Contoh Karangan SPM: Kesan Bencana Alam

Dasawarsa ini, Bencana alam seperti banjir kerap berlaku di Malaysia Apakah kesan bencana alam terhadap manusia di negara kita?

Kesan Buruk Bencana Alam terhadap Manusia

Sedasawarsa ini, masalah banjir sering menjadi igauan ngeri bagi penduduk di negeri pantai timur. Sejarah telah mencatatkan fenomena banjir besar berlaku pada 2014 sehingga mengorbankan banyak nyawa. Masalah banjir merupakan salah satu bencana alam yang kerap berlaku di negara kita. a pelbagai faktor yang berpunca daripada lantaran sikap manusia itu sendiri. Akibat bencana alam ini, pelbagai implikasi buruk dialami oleh penduduk di kawasan yang terlibat. Persoalannya, apakah kesan buruk daripada bencana alam yang berlaku ini?

Menyentuh hati dan meruntun jiwa penduduk

Kesan buruk yang menyentuh hati dan meruntun jiwa penduduk yang menghadapi masalah banjir ialah kehilangan nyawa orang yang tersayang. Situasi banjir yang berlaku secara tiba-tiba ini menyebabkan anak-anak kecil keriangan bermain air sesama rakan mereka tanpa menyedari bahaya sedang menanti kerana malang itu tidak berbau yang mengakibatkan anak- anak kecil ini terjatuh lalu dibawa arus air yang deras. Secara tidak langsung, bencana alam telah menjadi peristiwa hitam bagi sesebuah keluarga yang kehilangan orang tersayang dan kenangan pahit ini akan dikenang sampai bila-bila dan menjadi trauma dalam kehidupan mereka.

Kehilangan dan kemusnahan harta benda

Selain itu, banjir juga mengakibatkan kehilangan dan kemusnahan harta benda. Apabila banjir berlaku, banyak rumah yang ditenggelami air sehingga mencecah paras bumbung. Keadaan ini menyebabkan semua peralatan elektronik seperti peti ais, televisyen, radio, dan mesin basuh di dalam rumah telah rosak dan tidak boleh digunakan lagi. Keadaan ini mengakibatkan mangsa tinggal sehelai sepinggang dan kesemua barangan tersebut dibuang atau dibakar seperti peribahasa sudah jatuh ditimpa tangga. Akibatnya, mangsa terpaksa menanggung kos baik pulih yang menelan belanja yang tinggi dan mereka tidak mampu untuk membaikinya dalam tempoh yang singkat.

Kehilangan punca pendapatan

Bagi penduduk yang bekerja pula, mereka kehilangan punca pendapatan akibat daripada bencana alam yang berlaku. Hal ini dikatakan demikian kerana penduduk kampung yang bergantung harap pada hasil pertanian dan penternakan telah kehilangan punca pendapatan apabila semua tanaman mereka telah musnah ditenggelami banjir dan binatang ternakan mati sebagai akibat daripada bencana banjir yang berlaku. Mereka kehilangan punca pendapatan dan hanya bergantung harap pada bantuan yang disalurkan oleh NGO dan kerajaan. Oleh itu, banjir turut menjadi punca kemusnahan mata pencarian dan masa depan seseorang.

Kerosakan infrastruktur dan kemudahan awam

Di samping itu, mangsa banjir turut menerima kesan daripada kerosakan infrastruktur atau kemudahan awam yang tersedia di kampung mereka . Akibat banjir, aliran air sungai menjadi deras lalu menyebabkan jambatan utama laluan masuk ke sesebuah perkampungan runtuh. Keadaan ini menyebabkan bantuan makanan, bantuan perubatan dan bantuan pakaian tergendala akibat laluan utama telah runtuh. Malah kesemua tiang lampu tidak berfungsi akibat kabel di bawah tanah telah ditenggelami air hujan . Kerosakan jalan raya juga terjadi apabila banyak jalan raya yang rosak dan runtuh akibat tanah yang terlalu lembut lalu membentuk lubang besar di bawah jalan raya. Akibat kerosakan infrastruktur dan kemudahan awam ini, mereka menghadapi pelbagai masalah selepas banjir surut.

Penutup Karangan Bencana Alam

Secara tuntasnya, setiap kali selepas hujan lebat pasti akan ada pelangi yang cantik. Begitulah yang dialami oleh mereka yang menjadi mangsa banjir. Mereka telah mendapat pelbagai bantuan daripada NGO dan kerajaan untuk menjamin kelangsungan hidup mereka sehingga mereka mampu bangkit kembali untuk berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah bersama orang lain tanpa rasa curiga dan rendah diri.


Contoh Karangan SPM: Punca Bencana Alam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You cannot copy content of this page