Kandungan
Peranan Kerajaan sebagai Pengeluar dan Majikan
Kerajaan merupakan suatu unit ekonomi yang menjalankan kegiatan ekonomi dengan matlamat untuk meningkatkan kebajikan dan kesejahteraan rakyat.
Peranan kerajaan sebagai pengeluar
Kerajaan berperanan sebagai pengeluar barang awam dan barang sosial. Barang-barang ini tidak disediakan oleh pihak swasta kerana tidak menguntungkan. Kebajikan masyarakat akan terjejas sekiranya barang-barang ini tidak disediakan.
Barang awam | Barang sosial |
---|---|
Barang yang dapat digunakan oleh seseorang individu tanpa mengurangkan faedah penggunaan individu lain dan tidak boleh menghalang individu lain daripada menggunakannya. | Barang atau perkhidmatan yang membawa manfaat terbesar kepada semua masyarakat |
Tidak perlu / sedikit bayaran | Tidak perlu bayaran |
Contoh: Sekolah, hospital, jalan raya | Contoh: Air terawat, rakyat celik huruf, kesihatan rakyat meningkat |
Monopoli semula jadi kerajaan
Monopoli semulajadi merupakan monopoli kerajaan, iaitu pengeluaran barang atau perkhidmatan dibenarkan untuk dikeluarkan oleh firma berkaitan kerajaan.
Pengeluaran barang awam dan barang sosial memerlukan kos modal yang tinggi. Ini hanya mampu dibiayai oleh kerajaan melalui dana kutipan cukai dari masyarakat.
Kos modal yang tinggi menjadi halangan bagi pengeluar swasta lain untuk menghasilkan barang tersebut. Sebagai pengeluar tunggal dalam industri, kerajaan boleh mengawal harga barang keluaran untuk menjamin kebajikan masyarakat
Ciri-ciri pasaran monopoli semula jadi
Satu firma sahaja
– Hanya sebuah firma sahaja yang mengeluarkan barang atau perkhidmatan tertentu seperti bekalan elektrik (TNB).
Keluaran tidak ada pengganti
– Barang keluaran firma kerajaan tidak dikeluarkan oleh firma lain.
Penentu harga pasaran
– Kerajaan yang menentukan harga barangan atau perkhidmatan yang dikeluarkan.
Tiada kebebasan keluar masuk industri
– Wujud halangan atas kebebasan firma lain untuk keluar dan masuk pasaran.
– Contoh halangan perlindungan undang-undang dan kos modal yang tinggi.
Peranan kerajaan sebagai majikan
Kerajaan menawarkan peluang pekerjaan dalam sektor perkhidmatan awam kepada guna tenaga di negara ini. Contoh pekerjaan ialah tentera, polis dan guru.
Peluang pekerjaan yang disediakan dapat menjana pendapatan kepada penjawat awam dan meningkatkan taraf hidup kerana kuasa beli meningkat. Peningkatan permintaan barang dan perkhidmatan akan mempercepatkan pertumbuhan ekonomi dalam negara.
Kerajaan juga menawarkan pelbagai faedah sampingan kepada kakitangan awam seperti elaun perumahan, elaun sara hidup, kemudahan pinjaman perumahan cuti tahunan, pencen selepas bersara dan lain-lain.
Peranan Kerajaan Untuk Mencapai Objektif Makroekonomi Negara
Makroekonomi merujuk kepada kajian mengenai ekonomi secara menyeluruh dalam isu umum seperti pendapatan atau keluaran negara, guna tenaga dan masalah pengangguran.
Objektif makroekonomi yang ingin dicapai oleh kerajaan selaras dengan matlamat nya untuk memaksimumkan kebajikan masyarakat.
