Contoh Karangan SPM: Kepentingan Alam Sekitar

Amalan menjaga kebersihan merupakan tuntutan semua agama. Alam sekitar yang tidak tercemar memberikan kita suasana yang selesa dan menyamankan.Apakah Kepentingan Alam Sekitar yang bersih?

Kepentingan Dalam Menjaga Alam Sekitar

Alam sekitar merupakan anugerah Tuhan yang amat bernilai kepada kesejahteraan kehidupan. Alam sekitar memainkan peranan yang penting dalam kehidupan harian kita. Bumi yang luas dijadikan tempat tinggal manusia, gunung-gunung sebagai pemasak bumi, tumbuh-tumbuhan sebagai sumber makanan dan ubatan kepada kehidupan, demikian juga dengan pelbagai jenis haiwan dan hidupan di lautan. Di samping memberi keselesaan kepada manusia, aktiviti-aktiviti pembangunan sedikit sebanyak menjejaskan negara sekiranya alam sekitar di negara kita tidak dijaga dengan baik. Jadi, alam sekitar yang bersih penting dalam kehidupan kita dan langkah-langkah yang positif perlu dilakukan. 

Menikmati keselesaan dan kesihatan

Udara dalam alam sekitar kita yang bersih dan segar juga membolehkan kita menikmati keselesaan. Kita akan berasa selasa jika tiada gangguan di persekitaran kita. Cuaca panas dan kering yang disebabkan oleh kenaikan suhu dapat dielakkan dan membolehkan kita menjalani kehidupan dalam keadaan cuaca yang baik. Melalui persekitaran yang segar dan nyaman juga, orang ramai boleh melakukan aktiviti luar dan beriadah tanpa gangguan yang boleh menimbulkan perasaan rimas marah dan tidak selesa. Aktivti riadah yang dijalankan dalam keadaan bersih akan meningkatkan tahap kesihatan kita. Selain itu, persekitaran yang bersih juga mengelakkan pencemaran bau yang boleh mengganggu keselesaan hidup kita.

Mengelakkan pembiakan serangga

Alam setikar yang bersih juga dapat mengelakkan pembiakan serangga yang mampu membawa penyakit. Persekitaran yang bersih menghalang haiwan seperti lalat, nyamuk dan tikus daripada membiak dan menyebarkan penyakit kepada manusia seperti malaria, deman denggi, taun dan hawar. Keadaan ini turut melindungi makanan kita daripada dicemari oleh vector-vektor penyakit tersebut dan dengan itu, masalah keracunan makanan dapat dielakkan. Alam setikar yang bersih dapat mengurangkan pembiakan serangga seperti nyamuk, lalat, dan serangga lain yang berada di dalam rumah. Tanpa serangga tersebut, kita dapat berehat dengan selesa di rumah pada bila-bila masa.

Sumber asli yang penting dalam kehidupan

Selain itu, air merupakan sumber asli yang sangat penting dalam kehidupan manusia. Air sangat diperlukan oleh tubuh badan manusia sehinggakan manusia boleh hidup bertahan beberapa hari dengan air sahaja tanpa makanan. Tubuh kita mengandungi lebih kurang 70% air. Sekiranya kehilangan air, hal ini akan mengakibatkan kita kehilangan tenaga. Air bukan sahaja penting kepada manusia malah kepada hidupan lain seperti haiwan dan tumbuh-tumbuhan yang turut memerlukan air. Air yang suci dan bersih merupakan penjana kepada kehidupan di muka bumi. Oleh kerana air merupakan unsur penting dalam kehidupan manusia, masyarakat  haruslah berganding bahu dalam memelihara dan menjaga kebersihan air terutamanya menjaga keselamatan alam sekitar daripada sebarang pencemaran.

Mengelakkan kepupusan flora dan fauna

Pemuliharaan terhadap alam sekitar adalah amat penting untuk mengelakkan kepupusan flora dan fauna. Alam sekitar merupakan tempat tinggal bagi flora dan fauna. Kedua-duanya memainkan peranan dalam mengekalkan alam semulajadi dan saling berkaitan di antara satu sama lain, Flora dan fauna merupakan biodiversiti yang tidak boleh dipisahkan. Flora merupakan tempat perlindungan pelbagai fauna daripada angkara manusia atau sesama haiwan sendiri. Kepupusan salah satu daripadanya akan menjejaskan kitaran alam semulajadi. Penebangan hutan yang tidak terancang akan menyebabkan cuaca menjadi panas dan kering. Ini akan menjejaskan pertumbuhan flora dan fauna. Pemuliharaan terhadap alam sekitar adalah penting untuk mengelakkan kepupusan..

Meningkatkan ekonomi negara

Di samping itu, alam sekitar yang bersih akan dapat meningkatkan ekonomi negara. Sesebuah masyarakat yang bersih dan mengandungi nilai kedamaian akan dapat menarik perhatian pelancong asing. Kedatangan pelancong asing ke dalam negara kita akan meningkatkan nilai tukaran wang asing, dan ini akan dapat memajukan perkembangan ekonomi negara kita. Selain itu, kedatangan pelancong juga dapat memajukan sektor perkhimatan dan sektor perniagaan serta menawarkan peluang perkerjaan kepada masyarakat. Dengan ini, imej negara kita akan dapat ditingkatkan.

Penutup Karangan Kepentingan Alam Sekitar

Kesimpulannya, alam sekitar yang bersih berperanan sebagai sumber kecantikan, keindahan dan kedamaian di samping udara yang bersih. Kita mesti sedar akan kepentingan memelihara alam semulajadi yang masih ada pada hari ini. Kita tidak sepatutnya meletakkan masalah ini diatas bahu kerajaan dengan semata-matanya. Pemuliharaan alam sekitar adalah tanggungjawab bersama. Justeru, semua lapisan masyarakat haruslah bekerjasama dan saling membantu dalam memelihara alam sekitar supaya kebersihan alam sekitar dapat ditingkatkan dalam kehidupan kita.


Contoh Karangan: Langkah menjaga kebersihan alam sekitar
Contoh Karangan: Kesan Pencemaran Alam Sekitar

Leave a Reply

You cannot copy content of this page