Contoh Karangan Kebaikan Kemajuan Teknologi maklumat

Kemajuan teknologi maklumat dikatakan banyak mendatangkan kesan yang positif ke arah pembentukan masyarakat maju. Oleh itu, masyarakat malaysia perlu memanfaatkan teknologi maklumat sebaik-baik mungkin. Tulis karangan tentang kebaikan kemajuanteknologi maklumat.

Kebaikan Kemajuan Teknologi maklumat

Teknologi maklumat bermaksud sebarang bentuk teknologi yang dapat menyalurkan maklumat kepada manusia. Antara teknologi maklumat yang berkesan ialah telekomputer, radio, televisyen, telefon, dan sebagainya. Penggunaan alat-alat ini dalam kalangan masyarakat Malaysia mendatangkan kesan positif kepada negara dan seterusnya menaikkan taraf negara kita ke arah negara maju. Oleh itu, kita seharusnya menggunakan teknologi maklumat ini sebaik-baik mungkin.

Berhubung dengan mudah

Sebab utama kita perlu memanfaatkan teknologi maklumat adalah untuk membolehkan kerajaan dan rakyat dapat berhubung dengan lebih mudah. Hal ini demikian kerana kerajaan dapat menyiarkan segala rancangan dan dasarnya untuk pengetahuan rakyat. Melalui kaedah ini, rakyat dapat memahami situasi sebenar, memberikan kerjasama, dan memberi sokongan serta maklum balas terhadapnya. Hubungan yang rapat antara kerajaan dan rakyat amatlah penting untuk menjamin keamanan dan kestabilan sesebuah negara. Pentadbiran kerajaan menjadi lebih cekap setelah penggunaan teknologi moden menjadi amalan dalam pentadbiran kerajaaan. Oleh itu, keupayaan teknologi maklumat menyebabkan kerajaan dan rakyat seolah-olah berdekatan antara satu sama lain.

Menambah pengetahuan tentang peristiwa semasa di luar negara

Seterusnya, teknologi maklumat dapat menambah pengetahuan orang ramai tentang peristiwa semasa yang berlaku di dalam mahupun di luar negara. Dengan kemudahan seperti internet, berita dan gambar-gambar yang terkini dapat disebarkan dan sebagai kesannya semua pihak dapat memperoleh maklumat itu selengkapnya. Sebagai contoh, berita gempa bumi yang berlaku di Pakistan disiarkan sacra lengkap dan terperinci dalam internet. Dengan yang demikian, kita merasai seolah-olah dunia kini kian kecil dan mudah untuk kita memperoleh apa-apa saja maklumat.

Menjimatkan masa, wang, dan tenaga

Kemajuan teknologi maklumat turut menjimatkan masa, wang, dan tenaga kita ketika hendak berhubung dengan sesuatu pihak lain. Semua kemudahan yang disediakan melalui teknologi maklumat mengambil masa yang singkat kerana segala urusan hanya menggunakan kemudahan komputer. Wang yang digunakan untuk urusan pengangkutan dapat dijimatkan. Semua ini menyebabkan tenaga yang digunakan berkurang. Sebagai contoh, penggunaan e-mel di internet berupaya menjalankan segala urusan seperti ini dalam tempoh yang singkat. Dengan itu terbuktilah bahawa kita memperoleh faedah yang berganda-ganda setelah kita memanfaatkan teknologi maklumat.

Menjaga keamanan dan keselamatan negara

Kemajuan teknologi maklumat dapatmembantu untuk menjaga keamanan dan keselamatan negara kita. Kamera litar tertutup (CCTV) sentiasa digunakan di tempat-tempat seperti bank, lapangan terbang, pasaraya dan sekolah. Sistem ini dapat mengawas keselamatan tempat tertentu dan kegiatan jenayah senang untuk dikesan. Kamera video akanmerakamkan kejadian yang berlaku dan membantu polis dalam siasatan jenayah. Seterusnya, polis akan menahan penjenayah tersebut dan menjalankan prosedur di mahkamah dengan bukti yang dirakam. Dengan bantuan alat-alatteknologi maklumat, tugas anggota keselamatan negara akan menjadi lebih mudah. Oleh itu, keselamatan rakyat dapat dijamin dan kehidupan rakyat tidak akan terancam.

Penutup Karangan teknologi maklumat

Kesimpulannya, kemajuan teknologi maklumat amat penting dimanfaatkan oleh sesebuah negara.Hidup kita tidak dapat lari daripada penggunaan teknologi seperti ini. Tanpa penggunaan teknologi seperti ini, kita akan merasakan bahawa wujudnya halangan dalam hubungan sesama manusia. Akhirnya, masyarakat yang ingin mencapai kemajuan dan menghayati ciri-ciri globalisasi mestilah akur dengan kemajuan teknologi maklumat ini.


Isi Karangan: Memanfaatkan Internet dan Telefon Pintar
Contoh Karangan: Kepentingan Teknologi maklumat kepada Masyarakat

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You cannot copy content of this page