penganjuran Festival Layang-layang Antarabangsa di Pasir Gudang , Johor oleh kerajaan negeri Johor dengan kerjasama pelbagai badan korporat. Berdasarkan rekod yang ada, pertandingan layang-layang tersebut berjaya menarik peminat-peminat permainan layang-layang dari seluruh dunia untuk turut mengambil bahagian.

Penutup Karangan tentang Permainan tradisional

Konklusinya, semua etnik tidak sewajarnya membiarkan khazanah budaya mereka termasuk permainan tradisional terus lenyap di muka bumi kerana warisan tersebut ialah khazanah dunia yang tidak ternilai harganya. Kita amat berharap semua pihak tetap teguh memelihara khazanah budaya ini pada setiap masa kerana generasi terkini hanya sekadar meminjam warisan bangsa yang mungkin menjadi sanjungan generasi mendatang.


Contoh Karangan: Cara memupuk minat membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You cannot copy content of this page