Nota Ekonomi T5: Penunjuk Ekonomi (Bab1)

Penunjuk ekonomi merupakan data-data makroekonoomi yang digunakan oleh penganalisis untuk mentafsir prestasi sesebuah ekonomi secara keseluruhan untuk mengkaji peluang pelaburan semasa dan akan datang.

Antara penunjuk ekonomi yang dianalisis ialah :

  • Indeks Harga Pengguna
  • Pengangguran
  • KDNK
  • Imbangan pembayaran

Indeks Harga Pengguna (IHP)

Indeks Harga Pengguna (IHP) mengukur perubahan harga sekumpulan barang dan perkhidmatan yang terpilih dalam ekonomi bagi suatu tahun berbanding dengan suatu tahun dasar

  • penunjuk untuk mengkaji perubahan tingkat harga umum
  • menunjukkan kos sara hidup masyarakat
  • mengesan inflasi melalui peningkatan dalam IHP

Pengiraan Indeks Harga Pengguna (IHP)

IHP mengukur harga purata barang dan perkhidmatan yang digunakan oleh isi rumah dalam tempoh masa yang ditetapkan. Barang dan perkhidmatan terpilih dalam pengiraan IHP merupakan item-item yang boleh mewakili corak purata pembelian oleh sekumpulan penduduk.

Dikelaskan kepada 12 kumpulan barangan dan perkhidmatan utama dengan diberikan wajaran masing-masing :

Kumpulan baranganWajaran dalam IHP
Makanan dan minuman bukan alkohol30.2%
Restoren dan hotel2.9%
Minuman alkohol dan tembakau2.9%
Pakaian dan kasut3.3%
Pelbagai barangan dan perkhidmatan6.5%
Pendidikan1.1%
Pengangkutan13.7%
Perkhidmatan rekreasi dan kebudayaan4.9%
Perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain23.8%
Hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan3.8%
Kesihatan1.7%
Komunikasi5.2%
Indeks Harga Pengguna

Tahun Dasar dan Tahun Semasa

  • Indeks harga pengguna diukur dengan membandingkan harga purata barangan dan perkhidmatan yang diperoleh pada tahun dasar dengan tahun semasa
  • Tahun dasar merupakan merupakan suatu tahun yang tingkat harganya dijadikan asas perbandingan dengan tingkat harga bagi tahun yang berbeza
  • Tahun dasar diberikan nilai indeks 100
  • Tahun semasa pula merujuk kepada tahun yang ingin dikira indeks harga penggunanya

Inflasi

Inflasi merujuk kepada kenaikan tingkat harga umum barang dan perkhidmatan secara berterusan dalam sesebuah ekonomi.

  • Indeks harga pengguna berfungsi sebagai penunjuk ekonomi yang digunakan untuk menggambarkan inflasi
  • Kadar inflasi merujuk kepada peratus perubahan tingkat harga umum pada suatu tahun berbanding dengan tahun sebelumnya
  • Kadar inflasi boleh dikelaskan kepada :
Kadar inflasi
Kadar inflasi

Inflasi yang berlaku dalam ekonomi boleh dibahagikan kepada tiga jenis mengikut punca berlakunya seperti yang berikut :

Inflasi Tarikan Permintaan

Inflasi tarikan permintaan merujuk kepada kenaikan tingkat harga umum apabila permintaan masyarakat terhadap barang dan perkhidmatan melebihi penawarannya dalam pasaran.

  • Inflasi ini wujud apabila peningkatan permintaan berlaku semasa ekonomi negara berada pada tingkat guna tenaga penuh.
  • Ekonomi yang telah mencapai guna tenaga penuh sukar menambahkan tingkat pengeluaran dengan cepat untuk memenuhi permintaan yang melambung kerana semua faktor tenaga buruh dan bahan mentah telah digunakan sepenuhnya.
  • Lebihan permintaan terhadap sesuatu barang atau perkhidmatan menyebabkan harga barang tersebut dalam pasaran meningkat dan berlakunya inflasi tarikan permintaan.

