Nota Ekonomi T4: Produktiviti dan Eksternaliti (Bab4)

Konsep Produktiviti

Pertumbuhan ekonomi sesebuah negara dapat dicapai melalui dua cara iaitu :

  • Meningkatkan kuantiti input yang terdiri daripada buruh, modal, tanah, dan usahawan
  • Meningkatkan kecekapan dalam penggunaan input iaitu buruh, modal, tanah dan usahawan

Cara kedua adalah berkaitan dengan konsep produktiviti iaitu negara mencapai pertumbuhan dengan menggunakan sumber yang sama atau kurang tetapi mampu menghasilkan output yang lebih tinggi

Produktiviti atau daya pengeluaran ialah keupayaan untuk meningkatkan penghasilan output daripada sejumlah input yang diberikan


Fungsi produktiviti

Fungsi produktiviti mengukur kecekapan dan keberkesanan dalam penggunaan input seperti tenaga buruh, teknologi, peralatan, sistem, dan pengurusan.Fungsi produktiviti juga menjelaskan perhubungan antara output yang dihasilkan dengan input yang digunakan.

Rumus pengukuran produktiviti adalah seperti berikut :

Kepentingan produktiviti seperti yang berikut :

Peningkatan produktiviti
Peningkatan output
Peningkatan keuntungan atau daya saing firma
Peningkatan upah pekerja
Peningkatan pendapatan negara
Peningkatan tarah hidup rakyat
Kepentingan produktiviti

Faktor Yang Mempengaruhi Produktiviti

Produktiviti sesebuah organisasi atau industri dipengaruhi oleh faktor-faktor yang berkaitan dengan tanah, buruh, modal dan usahawan. Secara khususnya faktor-faktor tersebut boleh dihuraikan seperti berikut :

Tenaga Manusia

  • Setiap tenaga kerja harus ditempatkan ke posisi kerja mengikut kebolehan dan kemahiran masing-masing
  • Tahap kemahiran individu boleh ditingkatkan melalui latihan dan program pembangunan diri
  • Pekerja boleh dimotivasikan melalui ganjaran secara kewangan atau bukan kewangan (contoh : anugerah kecemerlangan)

Sistem dan prosedur

  • Sistem dan prosedur kerja harus ringkas dan selaras dengan matlamat organisasi
  • Sistem dan prosedur yang efektif mampu mengesan kelemahan dalam organisasi

Struktur organisasi

  • Pengkhususan dalam unit masing-masing dapat meningkatkan produktiviti
  • Organisasi harus memilih struktur yang paling sesuai dengan operasinya

Gaya kepimpinan

  • Pemimpin harus memiliki kemahiran membuat keputusan yang tepat dan sudi mengambil risiko dalam menjalankan kerjayanya
  • Pemimpin yang berwibawa mampu memimpin dan memotivasikan ahli-ahli organisasinya

Persekitaran kerja

  • Susun atur tempat kerja dapat memastikan operasi organisasi berjalan lancar dan persekitaran kerja kondusif dan selesa
  • Kemudahan yang disediakan di tempat kerja dapat membantu pekerja dalam tugas mereka

Bahan – bahan

  • Bahan yang berkualiti dapat mengelakkan pembaziran dan kerosakan
  • Pengurusan inventori yang sistematik dapat mengelakkan penyimpanan stok yang berlebihan dan bekalan bahan sentiasa mencukupi untuk proses pengeluaran

Teknologi

  • Penggunaan peralatan atau mesin moden dan pelaksanaan sistem automasi komputer dapat menjimatkan masa dan tenaga buruh
  • Aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) penting untuk membawa inovasi dan pemurnian dalam proses pengeluaran

Kelengkapan modal

  • Bagi memastikan kelengkapan modal berfungsi baik, penyelenggaraan dan pemeriksaan harus dijalankan dari semasa ke semasa
  • Penggunaan kelengkapan modal harus dirancang supaya semuanya dapat digunakan dengan optimum

Eksternaliti

Eksternaliti menggambarkan ketidakcekapan pasaran.Eksternaliti wujud kerana tindakan pengeluar atau pengguna yang memberi kesan kepada pihak ketiga selain pengguna dan pengeluar tetapi tidak dimasukkan dalam harga pasaran.

