Karangan SPM: Cara Mengurangkan Kemalangan Jalan Raya

Kemalangan jalan raya yang serius boleh meragut nyawa seseorang yang tidak berdosa. Apakah cara yang boleh mengurangkan Kemalangan Jalan Raya berlaku?

Langkah untuk Mengurangkan Kemalangan Jalan Raya

Jalan raya seperti mulut naga merupakan ungkapan pepatah Cina yang menggambarkan jalan raya boleh meragut nyawa seseorang. Malah peribahasa Melayu turut menyebut malang tidak berbau, kesemua ungkapan lama ini memberi nasihat kepada generasi hari ini agar sentiasa berhati-hati ketika berada di jalan raya. Malangnya, ungkapan – ungkapan seperti ini yang terpapar pada papan iklan di lebuh raya hanya dipandang sipi oleh pengguna jalan raya. Malah dek kelajuan memandu, mereka tidak sempat untuk membaca ungkapan tersebut. Oleh itu, satu prakarsa perlu dilakukan untuk memastikan pengguna jalan raya selamat daripada tragedi yang memilukan mereka dan keluarga.

Mengenal pasti keadaan jalan raya

Antara usaha yang telah dikenal pasti adalah melalui peranan jabatan yang terlibat iaitu Jabatan Kerja Raya menerusi Kementerian Kerja Raya yang wajar mengenal pasti keadaan jalan raya yang sering menjadi punca kemalangan. Mereka hendaklah melakukan kajian di lapangan untuk melihat semula struktur jalan raya yang mungkin menyumbang berlakunya kemalangan di jalan tersebut. Jika sesebuah kawasan kemalangan tersebut memerlukan kemudahan jalan raya seperti jejantas, lampu isyarat, pelebaran jalan raya dan pemasangan lampu, maka pihak jabatan perlulah menyediakan kemudahan tersebut demi menyelamatkan nyawa dan mengurangkan statistik kemalangan.

Sekolah memandu perlu dipertingkat

Sejajar dengan pembangunan negara dan kemajuan teknologi permotoran dunia, maka kurikulum sekolah-sekolah memandu perlu dipertingkat dan dipantau ketat oleh kerajaan, terutamanya Jabatan Pengangkutan Jalan Raya (JPJ). Hal ini bertujuan agar pengguna jalan tidak ketinggalan zaman dan sentiasa mengetahui peraturan dan undang-undang jalan raya. Malah, kecekapan memandu wajar diuji dengan sebaik-baiknya agar pengguna kenderaan dapat mengawal kenderaan dengan baik apabila mereka telah lulus ujian memandu nanti. Dengan cara ini, pengguna jalan raya sentiasa mendapat ilmu pengetahuan dan secara tidak langsung menimbulkan kesedaran dalam diri.

Penguatkuasaan undang-undang yang ketat

Selain itu, penguatkuasaan undang-undang yang lebih ketat perlu dilakukan oleh pihak polis dan JPJ. Mereka hendaklah melakukan rondaan dan sekatan jalan raya serta pemantauan yang kerap agar pengguna jalan raya dapat mendisiplinkan diri. Operasi pencegahan seperti Ops Sikap perlu dilakukan secara berkala dan bukan hanya bermusim atau sekali sekala. Hal ini menunjukkan betapa kerajaan serius dalam usaha menangani kes kemalangan jalan raya. Penggunaan kamera perangkap kelajuan patut diperluas agar dapat mengesan pemandu yang melebihi had laju. Usaha ini dilihat berjaya mengurangkan kes kemalangan jalan raya.

Pemikiran yang mengutamakan keselamatan

Perkara utama yang perlu dilakukan oleh pengguna jalan raya itu sendiri ialah anjakan pemikiran. Mereka seharusnya memiliki pemikiran kelas pertama yang lebih mengutamakan keselamatan pengguna di jalan raya. Kita mendapati sesetengah negara maju, pejalan kaki boleh melintas jalan tanpa rasa takut di jalan raya kerana kesedaran pemandu kenderaan yang memberi laluan kepada pejalan kaki. Mereka juga mematuhi peraturan di jalan raya demi keselamatan ketika berada di jalan raya. Sikap hormat -menghormati antara pengguna jalan raya yang memandu kenderaan kecil dan besar merupakan satu anjakan pemikiran yang baik dan memberi kesan positif kepda pengguna jalan raya yang lain.

Penutup Karangan Kemalangan Jalan Raya

Secara intihanya, kes kemalangan jalan raya dapat dikurangkan jika semua pihak saling membahu, bergembleng tenaga, dan bersatu hati untuk mengubah sikap dan pemikiran pengguna jalan raya agar mereka memiliki rasa tanggungjawab dan prihatin terhadap pengguna jalan raya lain. Jika masalah ini tidak ketemu titik penyelesaian, maka kes kemalangan raya akan menjadi pembunuh utama di negara kita dan secara tidak langsung memberi kesan kepada ekonomi dan sosial. Sesungguhnya, usaha berterusan daripada semua pihak amat ditagih agar terus bekerjasama menyelesaikan masalah yang masih bersarang dalam masyarakat.


Contoh Karangan: Punca Kemalangan jalan raya dan Langkah Mengatasi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You cannot copy content of this page