Karangan Kepentingan Amalan Menabung

Amalan menabung perlu dipraktikkan dalam kehidupan untuk mewujudkan masyarakat yang berjimat cermat. Huraikan kepentingan amalan menabung kepada sesebuah keluarga.

Kepentingan Amalan Menabung kepada keluarga

Pada era yang modenisasi ini, amalan menabung masih kurang mendapat sambutan hangat daripada masyarakat walaupun cara menabung kini lebih efisien dan selamat berbanding dengan cara menabung masa dahulu. Cara menabung kini yang disebutkan ialah simpanan duit dalam akaun bank. Sehubungan dengan itu, pelbagai pihak termasuk kerajaan dan juga pihak bank telah mempromosikan kelebihan mengamalkan amalan menabung. Antara manfaat yang diberikan jikalau menabung dalam bank ialah bunga sebanyak 3 peratus setiap tahun. Persoalannya, mengapakah kerajaan sedaya upaya menyeru masyarakat yang terutamanya mempunyai keluarga menabung?

Sumber kewangan bagi masa hadapan

Antara kepentingan amalan menabung kepada sesebuah keluarga ialah mempunyai sumber kewangan bagi masa hadapan. Hal ini dikatakan demikian kerana wang merupakan segala-segalanya dalam era globalisasi ini. Tanpa sumber kewangan yang mencukupi, masa hadapan yang cerah bagi seseorang juga tidak terjamin. Contohnya, sepasang suami isteri yang lewat melahirkan anak dan tidak mengamalkan amalan menabung akan menghadapi masalah kewangan setelah bersara kerana perlu membiayai kos pembelajaran anak mereka yang masih kecil lagi. Oleh itu, amalan menabung perlu dipraktikkan supaya wang tersebut dapat digunakan bagi kegunaan masa hadapan.

Masa kecemasan bekalan wang

Selain itu, keperluan duit semasa waktu kecemasan juga merupakan sebab amalan menabung penting kepada sesebuah keluarga. Hal ini disebabkan manusia tidak dapat mengesan bila mereka akan memerlukan duit yang banyak bagi menanggung sesuatu yang tidak disangka-sangkakan seperti peribahasa malang tidak berbau. Misalnya, kebakaran, bencana alam melanda dan kematian ahli keluarga secara tiba-tiba. Modal yang banyak diperlukan untuk mengatasi situasi tersebut dalam masa yang singkat. Memang tidak dinafikan bahawa amalan menabung dapat membantu semasa waktu kecemasan.

Mengelakkan pembaziran

Kepentingan amalan menabung kepada sesebuah yang berikutnya ialah dapat mengelakkan pembaziran. Hal ini berkait rapat dengan sikap manusia yang berboros dan tidak rasional semasa membuat pilihan. Sebagai sebuah syarikat yang bijak, mereka selalu mengeluarkan produk yang cantik-cantik belaka supaya manusia tertarik dengan pembungkusan tersebut. Pembeli akan segera membelikan produk tersebut tanpa berfikir panjang walaupun item tersebut tidak begitu bagus atau diperlukan. Tamsilnya, seorang pekerja yang tidak menabung dan berboros akan menghadapi masalah kewangan setelah berlepak dengan kawan-kawannya di kompleks beli-belah. Tegasnya, menabung dapat mengubah sikap berboros seseorang di samping meningkatkan jumlah simpanan seseorang.

Menjadi suri teladan anak

Seterusnya, amalan menabung yang disemai dalam ibubapa akan dijadikan suri teladan anak mereka. Hal ini bermaksud, jika sesebuah keluarga telah mengamalkan amalan menabung, malah generasi yang akan datang juga mengikuti perbuatan nenek moyang mereka. Bak kata peribahasa, bapak burik, anaknya rintik. Contohnya, anak-anak yang setahun jagung akan diajar untuk menabung. Apabila dewasa, ideologi ini akan terus diwariskan. Konlusinya, amalan menabung dalam keluarga dapat dikekalkan jika ibu bapa tidak mengabaikan kepentingan menabung.

Penutup Karangan Amalan Menabung

Kesimpulannya, amalan menabung amat penting dalam sebuah keluarga kerana menabung mendatangkan banyak manfaat dan tiada keburukannya. Penggemblengan tenaga dan usaha untuk memupuk amalan menabung amat diperlukan supaya lebih banyak orang memupuk amalan baik ini. Marilah semua mulai menabung sekarang kerana perjalanan yang beribu langkah, mestilah bermula dengan langkah yang pertama!


Contoh Karangan: Langkah Mengatasi Kenaikan Harga Barangan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You cannot copy content of this page