Contoh Karangan Bagaimana Jenayah Siber berlaku?

Ledakan teknologi maklumat telah membuka peluang kepada penjenayah siber untuk mengambil kesempatan atas kelemahan pengguna yang melayari Internet. Bagaimana Jenayah Siber berlaku?

Bagaimana Jenayah Siber Berlaku?

Dalam tahun-tahun kebelakangan, pembangunan teknologi maklumat dan informasi di Malaysia semakin maju. Kemudahan aplikasi telefon pintar telah menyebabkan kita mendedahkan maklumat peribadi tanpa disedari dalam alam maya. Akibatnya, maklumat peribadi kita telah dicuri oleh mereka yang tidak bertanggungjawab dan cuba mengambil kesempatan atas kecanggihan teknologi yang ada pada hari ini. Keadaan ini menyebabkan kita terperangkap lalu menjadi mangsa jenayah siber. Oleh itu kita perlu mengenal pasti modus operandis yang dilakukan oleh kumpulan penjenayah siber ini agar dapat kita hindari dan jauhi daripada terjebak dalam perangkap mereka.

Penipuan laman sesawang bank

Antara bentuk jenayah siber yang dilakukan oleh mereka ialah penjenayah melakukan penipuan melalui alam maya. Kebiasaaanya, mereka menciplak laman sesawang bank atau institusi kewangan lain yang popular dan dipercayai ramai. Apabila mangsa menekan butang atau mengisi maklumat yang diminta, secara automatik mangsa akan dipindahkan ke laman lain yang direka oleh mereka. Mangsa hanya menyedari mereka tertipu apabila mereka menyemak baki wang yang berkurangan dalam simpanan bank. Pada ketika itu, nasi sudah menjadi bubur, agak sukar untuk pihak berkuasa menangkap mereka yang begitu licik menggunakan teknologi. Oleh itu, kita hendaklah berhati-hati apabila berurusan dalam Internet.

Mencuri data peribadi mangsa

Selain penipuan dalam Internet, penjenayah siber turut mencuri maklumat atau data peribadi mangsa. Keadaan ini disebabkan kelalaian mangsa yang gemar mendedahkan identiti mereka dalam laman sosial seperti Facebook, Instagram, Twitter dan pelbagai lagi aplikasi sosial yang sering meminta pengguna memasukkan data peribadi apabila hendak membuka akaun atau mendaftar masuk dalam laman tersebut. Secara tidak langsung data peribadi pengguna diperoleh dengan mudah dan dapat dicari melalui enjin pencari terkenal seperti Google. Oleh itu, masyarakat harus berhati-hati dengan penjenayah siber ini yang diibaratkan sebagai musang berbulu ayam.

Menyalin data tanpa kebenaran

Bukan itu sahaja, perbuatan menyalin data tanpa kebenaran pemilik juga dianggap sebagai jenayah siber. Perbuatan plagiat atau menyalin tanpa kebenaran merupakan satu perbuatan salah di sisi undang-undang. Apabila tindakan plagiat atau menyalin maklumat dilakukan secara tidak sah, maka secara automatiknya perbuatan ini diklasifikasikan sebagai jenayah kerana perbuatan menyalin data tanpa kebenaran bertulis atau lisan daripada pemilik. Lazimnya perbuatan plagiat ini berlaku dalam kalangan pelajar universiti yang mengambil jalan mudah untuk menyiapkan tugasan. Untuk membebaskan diri daripada segala tuduhan atau kesalahan, ada baiknya jika kita persetujuan dan kebenaran empunya maklumat tersebut sebelum disebarkan.

Aktiviti pornografi

Aktiviti pornografi juga dikategorikan sebagai jenayah siber. Malah, sebarang perbuatan yang bertujuan mempromosi, menggalakan aktiviti tidak bermoral tersebut juga diklasifikasikan sebagai perbuatan jenayah siber. Walaupun penyebaran foto yang berbaur lucah atau separa lucah mendapat persetujuan dan kerelaan pemilik gambar tersebut, namun tindakan tersebut masih boleh dikenakan tindakan undang-undang kerana bahan tersebut mengganggu ketenteraman dan sensitiviti awam. Jika tidak dibendung nescaya perbuatan ini akan menjadi budaya tidak sihat dalam kalangan masyarakat. Oleh itu, tindakan menghentikan aktiviti pornografi akan dapat mengurangkan kes jenayah siber.

Penutup Karangan Jenayah Siber

Secara intihanya, jenayah siber merupakan salah satu kepincangan masyarakat moden hari ini dan tindakan mereka yang di luar batasan ini boleh memberi kesan negatif kepada mangsa. Oleh itu, semua pihak perlu mengambil serius dan cakna dalam isu ini agar kita dapat membendung jenayah siber daripada meracuni minda dan jiwa remaja Malaysia demi memastikan mereka menjadi warga yang bertanggungjawab pada nusa dan bangsa.


Contoh Karangan: Kebaikan Kemajuan Teknologi maklumat

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You cannot copy content of this page