Punca peningkatan jumlah permintaan dalam inflasi tarikan permintaan :

Peningkatan tingkat pendapatan

  • Peningkatan tingkat pendapatan akan meningkatkan kuasa beli pengguna
  • Pengguna cenderung untuk berbelanja dengan lebih banyak menyebabkan jumlah permintaan dalam sesebuah ekonomi akan meningkat
  • Peningkatan tingkat pendapatan pengguna biasanya berlaku pada masa pertumbuhan ekonomi yang tinggi

Pertambahan penawaran wang

  • Pertambahan bekalan wang dalam pasaran disebabkan oleh perbelanjaan kerajaan secara berlebihan dan proses penciptaan kredit yang pesat oleh bank perdagangan.
  • Bekalan wang yang banyak di pasaran akan meningkatkan kuasa beli pengguna dan seterusnya jumlah permintaan dalam ekonomi akan meningkat.

Peningkatan permintaan > Inflasi tarikan permintaan


Inflasi Tolakan Kos

Inflasi tolakan kos merujuk kepada kenaikan tingkat harga umum apabila kos pengeluaran meningkat.

  • Kos pengeluaran termasuklah kos bahan mentah, gaji buruh, kos sewa kilang, kos pengangkutan dan sebagainya.
  • Apabila kos pengeluaran meningkat, pengeluar yang ingin mengekalkan margin keuntungan akan memindahkan beban peningkatan kos ini kepada para pengguna dengan menaikkan harga jualan barang dan perkhidmatan.
  • Oleh itu, tingkat harga umum barang di pasaran akan meningkat dan berlakunya inflasi tolakan kos.

Inflasi Diimport

Inflasi diimport merujuk kepada kenaikan tingkat harga umum apabila harga barang yang diimport dari luar negara meningkat.

  • Barang siap import yang mahal akan dijual pada harga yang lebih tinggi di pasaran tempatan
  • Kenaikan harga faktor pengeluaran khasnya bahan mentah dan barang pengantaraan yang diimport pula akan menyebabkan kos pengeluaran meningkat dan seterusnya menaikkan harga jualan barang dan perkhidmatan di pasaran tempatan
  • Kenaikan harga barang import boleh disebabkan oleh kadar inflasi yang tinggi di negara pengeksport atau kejatuhan nilai mata wang tempatan
  • Kejatuhan nilai mata wang tempatan menyebabkan harga barangan import secara relatifnya lebih mahal
  • Oleh itu, tingkat harga barang tempatan yang menggunakan komponen import akan meningkat dan berlakunya inflasi diimport

Kesan Inflasi

Pengguna terutamanya merasai kesan inflasi apabila kewangan mereka semakin membebankan akibat kos sara hidup yang semakin meningkat berikutan kenaikan harga barang dan perkhidmatan di pasaran.

Cara inflasi memberi kesan terhadap kehidupan seharian pengguna boleh dilihat dalam aspek-aspek berikut :

Kesan terhadap harga barang

  • Inflasi berlaku apabila tingkat harga umum meningkat secara berterusan
  • Kos sara hidup meningkat menyebabkan masyarakat kurang mampu untuk membeli barang dan perkhidmatan kerana harga barang yang semakin meningkat
  • Taraf kebajikan masyarakat akan terjejas

Kesan terhadap tabungan

  • Harga barang yang meningkat menyebabkan perbelanjaan penggunaan individu meningkat dan akibatnya tabungan akan berkurangan
  • Masyarakat terpaksa mengeluarkan simpanan untuk menampung kos sara hidup yang semakin meningkat
  • Inflasi menyebabkan nilai wang yang dipegang oleh isi rumah semakin merosot

Kesan terhadap pendapatan

  • Inflasi menyebabkan pendapatan benar masyarakat menurun dengan andaian pendapatan tunai tidak berubah
  • Pendapatan benar ialah jumlah barangan yang mampu dibeli oleh isi rumah dengan pendapatan tunai yang diterima
  • Tingkat harga barang dan perkhidmatan yang semakin meningkat akan mengurangkan kuasa beli pengguna iaitu barangan yang boleh dibeli dengan sejumlah wang yang sama semakin berkurangan
  • Kos sara hidup yang meningkat menyebabkan taraf hidup masyarakat menurun kerana pengguna tidak mampu membeli barang yang diingini untuk memenuhi keperluan atau kehendak