Eksternaliti merupakan kegagalan sistem harga dan kos atau faedah yang tidak diambil kira dalam pengeluaran. lni merupakan kesan aktiviti pengeluaran dan penggunaan yang tidak digambarkan secara langsung dalam pasaran.

Jika wujud eksternaliti maka harga barangan tidak menggambarkan nilai sosial barangan-firma mungkin mengeluarkan lebih/kurang dari yang sepatutnya dan menggambarkan ketidakcekapan pasaran.

Contoh Eksternaliti

Misalnya, pengeluaran yang dijalankan oleh kilang boleh menyebabkan pencemaran air jika bahan buangan firma disalurkan ke dalam sungai atau laut. Kos ini tidak diambil kira dalam harga pasaran. Namun pada masa yang sama dengan adanya kilang-kilang ini, penduduk dapat peluang pekerjaan dan memperoleh pendapatan untuk membaiki taraf hidup. Faedah ini juga tidak dimasukkan dalam harga pasaran.


Kos Sosial Dan Faedah Sosial

Kos sosial merupakan eksternaliti negatif manakala faedah sosial merupakan eksternaliti positif :

Kos SosialFaedah Sosial
Maksudkos kepada pihak ketiga
yang tidak termasuk dalam harga pasaran
faedah kepada pihak
ketiga selain pengguna dan pengeluar

Contoh
Aktiviti pengeluaran minyak petroleum dan pembuangan sisa toksik kilang yang berleluasaBarang dan perkhidmatan yang disediakan oleh kerajaan seperti hospital dan alat pemadam api

Kesan
pencemaran alam sekitar yang merugikan nelayan dan alam sekitarmemberi faedah kepada masyarakat sekeliling tanpa sebarang bayaran
Kos Sosial danFaedah Sosial

Contoh Kos Sosial

Secara rumus, kos sosial dapat dijelaskan seperti berikut:

Kos sosial = Kos peribadi + Kos luaran

Jika tiada kos luaran lain, kos peribadi adalah bersamaan kos sosial.

Kos peribadi

Kos peribadi ialah kos nyata sesebuah kerajaan, firma atau individu. Contohnya kos pembelian kereta, insurans kereta, cukai jalan dan minyak petrol ditanggung oleh pemilik kereta.

Kos luaran

Kos luaran adalah kesan sampingan yang negatif yang ditanggung oleh pihak yang ketiga tanpa sebarang pampasan. Contohnya seorang pemandu kereta tidak perlu menanggung kos kesesakan lalu lintas dan pencemaran.

Contoh lain kos luaran ialah seperti :

  • Pencemaran alam sekitar akibat bahan buangan berbahaya oleh kilang
  • Pencemaran bunyi dari kelab malam
  • Pembebasan asap rokok

Ini merupakan suatu kegagalan pasaran kerana kos peribadi tidak menggambarkan kos sebenar yang ditanggung oleh sesebuah masyarakat. Kos sebenar yang ditanggung oleh sesebuah masyarakat dikenal sebagai kos sosial

Pencemaran alam sekitar sebab oleh kilang

Contoh Faedah Sosial

Secara rumus, faedah sosial dapat dijelaskan seperti berikut :

Faedah sosial = Faedah peribadi + Faedah luaran

Contohnya, seseorang individu memilih menunggang basikal pergi bekerja. Antara faedah peribadinya termasuklah :

  • Kos pengangkutan yang lebih rendah berbanding memandu kereta
  • Faedah kesihatan daripada menunggang basikal
  • Mengelak kesesakan lalu lintas dan menjimatkan masa perjalanan

Faedah sosial daripada menunggang basikal juga mendatangkan faedah luaran seperti :

  • Kadar kesesakan lalu lintas yang rendah
  • Kadar pencemaran alam sekitar yang lemah
  • Kos perubatan kesihatan yang lebih rendah kepada orang ramai

Jika sesuatu barangan mempunyai faedah luaran yang sangat menonjol, jumlah faedah sosial akan menjadi lebih besar daripada faedah peribadi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You cannot copy content of this page