Contoh Karangan Cara Menghargai Warga Tua

Warga tua merupakan golongan yang banyak berjasa kepada kita. Namun, warga tua sering dibiarkan dan ditempatkan di rumah orang-orang tua. Tulis karangan tentang Cara Menghargai Jasa Warga Tua.

Cara-Cara Menghargai Jasa Warga Tua

Warga tua merupakan sebahagian daripada masyarakat dan mereka tidak harus dilupakan atau diabaikan. Mereka telah banyak berjasa kepada keluarga dan negara. Namun, banyak jasa mereka telah dilupakan. Malangnya, terdapat sebilangan warga tua yang tidak
bernasib baik. Mereka ini bukan sahaja uzur, nyanyuk, malahan mengalami pelbagai masalah kesihatan kerana usia yang telah lanjut. Terdapat anak-anak yang menghantar ibu bapa mereka ke rumah orang tua-tua.

Anak perlu membalas jasa

Anak-anak perlu membalas jasa kedua-dua orang tua mereka. Hal ini kerana ibu bapa telah mendidik dan menyara kehidupan mereka. Pengorbanan mereka perlu dibalas dengan sebaik-baiknya. Anak-anak janganlah menghantar ibu bapa mereka ke rumah orang-orang tua. Warga tua akan berasa sedih jika dihantar ke rumah orang tua-tua.

Ibu bapa menjadi teladan

Warga tua yang terdiri daripada ibu melahirkan zuriat dan berperanan mengurus rumah tangga serta mendidik anak-anak. Manakala bapa membanting tulang empat kerat mencari rezeki membesarkan anak-anak. Ibu bapa mestilah menjadi contoh kepada anak-anak. Mereka perlu menjaga kedua-dua ibu bapa mereka dengan penuh kasih sayang. Ibu bapa perlu mewujudkan hubungan mesra dalam keluarga. Pengorbanan ibu bapa perlu diingati serta dibalas dengan sebaik-baiknya. Anak-anak akan menghargai dan menghayati kasih sayang yang dicurahkan kepada mereka. Anak-anak akan tetap menyayangi mereka dan tidak seharusnya menghantar mereka ke rumah orang tua.

Guru menasihati pelajar

Di sekolah, guru boleh menasihati pelajar agar menghormati warga tua. Guru-guru perlu menasihati pelajar mereka supaya sayang dan hormati warga tua. Pelajar-pelajar perlu bercakap dengan sopan apabila berhubung dengan ibu bapa mereka. Guru-guru boleh menerapkan nilai ini melalui mata pelajaran Pendidikan Islam dan Pengetahuan Moral. Peranan guru penting untuk mendidik para pelajar.

Kerajaan menyediakan kemudahanuntuk warga tua

Kerajaan boleh menghargai warga tua. Kerajaan perlu menyediakan pelbagai kemudahan untuk warga tua. Pihak terbabit hendaklah menyediakan tempat khas dalam pengangkutan awam seperti bas dan kereta api untuk warga tua ini. Dengan ini, mereka tidak perlu berhimpit-himpit atau berdiri sepanjang perjalanan. Hal ini bertepatan dengan konsep masyarakat penyayang yang dilancarkan oleh kerajaan. Selain itu, warga tua juga perlu diberikan rawatan percuma di hospital kerajaan ataupun dikenakan kadar bayaran rendah di hospital atau klinik swasta. Keperihatinan kerajaan yang mengingati warga tua akan membantu mereka untuk berhidup dengan lebih gembira.

Kempen kesedaran

Di samping itu, kerajaan, agensinya, pihak swasta, stesen radio, dan stesen televisyen perlu memperbanyak kempen untuk menyedarkan generasi muda tentang pentingnya menghargai warga tua. Kerajaan dan pihak swasta berganding bahu seperti aur dengan tebing untuk menunjukkan sikap mengambil berat tanpa mengira pangkat, demi keselesaan warga tua. Sehubungan dengan itu, sambutan Hari Ibu dan Hari Bapa boleh diraikan untuk menimbulkan kesedaran terhadap nasib warga tua ini. Sambutan ini diharapkan dapat mencetuskan rasa simpati, rasa kasih sayang, dan hormat yang mendalam dalam kalangan masyarakat terhadap warga tua.

Penutup Karangan Cara Menghargai Warga Tua

Kesimpulannya, pelbagai pihak perlu berusaha untuk menghargai jasa dan pengorbanan warga tua. Kita tidak boleh mengabaikan warga tua kerana merekalah yang melahirkan dan membesarkan kita. Tanpa mereka siapalah kita,jangan sesekali kita bersikap bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing, suatu hari nanti, kita juga pasti ’tua’.

Leave a Reply

You cannot copy content of this page