Kesan terhadap pengangguran

  • Inflasi yang sederhana membawa kesan positif kepada kadar pengangguran
  • Kenaikan harga barang di pasaran akibat inflasi tarikan permintaan menggalakkan firma untuk menambahkan pengeluaran untuk memenuhi lebihan permintaan di pasaran
  • Firma akan meningkatkan penggunaan guna tenaga untuk menambahkan tingkat pengeluaran
  • Hal ini menyebabkan peluang pekerjaan dalam negara akan bertambah dan kadar pengangguran akan menurun dengan inflasi sederhana

Kesan terhadap eksport

  • Apabila inflasi tolakan kos berlaku, harga barang dan perkhidmatan yang dikeluarkan oleh firma tempatan akan meningkat kerana kos pengeluaran yang tinggi
  • Harga barang tersebut akan menjadi mahal apabila dieksport ke luar negara berbanding dengan barang yang dikeluarkan oleh negara lain
  • Menyebabkan barang eksport ini kehilangan daya saing di pasaran antarabangsa / nilai eksport berkurang
  • Kesannnya permintaan barangan keluaran tempatan berkurangan dalam pasaran antarabangsa dan pendapaan negara daripada sektor eksport merosot

Kesan terhadap kadar faedah

  • Inflasi berlaku apabila terlalu banyak wang mengejar barang yang sedikit dalam pasaran
  • Sebagai langkah untuk mengawal bekalan wang dalam ekonomi, bank pusat akan mengarahkan institusi kewangan untuk meningkatkan kadar faedah yang akan menyebabkan kos pinjaman dan beban hutang peminjam meningkat
  • Masyarakat akan mengurangkan pinjaman yang dibuat dan kesannya penawaran wang dalam ekonomi akan berkurangan

Pengangguran

Pengangguran merupakan satu keadaan apabila terdapat tenaga buruh yang sanggup bekerja tetapi tidak mendapat pekerjaan

  • Pengangguran dalam ekonomi menunjukkan wujudnya lebihan penawaran buruh dalam sesebuah negara
  • Keadaan ini sebenarnya menunjukkan pembaziran faktor buruh dalam negara dan merugikan negara tersebut
  • Salah satu objektif makroekonomi yang ingin dicapai oleh kerajaan ialah guna tenaga penuh
  • Apabila sebuah negara mencapai tingkat guna tenaga penuh, semua faktor tenaga buruh yang sedia ada dalam ekonomi telah digunakan dengan cekap
  • Guna tenaga penuh dikatakan tercapai apabila kadar pengangguran dalam negara adalah kurang daripada 4%.

Kadar Pengangguran

Kadar pengangguran merupakan penunjuk ekonomi yang mengukur peratus penganggur dalam kalangan tenaga buruh yang sedia ada dalam sesebuah negara.

  • Kadar pengangguran yang rendah merujuk kepada penganggur dalam negara adalah kecil berbanding dengan jumlah tenaga buruh. Tenaga buruh dalam negara telah digunakan dengan sepenuhnya
  • Kadar pengangguran yang tinggi menggambarkan ramai tenaga buruh yang sepatutnya boleh menyumbang dalam ekonomi negara tetapi tidak mendapat pekerjaan. Berlaku pembaziran faktor pengeluaran buruh dalam ekonomi.
  • Sekiranya kadar pengangguran berada di bawah kadar 4%, negara tersebut dianggap telah mencapai guna tenaga penuh.

Kesan Masalah Pengangguran

Kesan pengangguran terhadap Ekonomi Negara

  • Pendapatan negara sebenar kurang daripada pendapatan negara potensi.
    • Disebabkan faktor buruh sedia ada tidak digunakan sepenuhnya
  • Hasil kerajaan berkurangan kerana kutipan cukai pendapatan kurang.
    • Penganggur tidak mempunyai pendapatan untuk membayar cukai
  • Ketidakcekapan dalam pengeluaran dan pembaziran sumber ekonomi.
  • Menghalang pertumbuhan ekonomi akibat pelbagai masalah sosial.
    • Wujud masalah sosial akibat pengangguran seperti rompakan
  • Taraf hidup masyarakat menurun kerana kuasa beli telah menurun.