Antara objektif makroekonomi kerajaan adalah seperti berikut :
Guna tenaga penuh
- Guna tenaga penuh merujuk kepada kadar pengangguran di sesebuah negara berada pada paras yang rendah iaitu kurang daripada 4%
- Guna tenaga mengukur jumlah tenaga buruh yang digunakan oleh sesbuah negara dalam pengeluaran barang dan perkhidmatan
- Pengangguran mengukur jumlah tenaga buruh yang tidak digunakan / tidak terlibat dalam sebarang kegiatan ekonomi
- Guna tenaga tinggi menunjukkan kegiatan ekonomi banyak dijalankan
- Jumlah barang dan perkhidmatan yang dikeluarkan di pasaran adalah banyak
- Tingkat pendapatan negara meningkat dan pertumbuhan ekonomi akan bertambah baik serta meningkatkan taraf hidup masyarakat dalam keadaan guna tenaga penuh
Kesan pencapaian guna tenaga penuh :
pencapaian guna tenaga penuh ➡️ kadar pengangguran rendah ➡️ keluaran negara pada tahap maksimum ➡️ pendapatan negara meningkat ➡️ taraf hidup masyarakat meningkat
Kestabilan harga
- Kestabilan harga dapat menjamin kestabilan kuasa beli serta kos sara hidup masyarakat
- Ketidakstabilan harga pula boleh menjejaskan taraf hidup masyarakat
- Tingkat harga umum yang stabil wujud apabila harga purata barang tidak mengalami sebarang perubahan atau mengalami perubahan pada kadar yang rendah
- Apabila berlaku masalah inflasi dan deflasi, tingkat harga umum akan menjadi tidak stabil

Pertumbuhan ekonomi
Pertumbuhan ekonomi menunjukkan peningkatan jumlah keluaran barang dan perkhidmatan dalam sesebuah negara pada sesuatu tahun berbanding dengan tahun sebelumnya
- Prestasi ekonomi negara diukur melalui perubahan dalam tingkat keluaran negara pada sesuatu tahun berbanding dengan tahun sebelumnya.
- Pertumbuhan ekonomi berlaku apabila tingkat keluaran negara bertambah.
Kesan pertumbuhan ekonomi terhadap negara :

Kestabilan imbangan pembayaran
Imbangan pembayaran ialah satu penyata kewangan yang merekodkan aliran wang masuk dan keluar kesan daripada perdagangan antarabangsa dalam tempoh satu tahun.
- Imbangan pembayaran terbahagi kepada imbangan pembayaran lebihan dan imbangan pembayaran defisit.
- Kerajaan berusaha mewujudkan imbangan pembayaran lebihan kerana menguntungkan negara
- Imbangan pembayaran lebihan boleh diwujudkan dengan meningkatkan nilai eksport barang dan perkhidmatan serta menggalakkan kemasukan pelabur asing
Imbangan pembayaran lebihan | Imbangan pembayaran defisit |
---|---|
Aliran wang yang masuk ke sesebuah negara lebih tinggi daripada aliran wang yang keluar ke negara lain | Aliran wang yang keluar ke luar negara melebihi aliran wang yang masuk ke dalam negara |
Kesan lebihan imbangan pembayaran dan defisit imbangan pembayaran

Peranan Kerajaan Mengawal Selia Pengeluar dan Eksternaliti Negatif
Eksternaliti dikatakan menggambarkan ketidakcekapan dalam pasaran atau kegagalan dalam sistem harga. Eksternaliti negatif merujuk kepada kos luaran yang ditanggung oleh masyarakat selain pengeluar dan pengguna barang itu.
Kos luaran merupakan kesan yang memudaratkan masyarakat akibat aktiviti ekonomi yang dijalankan.
