Contoh Karangan Langkah menangani tekanan

Pelbagai masalah yang timbul dalam kalangan remaja seperti masalah keluarga, masalah pembelajaran dan masalah rakan sebaya. Keadaan ini menimbulkan tekanan atau stres kepada remaja. Huraikan langkah-langkah yang wajar anda lakukan dalam menangani tekanan atau stres ke arah melahirkan remaja yang berjaya.

Langkah untuk menangani tekanan dan stres

Dewasa ini, dalam dunia berteknologi masih terdapat pelbagai masalah golongan remaja yang dapat kita lihat dan dengar melalui media massa. Golongan remaja ini kebiasaannya mengalami tekanan atau stres dalam masalah seperti keluarga, pembelajaran, rakan sebaya dan sebagainya. Peningkatan umur yang dihadapi oleh remaja perlulah senantiasa diberikan perhatian oleh ibu bapa. Hal ini kerana bagi mengelakkan mereka terjebak dalam pelbagai masalah yang menimbulkan tekanan kepada mereka.

Pengisian kerohanian

Beberapa langkah yang dapat dikenal pasti dan dilakukan dalam menangani tekanan atau stres bagi melahirkan remaja yang berjaya. Antaranya ialah melalui pengisian kerohanian. Setiap remaja perlu menitikberatkan sahsian diri dari aspek kerohanian. Aspek kerohanian ini merangkumi kegiatan beribadat dan keagamaan. Contohnya seperti bersolat, berdoa dan bertawakal, menjalankan aktiviti kerohanian seperti menghadiri kelas-kelas agama, membaca buku keagamaan dan lain-lain lagi. Seseorang remaja itu boleh menyertai aktiviti kerohanian bagi membentuk sahsiah dan keperibadian yang positif. Mereka juga dapat menghadapi masalah yang timbul dengan berfikiran positif dan menyelesaikan masalah dengan baik.

Meluahkan masalah yang dihadapi

Selain itu, bagi remaja yang mengalami tekanan boleh meluahkan masalah yang dihadapi kepada orang yang boleh dipercayai. Ibu bapa adalah orang yang paling terdekat dan rapat dengan golongan remaja untuk meluahkan masalah mereka. Namun begitu, bagi sesetengah remaja pula lebih selesa untuk meluahkan masalah kepada sahabat mereka. Hal ini kerana bagi mereka sahabat lebih memahami dan dan megenali diri mereka.

Remaja juga boleh berjumpa dengan kaunselor luar, guru kaunselor sekolah atau pembimbing rakan sebaya (PRS) yang akan bersama-sama membantu dan mendengar dengan baik masalah yang mereka hadapi. Remaja tidak perlu bimbang apabila berjumpa dengan kaunselor kerana segala masalah yang mereka beritahu adalah sulit. Golongan remaja dapat meneruskan pelajaran dengan lebih baik apabila masalah yang mereka hadapi dapat diluahkan kepada seseorang dan dapat meringankan beban yang mereka hadapi.

Mengamalkan gaya hidup yang sihat

Di samping itu, golongan remaja juga perlu mengamalkan gaya hidup yang sihat. Melalui amalan hidup yang baik dan berfaedah, seseorang remaja itu akan lebih bersikap positif dalam menghadapi tekanan dan dapat mempertimbangkan perkara yang baik dan buruk. Manakala, apabila remaja dapat tidur dan rehat yang cukup akan mempengaruhi hormon atau keseimbangan fizikal dan mental. Kesihatan yang baik akan memberikan kecerdasan akal dan kecergasan tubuh badan yang baik. Ia dapat mengelakkan tekanan yang dihadapi oleh remaja itu menjadi semakin bertambah dan memberi kesan yang tidak elok.

Melalui pemakanan yang seimbang, remaja dapat mengurangkan stres dan mencerikan hati mereka. Contohnya, berdasarkan kajian yang dikaji oleh orang Barat dalam surat khabar, coklat dapat mengurangkan tekanan yang dihadapi oleh manusia apabila memakannya. Makanan yang seimbang dan berkhasiat seperti buah-buahan, sayur-sayuran dan sebagainya dapat menyihatkan badan serta membantu remaja menjauhi perkara yang tidak diingini seperti mendapat penyakit dan kemurungan. Bagi sesetengah remaja yang gemar mengunjungi tempat hiburan seperti kelab malam, tempat seperti ini akan memberikan tekanan yang lebih berat kerana ia hanya semata-mata untuk keseronokkan bukan untuk mengurangkan tekanan masalah yang dihadapi.

Penglibatan dalam aktiviti yang berfaedah

Langkah yang lain ialah melalui aktiviti yang berfaedah. Penglibatan diri dalam aktiviti seperti melancong, bersenam atau beriadah, kegiatan kokurikulum dan kemasyarakatan dapat membantu mengurangkan tekanan dan menenangkan fikiran diri mereka dengan baik. Mereka juga dapat berbakti dan mengeratkan hubungan silatulrahim dengan masyarakat sekeliling. Remaja juga dapat melancong ke tempat-tempat yang dapat menenangkan fikiran seperti ke melancong ke pulau-pulau, bersantai di pantai dan sebagainya. Apabila remaja dapat berfikiran positif, ia dapat mengelakkan dan menjauhkan diri remaja daripada melakukan perkara yang tidak diingini.

Penutup Karangan Langkah menangani tekanan

Kesimpulannya, golongan remaja haruslah senantiasa menangani tekanan atau stres yang mereka hadapi dengan melibatkan diri dalam kegiatan yang berfaedah untuk mencapai kejayaan dalam hidup mereka. Aktiviti kerohanian dapat membantu remaja dalam menjadikan jiwa lebih tenteram dan tenang. Masyarakat sekeliling perlu bersama-sama membantu golongan remaja yang menghadapi masalah ini bagi melahirkan generasi muda yang beribawa, berintegriti dan berwawasan sejajar dengan falsafah pendidikan iaitu bagi melahirkan insan yang sempurna dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelektual. 


Contoh Karangan: Langkah Mengatasi Gejala vandalisme

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You cannot copy content of this page