Kesan pengangguran terhadap Masalah Sosial Negara

Kadar pengangguran yang tinggi juga menunjukkan ramai anggota masyarakat yang menganggur dan kehilangan punca pendapatan

Golongan ini boleh menimbulkan masalah sosial negara seperti yang berikut :

kadar kemiskinan dalam kalangan masyarakat akan meningkat
menimbulkan masalah kekeluargaan masyarakat seperti pergaduhan
masalah kehilangan kemahiran dan keyakinan diri
peningkatan kes jenayah negara seperti kes ragut, pecah rumah

Kesan pengangguran terhadap masalah sosial negara

Jenis pengangguran

Pengangguran yang berlaku boleh dibahagikan kepada beberapa faktor. Pengangguran boleh dibahagikan kepada tiga jenis berdasarkan punca kejadian masing-masing seperti berikut :

Pengangguran kitaran

  • Berlaku apabila keadaan ekonomi adalah lembap menyebabkan permintaan buruh berkurangan
  • Pengurangan dalam permintaan agregat (jumlah barang dan perkhidmatan yang diminta pada pelbagai tingkat harga oleh pelbagai sektor pada suatu masa tertentu) menyebabkan pengurangan dalam pengeluaran dan penggunaan buruh terpaksa dikurangkan
  • Ramai tenaga buruh kehilangan pekerjaan kerana kebanyakan firma terpaksa mengurangkan pengeluaran atau memberhentikan operasi

Pengangguran berstruktur

  • Berlaku disebabkan oleh perubahan struktur ekonomi sesebuah negara
  • Perubahan struktur ekonomi disebabkan kebergantungan ekonomi negara kepada sektor utama seperti ketidakstabilan harga komoditi di pasaran dunia dan kepupusan sumber galian yang merugikan imbangan dagangan bagi negara membangun
  • Pembangunan ekonomi membawa kepada perubahan dalam struktur ekonomi daripada sektor utama kepada sektor kedua yang menggunakan banyak automasi dan jentera menyebabkan penggunaan buruh yang berkurang dan mengakibatkan banyak pengangguran
  • Penganggur tidak mampu untuk mendapat pekerjaan baharu kerana kekurangan mobiliti dari segi kelayakan dan kemahiran

Pengangguran geseren / pengangguran normal

  • Keadaan tenaga buruh tidak bekerja dalam sesuatu jangka masa apabila berlaku perpindahan pekerjaan
  • Pekerja kurang mobiliti atau pekerja kurang mendapat maklumat tentang peluang-peluang pekerjaan yang terdapat di pasaran
  • Lepasan universiti biasanya mengalami keadaan pengangguran geseran untuk tempoh sementara kerana masih mencari pekerjaan yang diingini
  • Pengangguran jenis ini merupakan pengangguran jangka pendek dan berada pada kadar yang sangat rendah iaitu 2% hingga 4%

Faktor penyebab pengangguran geseren :

sikap penganggur yang terlalu memilih pekerjaan sehingga sanggup menganggur bagi menunggu peluang pekerjaan yang terbaik
penganggur tidak bersungguh-sungguh atau kurang berminat untuk mencari pekerjaan
kekurangan maklumat tentang pekerjaan yang ditawarkan dan pekerja yang kurang mobiliti
penganggur lebih suka membuat kerja-kerja yang tidak formal dan tidak tetap sebagai mata pencarian
majikan mengambil masa yang lama dalam memilih pekerjaan baharu

Faktor penyebab pengangguran geseren

Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK)

KDNK ialah jumlah nilai pasaran barang dan perkhidmatan akhir yang dikeluarkan oleh semua faktor pengeluaran dalam sesebuah negara dalam tempoh setahun.

  • KDNK merupakan penunjuk ekonomi yang menggambarkan pendapatan negara.
  • KDNK menghitung nilai barang dan perkhidmatan yang dihasilkan oleh semua faktor pengeluaran dalam negara bagi tempoh setahun, tanpa mengira faktor pengeluaran tersebut milik negara itu atau milik negara asing.
  • Contohnya jurutera dari negara Jepun yang dihantar ke kilang cawangan Malaysia dianggap menyumbang dalam KDNK Malaysia walaupun faktor buruh ini bukan milik Malaysia.
  • Tetapi KDNK tidak mengambil kira nilai keluaran yang dihasilkan oleh rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara.