Matlamat firma untuk memaksimumkan keuntungan melalui aktiviti pengeluaran barang dan perkhidmatan mungkin menjejaskan kebajikan masyarakat dengan :
mengeksploitasi pengguna
- firma mungkin menetapkan harga yang tinggi atas barang keperluan
- pengeluar juga mungkin menjual barang yang tidak selamat digunakan / tidak berkualiti
- menyebabkan kebajikan pengguna terjejas
menimbulkan kesan ekternaliti negatif
- contoh eksternaliti yang berlaku ialah pencemaran udara akibat pelepasan asap kilang atau pencemaran air akibat pembuangan sisa industri
- hal ini menjejaskan kehidupan dan kesihatan masyarakat seterusnya mempengaruhi taraf hidup mereka
Kerajaan mempunyai kuasa untuk mengawal dan memantau aktiviti pengeluar dalam proses pengeluaran barang dan perkhidmatan melalui :
Langkah kerajaan mengawal dan memantau aktiviti pengeluar
Undang-undang dan peraturan
Undang-undang merupakan sesuatu peraturan atau segala peraturan yang digubal oleh kerajaan dan mesti dipatuhi oleh masyarakat. Contohnya ; Akta Kawalan Harga dan Anti Percatutan.
Peraturan merujuk kepada segala yang telah ditentukan dan harus dipatuhi. Pengeluar yang tidak mematuhi peraturan yang ditentukan akan dikenakan hukuman. Contohnya, pengeluar perlu melabelkan bungkusan makanan dengan menepati kandungan sebenar makanan dan tarikh luput.
Mengawal eksploitasi pengguna :
- Peniaga tidak dibenarkan menaikkan atau menurunkan harga barang yang dikelaskan sebagai barang kawalan tanpa persetujuan kerajaan
- Contoh barang kawalan ialah gula, ayam, susu, tepung gandum
- Kerajaan juga melaksanakan dasar harga dan kuota dengan tujuan untuk mengawal harga pasaran supaya rakyat mampu membeli
Dasar | Definisi | Kesan |
---|---|---|
Dasar harga maksimum | Dasar penetapan harga yang lebih rendah daripada tingkat harga keseimbangan | Kebajikan pengguna dapat dijaga supaya pengguna dapat membeli barangan dengan harga yang berpatutan |
Dasar harga minimum | Dasar penetapan harga yang lebih tinggi daripada tingkat harga keseimbangan | Kebajikan pengeluar dapat dijaga supaya pengeluar mendapatkan keuntungan yang lebih tinggi |
Kuota | Had penawaran sesuatu barang pada suatu tingkat kuantiti yang tertentu | Mengatasi masalah lebihan atau kurangan barangan di pasaran |
Mengawal kesan eksternaliti negatif
- Kerajaan mengawal aktiviti pengeluaran melalui pemberian lessen
- Firma yang tidak mematuhi peraturan yang ditetapkan akan ditarik balik lesen dan tidak dibenarkan beroperasi
- Bagi mengurangkan kesan eksternaliti negatif atas masyarakat seperti pencemaran persekitaran akibat perkembangan sektor perindustrian, kerajaan telah menentukan kawasan perindustrian, kawasan perumahan, kawasan industri berat, dan kawasan industri ringan
- Kerajaan akan menjalankan pemantauan aktiviti pengeluran firma dari semasa ke semasa untuk memastikan firma mematuhi peraturan yang telah ditetapkan dan tidak mengancam alam sekitar
Pemberian subsidi
Subsidi merupakan bantuan kewangan yang diberikan oleh kerajaan kepada sesuatu perniagaan atau sektor ekonomi.
Motif kerajaan memberi subsidi adalah untuk menstabilkan harga barang dan mengurangkan kos pengeluaran.
Mengawal eksploitasi pengguna
- Kerajaan memberi subsidi kepada pengeluar untuk mengawal harga barang
- Apabila kos pengeluaran meningkat, pengeluar akan memindahkan beban kos tersebut kepada pengguna
- Jika kerajaan memberi subsidi kepada pengeluar untuk menampung kenaikan kos pengeluaran, maka pengeluar tidak akan menaikkan harga barang dan harga barang di pasaran dapat dikawal
Mengawal kesan eksternaliti negatif
- Pemberian subsidi oleh kerajaan boleh menggalakkan pengeluaran sesuatu barang atau perkhidmatan serta sesuatu teknik pengeluaran
- Pengeluar yang ingin mendapat faedah daripada subsidi kerajaan akan mengeluarkan barang yang digalakkan oleh kerajaan / teknik pengeluaran yang diperkenalkan
- Kerajaan selalunya akan memberi subsidi kepada pengeluar yang menggunakan kaedah pengeluaran mesra alam.
