Karangan SPM: Memupuk Amalan Menabung

Amalan Menabung membawa banyak manfaat terhadap remaja. Ibu bapa memainkan peranan yang penting untuk memupuk amalan menabung kepada anak-anak mereka. Huraikan.

Peranan Ibu Bapa untuk Memupuk Amalan Menabung

Pada dua dekad yang lalu, murid di sekolah rendah akan mendapat sebuah tabung simpanan apabila membuka akaun simpanan bank. Mereka berasa teruja dengan tabung-tabung simpanan tersebut lalu mulai menyimpan duit setiap hari. Semua ini menjadi kenangan kepada mereka dan suatu yang menjadi nostalgia apabila diingati semula. Oleh itu, ibu bapa berperanan besar untuk memupuk amalan menabung kepada anak-anak dan menjelaskan faedah-faedah menabung agar mereka dapat merasai keseronokan menabung seperti zaman dahulu.

Menjadikan amalan ini sebagai budaya keluarga

Aspek pertama yang perlu diambil kira oleh ibu bapa bagi memupuk amalan menabung dalam diri anak-anak adalah dengan menjadikan amalan tersebut sebagai budaya keluarga. Hal ini dikatakan demikian kerana suasana keluarga bahagia merupakan kaedah yang paling efektif untuk memupuk amalan menabung dalam kalangan anak-anak. Mereka mudah dilentur kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Mereka hendaklah dipupuk dengan amalan menabung sejak mereka kecil lagi. Tegasnya, ibu bapa berperanan besar dalam usaha memupuk amalan menabung ini.

Mendokong gaya hidup sederhana

Di samping itu, sikap ibu bapa yang mendokong gaya hidup sederhana sudah pasti dapat memupuk amalan menabung. Sesetengah ibu bapa mengamalkan amalan menabung untuk membeli barang peribadi mereka. Kaedah ini akan juga dapat memupuk budaya berdikari dalam kalangan anak-anak agar mereka berusaha mencari wang sendiri lalu menabung sebahagiannya demi merealisasi impian mereka membeli barang yang diingini. Misalannya, anak yang ingin membeli motosikal hendaklah menyimpan wang untuk membayar wang pendahuluan dan gaji bulanan pula untuk bayaran ansuran motosikal tersebut. Perancangan menabung ini akan membentuk disiplin yang tinggi dalam kalangan anak-anak. Tegasnya, amalan menabung ini turut membentuk disiplin yang tinggi.

Contoh teladan yang baik

Selain itu, ibu bapa memainkan peranan besar sebagai contoh ikutan anak-anak. Ibu bapa juga boleh menerapkan amalan menabung ini dengan menunjukkan contoh teladan yang baik kepada anak-anak. Mereka hendaklah melakukan aktiviti ini bersama dengan anak mereka. Orang dahulu ada mengatakan bagaimana acuan begitulah kuihnya. Aktiviti yang dilakukan ini akan menjadi contoh ikutan anak-anak untuk menyimpan wang pada masa akan datang. Apabila dewasa, anak-anak akan menjadikan ibu bapa sebagai panduan jika hendak melakukan simpanan atau pelaburan untuk masa depan mereka. Keadaan ini akan menjadikan ibu bapa sebagai rujukan terbaik kepada anak-anak. Tegasnya, ibu bapa mestilah menunjukkan sikap bagaimana acuan begitulah kuihnya, agar anak-anak mengikut jejak langkah ibu bapa yang menyimpan wang untuk hari tua mereka.

Penutup Karangan Amalan Menabung

Secara tuntasnya, ibu bapa berperanan besar dalam menyemai budaya menabung ini agar anak mereka terjamin masa depan dan memperoleh kehidupan yang lebih selesa dan sejahtera dari segi ekonomi dan sosial. Jika ibu bapa tidak menggalakkan amalan ini, nescaya anak-anak akan menghadapi kepayahan hidup dan akhirnya mereka akan terjebak dalam gejala yang tidak sihat untuk meneruskan kelangsungan hidup lalu menuding jari kepada ibu bapa.


Contoh Karangan: Kepentingan Amalan Menabung

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You cannot copy content of this page