Kaedah pengiraan KDNK boleh dihitung melalui tiga pendekatan iaitu :

Kaedah pengiraan KDNK
Kaedah pengiraan KDNK
  • Malaysia hanya menggunakan pendekatan keluaran dan pendekatan perbelanjaan sahaja
  • Pengiraan KDNK melalui mana-mana pendekatan tersebut akan memberikan nilai yang sama

Pendekatan perbelanjaan

  • diperoleh dengan menjumlahkan semua perbelanjaan atas barang akhir dan perkhidmatan yang dihasilkan dalam ekonomi bagi tempoh satu tahun
  • perbelanjaan termasuk perbelanjaan isi rumah, firma, kerajaan dan eksport bersih (eksport – import)
  • perubahan stok pada akhir tahun juga diambil kira dalam pengiraan pendapatan negara

Pendekatan keluaran

  • KDNK diperoleh dengan menjumlahkan nilai ditambah yang dihasilkan oleh pelbagai sektor ekonomi di negara bagi tempoh satu tahun
  • Nilai ditambah ialah peningkatan nilai barang setelah melalui setiap peringkat proses pengeluaran
  • Kaedah ini boleh mengetahui peratus sumbangan pelbagai sektor ekonomi kepada keluaran negara dan mengelakkan pengiraan dua kali dalam pengiraan pendapatan negara

Pendekatan pendapatan

Kaedah pendapatan ialah kaedah penghitungan pendapatan negara yang menjumlahkan pendapatan faktor yang diterima oleh semua faktor pengeluaran. Perakaunan berasaskan Pendapatan Negara. 


Pertumbuhan Ekonomi Malaysia

Pertumbuhan ekonomi merupakan perkembangan kegiatan ekonomi dari semasa ke semasa yang menyebabkan peningkatan dalam Keluaran Dalam Negara Kasar.

  • Data-data yang diperoleh daripada KDNK boleh digunakan sebagai alat ukuran kadar pertumbuhan ekonomi
  • Apabila berlaku pertumbuhan ekonomi, KDNK akan meningkat. Hal ini bermaksud berlakunya pertambahan dalam pengeluaran barang dan perkhidmatan dalam ekonomi
  • Pertumbuhan ekonomi merujuk kepada pembangunan ekonomi berbentuk fizikal seperti pertambahan dalam sektor-sektor utama, kedua dan ketiga
  • Pertumbuhan ekonomi boleh dijadikan kayu ukur kepada prestasi pembangunan sesebuah negara
  • Pertumbuhan ekonomi yang semakin meningkat menunjukkan pembangunan negara yang semakin pesat dan sebaliknya.
  • Ekonomi dikatakan mengalami pertumbuhan apabila kadar pertumbuhan KDNK bernilai positif dan dikatakan mengalami kemelsetan apabila kadar pertumbuhan KDNK bernilai negatif

Kepentingan mencapai kadar pertumbuhan ekonomi

Kepentingan mencapai kadar pertumbuhan ekonomi yang mampan adalah seperti berikut :

mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan bagi menampung peningkatan penawaran tenaga buruh
meningkatkan taraf kebajikan masyarakat melalui peningkatan pendapatan dan jumlah output negara serta kualiti barangan lebih baik
mengurangkan kadar kemiskinan
merapatkan jurang pendapatan
mempercepatkan penyediaan kemudahan perumahan perkhidmatan kesihatan dan kemudahan asas
Kepentingan mencapai kadar pertumbuhan ekonomi yang mampan

Pertumbuhan Ekonomi

Kadar pertumbuhan ekonomi sesuatu negara akan berbeza dengan negara yang lain. Pertumbuhan ekonomi dipengaruhi oleh faktor-faktor seperti yang berikut :

Faktor-faktor Pertumbuhan ekonomi

Sumber alam semula jadi

Kekayaan alam semulajadi dalam sesebuah negara akan menarik pelabur asing untuk melabur dan mengusahakan pengeluaran sumber alam semulajadi tersebut

Jumlah penduduk dan bekalan tenaga buruh

  • Apabila penduduk sesebuah negara bertambah, jumlah tenaga buruh yang boleh menyumbang dalam aktiviti pengeluaran bertambah
  • Kemahiran dan produktiviti buruh boleh ditingkatkan melalui pendidikan dan latihan kesannya, jumlah pengeluaran barang dan perkhidmatan dalam negara akan bertambah
  • Jumlah penduduk yang besar akan meningkatkan permintaan terhadap barang dan perkhidmatan di pasaran
  • Pengeluar terdorong untuk menambahkan jumlah pengeluaran dan seterusnya menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi

