Karangan SPM: Cara Mengatasi Masalah Pengangguran

Malaysia menghadapi cabaran yang besar dalam perkembangan ekonomi negara. Apakah cara untuk Mengatasi Masalah Pengangguran di negara kita?

Cara Mengatasi Masalah Pengangguran di Malaysia

Pada alaf pasca-2020 ini, negara menghadapi pelbagai cabaran yang memberi kesan negatif dalam pertumbuhan ekonomi negara. Keadaan ini menyebabkan banyak industri terkesan sehingga mereka mengambil keputusan memberhentikan pekerja. Namun begitu, kerajaan terus berusaha dengan menawarkan pelbagai inisiatif menarik kepada pelabur-pelabur luar negara. Persoalannya, apakah inisiatif yang ditawarkan oleh kerajaan untuk merangsangkan ekonomi agar dapat meningkatkan kemajuan dan pembangunan negara?

Menarik modal asing ke Malaysia

Antara inisiatif yang diambil oleh kerajaan adalah dengan menghantar delegasi perdagangan ke luar negara dengan tujuan untuk menarik lebih banyak modal asing ke Malaysia. Rombongan delegasi ini telah menawarkan kerjasama bagi pelbagai pakej rangsangan ekonomi di Malaysia yang melibatkan pelaburan jangka panjang. Antara projek mega yang sedang dirancang oleh negara ialah Projek Pembangunan Johor Selatan dan Projek Pembangunan Bandar Iskandar Malaysia. Kesemua projek mega ini akan memberi impak positif kepada ekonomi negara dengan jutaan tawaran kontrak kepada syarikat tempatan dan luar negara. Malah, projek mega ini akan membuka peluang pekerjaan dan perniagaan kepada masyarakat setempat yang terlibat dalam kawasan projek mega tersebut.

Memahirkan belia melalui institusi kemahiran

Dalam isu yang berkaitan juga, kerajaan telah mewujudkan pelbagai program untuk memahirkan golongan belia dalam pelbagai bidang melalui institusi kemahiran bagi melatih belia negara dalam kemahiran kejuruteraan, kemahiran bangunan, kemahiran permotoran. Sebagai contoh, Institut kemahiran Belia Negara (IKBN), Institut Kemahiran Belia Tinggi Negara ( IKBTN),Giat Mara, kolej Vokasional, dan Institut Kemahiran Mara. Kesemua institusi ini akan dapat melahirkan lebih ramai belia yang berkemahiran tinggi dalam kerja- kerja teknikal. Usaha ini akan dapat mengisi kekosongan jawatan dalam pelbagai projek di bawah pakej rangsangan ekonomi negara. Secara tidak langsung, kerajaan berjaya melahirkan golongan professional dan berkemahiran tinggi daripada anak tempatan.

Kemudahan pembiayaian mikro

Selain itu, Kerajaan turut memberi kemudahan pembiayaian mikro bagi pengusaha perniagaan kecil. Tujuan pembiayaian mikro ini adalah untuk membantu peniaga kecil yang menghadapi masalah modal untuk berniaga semula. Kerajaan juga menawarkan modal bagi pembelian mesin untuk meningkatkan produktiviti syarikat. Manakala bagi Industri Kecil dan Sederhana, pakej rangsangan perniagaan diperkenalkan bagi menggalakkan penyertaan IKS sejajar dengan program Satu Kampung Satu Produk dan Satu Daerah Satu Industri yang merupakan salah satu program yang bertujuan membantu masyarakat desa agar dapat menikmati kemakmuran daripada industri perusahaan yang berkembang pesat di negara kita.

Kempen Beli Barang Buatan Malaysia

Di samping kemudahan pembiayaian mikro ini, kerajaan sepatutnya melancarkan kempen Beli Barang Buatan Malaysia. Usaha ini akan dapat menggalakkan orang ramai menyokong pembelian barangan buatan Malaysia. Keadaan ini akan dapat meningkatkan ekonomi tempatan dalam konteks mikro. Penjualan kereta Proton X-50 mencatatkan jualan tertinggi walaupun dilancarkan pada pertengahan tahun 2020 selepas negara dilanda pandemik Coronavirus-19 (COVID-19). Kejayaan ini dlihat sebagai satu sokongan kepada syarikat pengeluar kereta nasional. Secara tidak langsung, kejayaan ini sebagai petanda bahawa rakyat masih mempercayai dan meminati kenderaan buatan nasional.

Penutup Karangan Masalah Pengangguran

Secara keseluruhannya, kerajaan bertanggungjawab untuk berusaha mencari jalan bagi memulihkan keadaan ekonomi negara yang berada dalam keadaan kritikal ibarat telur dihujung tanduk, ibarat berumah di tepi pantai. Pada masa sama, rakyat hendaklah memberi sokongan padu kepada kerajaan serta bertabah dengan segala kesulitan yang dialami sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Jika tiada kerjasama daripada semua pihak, maka kerajaan tidak akan dapat bangkit semula untuk menyelamatkan ekonomi negara, malah ekonomi negara akan bertambah runcing dengan situasi yang semakin mencabar ini. Oleh itu, semua pihak hendaklah berfikiran positif dan sentiasa kehadapan serta tidak menjadikan politik sebagai neraca pertimbangan dalam menangani isu ini.


Contoh Karangan: Cara menarik menceburi bidang pertanian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You cannot copy content of this page