Contoh Karangan Penggunaan telefon pintar

Kemajuan dalam bidang sains dan Teknologi telah menyebabkan penghasilan pelbagai ciptaan peralatan yang moden dan canggih, seperti telefon pintar. Jelaskan kebaikan dan keburukan penggunaan telefon pintar yang menjadi keperluan anggota masyarakat kini.

Kebaikan dan keburukan penggunaan telefon pintar

Penggunaan telefon pintar sudah menjadi satu bentuk perhiasan diri yang harus dimiliki oleh semua masyarakat .Terdapat pelbagai jenis telefon pintar antaranya iPhone, Huawei dan Oppo yang menarik minat anggota masyarakat sehingga ada yang sanggup menahan lapar atau bekerja semata-mata untuk mendapat telefon pintar yang lebih baik. Keadaan ini menyebabkan ramai yang menganggap telefon pintar mendatangkan kebaikan malah ada yang mengatakan telefon pintar sudah menjadi satu pembaziran tetapi ada yang masih menyanjung telefon pintar ini. Persoalannya, apakah kebaikan dan keburukan telefon pintar kepada anggota masyarakat?

Alat hubungan yang penting

Antara kebaikan telefon pintar terhadap anggota masyarakat ialah dianggap sebagai alat hubungan. Hal ini disebabkan oleh telefon pintar boleh membantu kita berhubung dengan kawan-kawan dan ahli keluarga yang tinggal di tempat yang jauh. Sebagai contoh, kita boleh menggunakan aplikasi seperti ‘Messenger’, ‘Whatsapp’ dan ‘Skype’. Hal ini demikian kerana kita boleh menggunakan aplikasi dan laman sosial dalam telefon pintar untuk berbual-bual dengan semua orang. Jelaslah bahawa penggunaan telefon pintar dapat menghubungkan kita dengan orang lain dengan cara yang mudah.

Mendapat maklumat terkini

Kebaikan penggunaan telefon pintar yang seterusnya ialah mendapat maklumat terkini. Hal ini dikatakan demikian kerana selain berfungsi sebagai alat komunikasi, telefon pintar juga boleh digunakan untuk mengakses maklumat terkini secara pintar atau dalam erti kata lain semuanya hanya di hujung jari. Kini, kebanyakan maklumat boleh terus diperolehi melalui laman sosial seperti Facebook, Instagram, Twitter dan lain-lain. Maklumat terkini juga dapat disampaikan hanya dengan membuat panggilan, whatsapp atau melalui kongsi maklumat di laman-laman sosial. Jelaslah bahawa penggunaan telefon pintar dapat memberikan kita tentang maklumat terkini dan hal ini juga dapat memudahkan kepada pengguna yang lain.

Aplikasi GPS membantu membawa jalan

Seterusnya, kebaikan penggunaan telefon pintar ialah kita dapat pergi ke sesuatu tempat dengan mudah adanya aplikasi yang dinamakan GPS. Dengan menggunakan aplikasi ini kita tidak perlu bimbang apabila kita sesat kerana GPS akan membawa kita ke jalan yang ingin ditujui. Contohnya, apabila berada di kawasan bandar yang besar seperti Kuala Lumpur terdapat ramai pemandu yang sesat akibat lebuh raya di sana kerana mempunyai lorong jalan yang banyak. Penggunaan GPS juga ramai digunakan oleh pemandu untuk melalui lebuh raya tersebut kerana bimbang akan tersesat atau tersilap masuk kawasan lorong yang lain. Oleh hal yang demikian, penggunaan telefon pintar dapat membantu pengguna di jalan raya.

Penyebaran khabar angin

Selain itu, telefon pintar juga mempunyai keburukan. Telefon pintar telah dijadikan sebagai alat untuk penyebaran khabar angin. Ini berlaku apabila khabar angin yang palsu telah disebarkan melalui media sosial seperti Facebook, Whatsapp dan Instagram. Mereka yang mudah percaya tanpa membuat siasatan dahulu dengan mudah menyebarkan kepada pihak lain tanpa menyiasat kesahihan khabar angin tersebut. Ini sekaligus telah memberi impak yang buruk kepada pihak-pihak tertentu. Perkara ini juga akan memberi fikiran-fikiran yang negatif kepada masyarakat.

Pembaziran masa

Di samping itu, keburukan yang lain dapat di kenal pasti ialah pembaziran masa. Ini berlaku apabila masa banyak dihabiskan dengan bermain “games”, melayari laman-laman sosial, melayan sms dan juga ber”chatting”. Masa yang banyak dengan telefon pintar telah menyebabkan masa untuk beriadah, membaca buku, berjumpa kawan-kawan dan masa dengan keluarga telah terhad. Ini memberi impak yang tidak baik untuk jangka masa panjang.

Pelajar tidak fokus dalam pelajaran

Penggunaan telefon pintar yang tidak terkawal akan mendatangkan kesan buruk dalam kalangan pelajar juga. Keburukan penggunaan telefon pintar dalam kalangan pelajar ialah pelajar akan lalai dan tidak fokus dalam pelajaran. Hal ini dikatakan demikian kerana remaja kini mempunyai banyak cara untuk berhubung antara satu sama lain dan sering aktif dalam perhubungan melalui telefon bimbit seperti adanya aplikasi “WeChat”, “WhatsApp” , “Facebook” dan Instagram. Selain itu, mereka juga gemar bermain permainan dan menonton YouTube di dalam telefon pintar. Hal ini menyebabkan pelajar tidak dapat memberikan tumpuan dalam pelajaran kerana sibuk melayan aplikasi-aplikasi ini. Oleh yang demikian prestasi pelajar akan merosot disebabkan pelajar yang leka dengan telefon pintar semasa pelajaran.

Penutup Karangan Penggunaan telefon pintar

Kesimpulanya, terdapat banyak kebaikan dan keburukan jika dikaitkan dengan isu telefon pintar yang mempengaruhi masyarakat kini. Oleh itu, masyarakat kini hendaklah menggunakan menggunakan telefon pintar sebaik mungkin. Oleh hak yang demikian,kerjasama daripada semua pihak untuk mendidik dan memantau orang sekeliling tentang penggunaan telefon pintar haruslah dipertingkatkan. Semoga masyarakat kini dapat menggunakan telefon pintar atas tujuan dan faedah tertentu bagi mengelakkan berlakunya perkara yang tidak diingini berlaku.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You cannot copy content of this page