Contoh Karangan SPM: Punca Peningkatan Jenayah Siber

Kadar jenayah siber semakin meningkat dari tahun ke tahun. Semua pihak berasa bimbang akan situasi yang berlaku sekarang. Pada pendapat anda, apakah faktor peningkatan jenayah siber ini ?

Punca Peningkatan Jenayah Siber di Malaysia

Dalam meniti arus globalisasi ini, jenayah siber kelihatannya semakin menjadi-jadi di negara kita. Secara umumnya, jenayah siber merujuk kepada jenayah yang melibatkan penggunaan komputer dan rangkaian yang boleh menyebabkan mangsa menderita dan mengalami kerugian. Hal ini berlaku kerana, terdapat golongan masyarakat yang sengaja melakukan jenayah siber untuk kepentingan diri sendiri. Isu jenayah siber ini kian hangat diperkatakan justeru menjadi duri dalam daging yang memudaratkan. Suatu hakikat yang tidak boleh dikesampingkan ialah faktor-faktor yang menyebabkan jenayah siber semakin berleluasa di negara kita perlu diperincikan demi kebaikan bersama.

Semua orang boleh mengakses Internet

Antara faktor berlakunya jenayah siber termasuklah semua orang boleh mengakses Internet dan penggunaannya meluas di seluruh dunia. Jenayah siber bukan hanya melibatkan rakyat Malaysia malah turut melibatkan rakyat dari negara lain. Sebagai contoh, kecurian identiti boleh berlaku di mana-mana sahaja terutamanya bagi mereka yang menggunakan perkhidmatan di kafe-kafe siber. Situasi ini akan menyebabkan individu yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan mencuri identiti pengguna yang lain untuk mengaut keuntungan. Maka, pengguna internet yang tidak bermoral ini akan meningkatkan kadar jenayah siber di negara kita.

Keinginan menjadi kaya melalui jalan pintas

Selanjutnya, keinginan sesetengah pihak untuk menjadi kaya melalui jalan pintas juga merupakan faktor peningkatan jenayah siber. Oleh itu, ada di antara mereka sanggup melakukan penipuan atas talian terhadap orang ramai. Sebagai contoh, mereka menyamar sebagai pegawai pemungut cukai yang menjadikan golongan tertentu sebagai sasaran. Penipu akan merancang dan menyamar dengan begitu teliti untuk memastikan penipuan mereka berjaya dilaksanakan serta memperolehi wang yang banyak. Jelaslah bahawa, segelintir individu yang berkeinginan menjadi kaya dalam sekelip mata merupakan salah satu punca peningkatan jenayah siber.

Mengaburi mata pihak yang tertentu

Di samping itu, jenayah siber dilakukan untuk mengaburi mata pihak yang tertentu. Pada kebiasaannya, penipuan dilakukan secara licik oleh golongan profesional. Golongan ini bijak menyusun strategi dalam melakukan jenayah siber agar tidak dapat dikesan. Misalnya, mereka menjalankan urusan jual beli sesuatu produk di atas talian dengan tawaran harga yang jauh lebih murah daripada harga pasaran. Hal ini mengakibatkan banyak pelanggan yang mengalami kerugian yang besar akibat tertipu dengan janji-janji manis penjual. Kesudahannya, jenayah siber tersebut terus menular dan berlaku di mana-mana tanpa kawalan.

Pengguna tidak memasang sekuriti

Seterusnya, jenayah siber boleh berlaku disebabkan pengguna tidak memasang sekuriti atau kata laluan dalam proses transaksi pembayaran secara atas talian. Laman web yang tidak rasmi dalam proses perbankan atas talian secara tidak langsung boleh mendedahkan kata laluan kepada penjenayah siber. Hal ini memudahkan penjenayah siber untuk menggodam atau mencuri maklumat perbankan pengguna. Akibatnya, mereka akan terdedah kepada risiko kehilangan wang dalam akaun peribadi. Tegasnya, memasang sistem keselamatan dalam proses transaksi pembayaran atas talian amat penting supaya kita tidak menjadi mangsa kepada penjenayah siber.

Desakan hidup yang serba kekurangan

Di samping itu, jenayah siber ini juga boleh terjadi disebabkan oleh desakan hidup yang serba kekurangan. Walaupun negara kita semakin maju ke hadapan, namun masih terdapat individu yang hidup dalam kesusahan bak kata peribahasa kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Situasi ini akan memaksa mereka melakukan jenayah siber untuk mendapatkan wang tanpa menghiraukan kesannya kepada orang lain, contohnya, menggodam akaun bank orang lain untuk mendapatkan wang mereka secara haram. Kesannya, masyarakat hidup di dalam ketakutan dan kegelisahan sekiranya jenayah siber seperti ini semakin berleluasa.

Sanggup menjadi orang suruhan

Selain itu, seseorang yang sanggup menjadi orang suruhan juga merupakan faktor berlakunya jenayah siber. Penjenayah siber itu sendiri sudah tentulah terdiri daripada golongan yang mempunyai kepakaran dalam bidang komputer. Pada hakikatnya, ada di antara mereka melakukan jenayah siber ini kerana diupah oleh pihak tertentu bagi memperoleh keuntungan. Habuan lumayan yang bakal diterima sudah pastilah sukar untuk ditolak. Kesudahannya, mereka gagal berfikir secara rasional lalu bersedia menjadi ‘hamba duit’ sehingga menyebabkan kadar jenayah siber semakin meningkat dari hari ke hari.

Penutup Jenayah Siber

Konklusinya, jenayah siber sememangnya mendatangkan kesan negatif kepada manusia. Walau bagaimanapun, tiada penyakit yang tiada penawarannya, justeru langkah-langkah yang konkrit, sistematik dan pragmatik harus dijalankan secara berterusan agar jenayah siber ini boleh dibasmi. Oleh itu, semua pihak perlu berganding bahu dalam menangani masalah ini. Sebaliknya, jika tiada muafakat, hasrat dan aspirasi negara untuk berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan negara-negara maju yang lain tanpa dibebani dengan jenayah siber akan hanya tinggal omong kosong semata-mata.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You cannot copy content of this page