Contoh Karangan SPM: Kesan Buruk Peperangan

Peperangan antara Ukraine dan Rusia telah melibat dan memberi impak yang buruk kepada seluruh dunia. Apakah kesan – kesan negatif yang disebabkan oleh peperangan?

Esei Kesan Buruk Peperangan

Peperangan bukan lagi sesuatu yang asing bagi kita kerana pencerobohan Rusia ke atas Ukraine pada tahun 2022. Peperangan juga sentiasa berlaku disebabkan tidak ada tolak ansur antara pihak yang bertelagah seperti yang berlaku di Iraq, Afghanistan, Pakistan, dan sebagainya. Hal ini telah membangkitkan kebimbangan yang berterusan dalam kalangan masyarakat dunia. Peperangan ini juga berlaku disebabkan ketamakan manusia untuk memuaskan nafsu serakah mereka. Namun, apa yang kita peroleh semasa dan selepas peperangan hanyalah suatu jenis kemusnahan berskala besar. Manusia bersaing untuk mencipta senjata yang semakin canggih. Pelbagai senjata yang digunakan dalam peperangan memberikan kesan yang dahsyat yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.

Melibatkan nyawa yang terkorban

Kesan peperangan yang paling teruk ialah peperangan akan melibatkan nyawa yang terkorban. Orang awam yang tidak bersalah seperti kanak-kanak, wanita dan orang tua menjadi mangsa peperangan. Mereka dibunuh tanpa rasa belas kasihan dan berperikemanusiaan oleh tentera penceroboh. Selain itu, beribu-ribu askar-askar yang berjuang untuk negara masing-masing juga ditembak dan dibunuh dalam keadaan yang dahsyat. Sebagai contoh, ribuan nyawa manusia telah melayang begitu sahaja dalam pembunuhan besar-besaran di Nanjing, China semasa Perang Dunia Kedua. Peperangan sememangnya memberi impak yang negatif terhadap rakyat di negara yang terlibat. Masyarakat tersebut terpaksa menghadapi kehilangan kasih sayang daripada orang tersayang yang mati dalam peperangan. Bagi mereka yang bertuah untuk melarikan diri, peristiwa ini juga menjadi trauma seumur hidup mereka. Namun demikian, peperangan tidak mendatangkan apa-apa faedah sekalipun.

Kemusnahan harta benda manusia

Peperangan turut memusnahkan harta benda manusia, sama ada harta benda awam mahupun harta benda persendirian. Banyak harta benda seperti bangunan, jalan, landasan kereta api, lapangan terbang, pelabuhan, jambatan dan sebagainya telah musnah akibat peperangan yang tidak munasabah. Pembinaan ini yang menelan belanja berjuta juta ringgit akan roboh dalam masa sekelip mata. Kerugian dalam peperangan telah mencecah angka berbilion-bilion dolar Amerika dan seterusnya ekonomi negara akan merosot. Selain itu, peperangan bukan sahaja merugikan kerajaan, malahan penduduk yang tidak berdosa. Harta benda persendirian seperti tempat tinggal, ternakan dan tanaman juga lenyap begitu sahaja kerana dimusnahkan oleh letupan bom. Penduduk terpaksa melarikan diri dalam usaha mengelakkan diri daripada menjadi mangsa.

Menjejaskan tahap kesihatan manusia

Salah satu kesan buruk peperangan ialah tahap kesihatan manusia akan terancam. Penggunaan senjata kimia dalam peperangan akan mengakibatkan kesan buruk yang berterusan kepada kesihatan penduduk. Letupan bom akan menyebabkan bahan kimia merosakkan alam sekitar. Letupan bom terutamanya bom nuklear yang menjana reaktor nuklear akan menghasilkan gas uranium oksida yang mampu mengakibatkan seluruh negara tersebut diancam pelbagai penyakit. Gas uranium oksida menimbulkan kesan negatif kepada sistem perkembangan tubuh badan manusia. Manusia yang terdedah dengan gas-gas tersebut akan mengundang pelbagai penyakit seperti asma, barah, kerosakan otak, diabetis dan parkinson. Kekurangan perubatan dan krisis makanan semasa peperangan akan memburukkan keadaan ini. Natijahnya, peperangan pasti akan mengancam taraf kesihatan penduduk dunia dan penularan penyakit akan berlaku.

Krisis makanan dan kebuluran

Apabila peperangan berlaku, satu masalah yang paling serius ialah krisis makanan. Peperangan akan menyebabkan kebuluran di negara yang terbabit. Kawasan-kawasan pertanian, ladang-ladang, kebun buah-buahan tidak dapat diusahakan kerana mengalami kemusnahan yang teruk. Kilang-kilang yang memproses makanan juga terpaksa memberhentikan operasi firma mereka. Penduduk setempat tidak dapat membeli barang-barang untuk keperluan harian mereka. Kerajaan tempatan tidak dapat memastikan sumber makanan yang mencukupi kerana mereka sibuk untuk melindungi negara daripada ancaman pencerobohan. Penduduk negara terpaksa bergantung pada bantuan kemanusiaan daripada negara lain dan kehidupan menjadi “kais pagi makan pagi, kais petang makan petang”. Kebuluran dan krisis makanan akhirnya akan membawa kepada kematian kepada penduduk di kawasan yang terbabit.

Penutup Karangan Kesan Buruk Peperangan

Kesimpulannya, peperangan harus dielakkan dan mencari jalan penyelesaian yang lain seperti perundingan di masyarakat yang prihatin ini. Setiap peperangan akan mendatangkan pelbagai kesan buruk kepada sesebuah negara. Kita haruslah belajar daripada sejarah peperangan dan mendewasakan kita dengan peristiwa sejarah yang tidak munasabah. Pembangunan manusia perlu berfokus dalam meningkatkan taraf hidup dan menggalakkan pembangunan sektor ekonomi. Pihak yang bertanggungjawab harus mengelakkan pertenglikahan dan menjaga keamanan negara. Pemimpin memupuk semangat keharmonian supaya masyarakat dunia sentiasa dalam keadaan yang aman. Demi kesejahteraan sejagat, peperangan bukanlah jawapannya.


Contoh Karangan: Punca Bencana Alam
Contoh Karangan: Kedatangan Pendatang Asing ke Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You cannot copy content of this page