Contoh Karangan SPM: Kepentingan Membaca

Minat membaca merupakan amalan yang berfaedah kepada masyarakat terutamanya remaja. Huraikan kepentingan membaca terhadap remaja.

Kepentingan Membaca terhadap Remaja

Membaca jambatan ilmu, merupakan peribahasa yang menunjukkan kepentingan membaca kepada kita. Amalan membaca ini merupakan satu amalan yang amat berfaedah namun tidak ramai yang menjadikan amalan membaca sebagai hobi mereka. Oleh itu, pelbagai usaha perlu dilakukan untuk membetulkan kembali pandangan songsang ini agar tidak terus menyesatkan remaja pada hari ini dengan menjelaskan faedah atau kepentingan membaca kepada mereka.

Mempunyai minda yang sihat dan positif

Salah satu faedah membaca yang signifikan kepada remaja hari ini ialah seseorang yang suka membaca mempunyai minda yang sihat dan positif. Mereka tidak mudah terpengaruh oleh hasutan atau pandangan negatif daripada orang lain. Mereka dihormati kerana berpegang pada pendapat tokoh-tokoh terkenal dalam sesuatu bidang. Buku-buku ilmiah karya agung tokoh pemikiran dunia perubatan dan kedoktoran seperti Ibnu Khaldun, menjadikan seeoarang pembaca itu memiliki rujukan tersendiri. Oleh itu, pemikiran kita akan sentiasa sihat dan berkembang secara positif serta kreatif, kritis dan mempunyai wawasan.

Meningkatkan perbendaharaan kata

Selain itu, amalan suka membaca juga boleh meningkatkan perbendaharaan kata dalam sesuatu bahasa. Seseorang itu harus bijak memilih bahan bacaan agar perbendaharaan kata yang diperoleh akan dapat meningkatkan penguasaan bahasa. Jika seseorang itu membaca buku novel, maka perbendaharaan kata yang diperoleh berbeza daripada pembacaan buku ilmiah. Maka untuk meluaskan perbendaharaan kata dalam sesuatu bahasa adalah wajar seseorang itu membaca mengikut kecederungan dan keperluan mereka dalam berbahasa. Secara tidak langsung, membaca mampu membina keyakinan diri dan keberanian untuk berbicara dengan sesiapa sahaja.

Menambah pengetahuan

Di samping itu, tabiat gemar membaca buku boleh menambah pengetahuan kita. Dengan membaca, sesuatu ilmu itu akan dapat diteroka dengan lebih mendalam dan lebih luas lagi tanpa sempadan. Sebagai satu tamsilan, perniagaan dalam talian yang sedang meledak pada era norma baharu ini telah meningkatkan penjualan e-buku. Hal ini membuktikan kepentingan membaca dapat membuka peluang baharu kepada mereka. Dengan itu, pengetahuan mereka dalam konsep perniagaan dalam talian telah berkembang dan secara tidak langsung pembacaan tersebut juga mampu menjana pendapatan kepada mereka.

Mengisi masa lapang dengan perkara berfaedah

Seterusnya, masa lapang kita akan terisi dengan perkara berfaedah jika kita suka membaca. Mereka yang suka membaca akan sentiasa membawa buku ke mana-mana sahaja. Hal ini dikatakan demikian kerana apabila mereka berada dalam situasi masa senggang atau lapang, mereka akan terus membuka buku yang dibawa lalu membacanya. Masa mereka sentiasa terisi dengan aktiviti membaca sahaja. Mereka akan membaca mengikut kecenderungan dan minat mereka. Oleh itu, masa lapang kita tidak akan terbuang dengan sia- sia kerana masa itu emas dan perlu kita hargai.

Penutup Karangan Kepentingan Membaca

Secara tuntasnya, amalan membaca ini haruslah dijadikan budaya dalam kehidupan agar amalan ini terus diamalkan dari zaman ke zaman tanpa perlu lagi diadakan kempen kesedaran kepada masyarakat. Kesedaran ini harus timbul dalam diri kita sendiri untuk berubah menjadi lebih baik dari hari semalam. Perubahan paradigma pemikiran ini bakal mengangkat sesuatu bangsa itu agar lebih dihormati dan dikagumi pada masa akan datang. Sejarah telah membuktikan kejayaan zaman dahulu dalam meneroka pelbagai bidang ilmu adalah bermula daripada amalan membaca sehingga lahirnya tokoh-tokoh terbilang dalam pelbagai bidang ilmu dan kajian. Oleh itu, jika kita ingin menjadi bangsa yang berjaya, maka generasi akan datang haruslah dipupuk dengan amalan membaca.


Contoh Karangan: Cara memupuk minat membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You cannot copy content of this page