Kemajuan teknologi

  • Kemajuan teknologi dalam sesebuah negara akan mempercepat pertumbuhan ekonomi
  • Pemindahan teknologi merupakan usaha mengimport atau membawa masuk peralatan dan pengetahuan seperti kemahiran, tatacara dan teknologi moden untuk meningkatkan produktiviti industri tempatan dan kualiti barang dan perkhidmatan
  • Contohnya Perodua telah mengimport dan mengambil manfaat teknologi Jepun dalam pembuatan keretanya
  • Penggunaan teknologi yang canggih dapat meningkatkan kecekapan pengeluaran dan mengurangkan kos pengeluaran dan menambahkan jumlah keluaran sekali gus menyumbang kepada pendapatann negara yang lebih tinggi
  • Kesannya kegiatan ekonomi akan berkembang dengan pesat

Pelaburan dalam aktiviti ekonomi

  • Semakin besar nilai pelaburan sama ada pelaburan dosmetik atau pelaburan asing, semakin barang dan perkhidmatan yang akan dikeluarkan dalam aktiviti ekonomi
  • Pelaburan ini berfungsi sebagai sumber dana untuk membiayai barang modal
  • Barang modal boleh digunakan dalam mengeksploitasi sumber alam semulajadi atau meningkatkan produktiviti dalam proses pengeluaran

Sistem sosial dan sikap masyarakat

  • Keadaan sosial dan politik yang stabil dalam sesebuah negara akan memberi keyakinan kepada pelabur tempatan
  • Sikap keterbukaan masyarakat sesbuah negara akan mempengaruhi pertumbuhan ekonomi

Akibat pertumbuhan ekonomi

Setiap negara akan berusaha untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi. Akibat daripada pertumbuhan ekonomi boleh dilihat dalam 4 aspek iaitu :

Akibat pertumbuhan ekonomi
Akibat pertumbuhan ekonomi

Penyediaan kemudahan infrastruktur

  • Kemudahan infrastruktur yang lengkap dapat meningkatkan kecekapan firma dan menarik pelabur asing untuk melabur dalam aktiviti pengeluaran tempatan
  • Kemudahan ini juga melicinkan urusan perdagangan firma dari segi perhubungan dan pengangkutan
  • Antara kemudahan infrastruktur yang telah disediakan ialah sistem pengangkutan dan perhubungan, bekalan air dan elektrik, serta kemudahan pendidikan dan kesihatan
  • Kesannya masyarakat setempat juga dapat menikmati manfaat kemudahan infrastruktur yang lengkap

Peningkatan taraf pendidikan penduduk

  • Sumber manusia yang berbakat, mempunyai pemikiran kreatif dan inovatif, mampu menyelesaikan masalah dan mempunyai pengetahuan dalam bidang tertentu akan menyebabkan pengeluaran sesebuah negara menjadi lebih berdaya saing
  • Banyak institusi pengajian tinggi awam dan swasta serta institusi pendidikan lain seperti institut latihan kemahiran telah ditubuhkan
  • Sistem pendidikan sentiasa dikaji dan diubah suai supaya dapat melahirkan tenaga buruh yang berkemahiran dan berkelayakan bagi memenuhi keperluan industri

Kestabilan politik dan sosial

  • Pertumbuhan ekonomi yang pesat mendorong kepada penambahan aktiviti pengeluaran yang mencipta peluang pekerjaan kepada masyarakat
  • Keadaan ini akan mengurangkan kadar pengangguran dalam negara
  • Masyarakat dapat memperoleh penadapatan tetap untuk memenuhi keperluan dan kehendak masing-masing
  • Hal ini dapat menjamin keamanan dan ketenteraman masyarakat dengan pengurangan kes jenayah seperti ragut dan rompakan

Peningkatan sifat keusahawanan

  • Apabila berlaku pertumbuhan ekonomi, pendapatan dan kuasa beli masyarakat akan meningkat
  • Keadaan ini mencipta banyak peluang perniagaan kepada usahawan yang kreatif untuk memenuhi kepuasan pengguna
  • Aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) dijalankan dengan pesat bagi menghasilkan penemuan teknologi baharu
  • Taraf hidup masyarakat dapat ditingkatkan kerana tahap kepuasan dimaksimumkan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You cannot copy content of this page