Cukai
Cukai merupakan satu mekanisme yang mengumpulkan hasil daripada individu atau syarikat dan entity lain untuk membangunkan negara dengan menyediakan pelbagai kemudahan awam demi kesejahteraan rakyat
Mengawal eksploitasi pengguna
- Pengenaan cukai akan menambahkan kos pengeluaran pengeluar, maka jumlah penawaran akan merosot
- Kerajaan mengenakan cukai yang tinggi ke atas barang yangmembahayakan kesihatan pengguna seperti rokok
Mengawal kesan eksternaliti negatif
- Kerajaan boleh mengenakan cukai ke atas pengeluaran barang dan perkhidmatan yang membawa kesan pencemaran alam sekitar
- Pengenaan cukai akan meningkatkan kos bagi firma dan menyebabkan firma lebih prihatin terhadap alam sekitar
- Contoh : cukai karbon yang merupakan cukai persekitaran yang dikenakan atas kandungan bahan api
Matlamat Kerajaan
Matlamat Kerajaan untuk Menjaga Kebajikan Masyarakat dan Meningkatkan Kemakmuran Negara
Bagi mencapai matlamat di atas, kerajaan memainkan tiga peranan yang penting dalam ekonomi iaitu sebagai pengeluardan majikan, mencapai objektif makroekonomi negara dan mengawal selia eksternaliti negatif.
Ketiga-tiga peranan ini saling berhubung kait antara satu sama lain seperti yang digambarkan dalam rajah di bawah :

Analisis Hubung Kait antara Ketiga-tiga Peranan Kerajaan dalam menjaga kebajikan masyarakat dan meningkatkan kemakmuran negara adalah seperti berikut :
peranan kerajaan sebagai pengeluar
- kerajaan mengeluarkan barang awam dan barang sosial untuk meningkatkan kesejahteraan dan taraf hidup rakyat
- kemudahan dan infrastruktur yang disediakan merangkumi aspek keperluan asas, pekerjaan , pendidikan, kesihatan dan lain-lain
peranan kerajaan sebagai majikan
- dalam proses penyediaan barang-barang tersebut, kerajaan telah mencipta peluang pekerjaan kepada masyarakat dalam sektor perkhidmatan awam
- masyarakat boleh menyumbang tenaga dari segi fizikal atau mental dan memperoleh gaji atau pendapatan sebagai ganjaran
mencapai objektif guna tenaga penuh
kadar pengangguran berkurang dan guna tenaga penuh boleh dicapai
mencapai objektif pertumbuhan ekonomi
- kemudahan dan infrastruktur yang lengkap juga akan menarik pelaburan dari luar negara
- kemasukan aliran modal ke dalam negara akan memperbanyakkan aktiviti pengeluaran dalam negara dan meransang pertumbuhan ekonomi
mencapai objektif imbangan pembayaran lebihan
imbangan pembayaran lebihan dapat dicapai jika pengaliran masuk wang melebihi pengaliran keluar wang
mengawal selia pengeluar dan eksternaliti negatif
- Pemantauan daripada kerajaan supaya pengeluar tidak menindas kebajikan pengguna dengan mengaut keuntungan berlebihan atau mengancam kesejahteraan alam sekitar
- Kerajaan mengenakan undang-undang dan peraturan untuk mengawal selia pengeluar dan eksternaliti negatif
mencapai objektif kestabilah harga
Kerajaan campur tangan dalam ekonomi untuk mengawa kuasa pasaran supaya harga barang dapat distabilkan