Contoh Karangan SPM: Punca Bencana Alam

Kejadian Bencana Alam mendatangkan kesan yang buruk terhadap manusia. Huraikan faktor atau punca bencana alam berlaku di Malaysia.

Punca Bencana Alam berlaku di Malaysia

Dalam alaf milinium pascaindustri ini, kejadian banjir besar, tanah runtuh, jerebu, dan gempa bumi merupakan bencana alam yang kerap berlaku di negara kita. Bencana alam ini telah mengakibatkan kehilangan nyawa, kemusnahan harta benda dan kerosakan sistem infrastruktur serta trauma kepada mangsa bencana alam. Kerajaan seharusnya mengenal pasti faktor yang menyumbang peningkatan dan kekerapaan kejadian bencana alam ini agar dapat kita mengambil langkah berjaga-jaga sebelum bencana berlaku. Persoalannya, apakah punca atau faktor yang menjadi penyumbang peningkatan bencana alam ?

Sikap manusia yang suka membuang sampah

Punca yang signifikan dalam isu yang menjadi trauma kepada masyarakat dunia khususnya di Malaysia ialah sikap manusia yang suka membuang sampah merata-rata menyebabkan sampah tersebut dibawa arus air ketika hujan lebat berlaku lalu terkumpul di hilir sungai. Longgokan sampah yang tersekat ini menyebabkan laluan air menjadi kecil lalu mendap dan menyebabkan aliran menjadi perlahan. Apabila hujan lebat berlaku sekali lagi, sungai tersebut tidak mampu menampung air lalu mengakibatkan air melimpah keluar lalu terjadinya banjir justeru tindakan tidak bertanggungjawab ini akan memberi kesan kepada semua pihak.

Penerokaan hutan secara haram

Dari sudut yang sama juga, kita melihat penerokaan hutan secara haram berleluasa. Pembalak haram mencuri pokok-pokok balak lalu menggunakan sungai sebagai pengangkutan untuk membawa turun kayu tersebut. Keadaan ini menyebabkan laluan air sungai dipenuhi dengan kayu balak dan tersekat di hilir sungai. Kejadian ini telah berlaku pada 2014 ketika banjir besar terjadi di pantai timur negara dan kejadian tersebut menjadi bukti bahawa sikap tamak haloba pembalak haram yang meneroka kawasan hutan dan menggunakan sungai sebagai laluan tanpa memikirkan kesan buruk terhadap alam sekitar. Tegasnya, sikap manusia itu sendiri yang menzalimi diri mereka dan orang lain sehingga mengakibatkan bencana alam.

Faktor geografi

Pada sudut pandangan yang berlainan, faktor geografi menjadi punca kejadian bencana alam ini. Kawasan di pesisir pantai sering mengalami hakisan tanah. Akibatnya banyak kawasan perkampungan nelayan telah musnah akibat dilanda ombak besar. Keadaan ini terbukti apabila hakisan tanah berlaku di Pantai Morib Kuala Selangor yang telah menenggelamkan kawasan perkampungan nelayan lalu kini menjadi lautan. Malah, musim tengkujuh yang berlaku sepanjang bulan November sehingga bulan Februari disebabkan kadar taburan hujan yang tinggi turut mengakibatkan banjir. Keadaan ini menyebabkan jumlah air di dalam empangan terlalu banyak lalu pihak berkuasa terpaksa melepaskan takungan air bagi mengelakkan berlaku bencana alam yang lebih besar jika empangan pecah.

Peningkatan kadar urbanisasi

Peningkatan kadar urbanisasi penduduk dari kawasan luar bandar ke kawasan bandar telah menggalakkan pembangunan sektor perumahan bagi menyediakan rumah kepada mereka. Malangnya, pembangunan sektor perumahan dan premis perniagaan ini tidak seimbang dengan pembangunan sistem perparitan di kawasan tersebut. Akibatnya, banjir berlaku disebabkan aliran air di dalam sistem perparitan yang terlalu kecil tidak dapat menampung air hujan yang lebat. Banjir kilat ini sering terjadi di kawasan yang mencatatkan kadar kepadatan penduduk yang tinggi. Jika tiada usaha dilakukan oleh Pihak Berkuasa Tempatan(PBT), masalah ini akan berlarutan dan kesan yang lebih besar akan berlaku di kawasan tersebut.

Penutup Karangan Punca Bencana Alam

Secara tuntasnya, bencana alam merupakan satu daripada petanda kepada kita agar menjaga bumi ini dengan penuh rasa tanggungjawab dan bukan memusnahkannya. Kerjasama daripada semua pihak khususnya kerajaan tempatan amatlah ditagih agar mereka lebih cakna dengan masalah bencana alam yang berlaku demi mengelakkan tragedi yang lebih besar dan buruk berlaku di kawasan jajahan atau daerah yang dipertanggungjawabkan demi menjamin kesejahteraan penduduk dan masyarakat sekitar.


Contoh Karangan SPM: Kesan Bencana Alam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You cannot copy content of this page