Contoh Karangan Kesan Pembuangan Bayi

Kehamilan yang tidak diingini telah menyebabkan isu pembuangan bayi berlaku. Masalah ini memberi impak yang buruk. Huraikan Kesan Pembuangan Bayi kepada negara kita.

Kesan Pembuangan Bayi

Pembuangan bayi merupakan satu jenayah di negara kita. Masalah ini berlaku akibat kehamilan yang tidak diingini. Ramai remaja yang mengandung di luar terpaksa membuang bayi mereka dengan terdesak kerana malu dan takut akan akibat yang bakal ditanggung. Tetapi, tindakan pembuangan bayi akan memberi banyak kesan yang buruk kepada keluarga dan masyarakat negara kita.

Kadar kematian bayi yang lebih tinggi

Majoritinya, ibu yang bersedia untuk membuangkan bayi mereka akan melahirkan anak dengan menggunakan cara sendiri tanpa pertolongan daripada pihak hospital. Sewaktu mereka melahirkan anak, ibu tidak berada dalam keadaan dan situasi yang selesa. Tanpa penjagaan perubatan yang sempurna, ibu akan mengalami jangkitan kuman dan juga kehilangan darah yang banyak semasa melahirkan anak. Dalam keadaan ini, bayi akan cedera sewaktu bersalin dan kadar kematian bayi adalah sangat tinggi jika berbanding dengan kelahiran bayi di hospital.

Keruntuhan institusi kekeluargaan

Di samping itu, akibat daripada pembuangan bayi juga, berlakunya keruntuhan institusi kekeluargaan. Apabila institusi sesebuah keluarga itu runtuh, keharmoniaan dalam kekeluargaan juga turut terkena tempiasnya. Hal ini disebabkan, ibu bapa berasa malu mempunyai anak yang sebegitu rupa tingkah lakunya. Mereka menganggap anak seperti ini telah menconteng arang ke muka mereka. Apa yang mereka bimbangkan adalah jiran sekeliling mereka yang pastinya memandang serong dan negatif dengan keluarga mereka. Disebabkan masalah pembuangan bayi juga, masalah penceraian berlaku. Ibu bapa remaja yang terlibat dengan perbuatan yang tidak bermoral ini bergaduh dan menyalahkan sesama sendiri kerana tidak pandai mendidik dan memelihara anak sehingga anakanak yang lain terpaksa menanggung akibatnya. Sebagai ibu bapa, janganlah terus menyalahkan anak-anak mereka tetapi membantu dengan memberi sokongan dan panduan untuk meneruskan hidup.

Menjejaskan imej masyarakat sekeliling

Kesan yang seterusnya adalah kepada masyarakat. Kes pembuangan bayi yang berlaku telah menjejaskan imej masyarakat sekeliling. Mereka pastinya berasa malu dan kecewa dengan apa yang berlaku. Sudah semestinya remaja dipersalahkan dalam kes ini kerana biasanya, remaja merupakan golongan terbesar melibatkan diri dalam kegiatan ini. “Kerana nila setitik, rosak susu sebelanga”. Peribahasa ini bertepatan sekali dengan situasi ini. Masyarakat telah menerima akibatnya hasil daripada kegiatan tidak bermoral ini dan secara tidak langsung telah menimbulkan persepsi orang luar tentang kredibiliti masyarakat setempat dalam membendung kes-kes seperti daripada berlaku.

Pembangunan negara terjejas

Tidak dapat dinafikan juga pembuangan bayi memberi kesan yang sangat besar kepada negara. Jatuh dan bangun sesebuah negara itu bergantung sepenuhnya kepada akhlak remaja atau generasi pada waktu sekarang. Antara kesan yang pastinya berlaku ialah kerancakan pembangunan terbantut serta ekonomi negara sukar untuk berkembang disebabkan wujudnya gejala sosial ini. Tambahan lagi, perbelanjaan kerajaan turut meningkat untuk menampung bayi yang diletakkan di rumah kebajikan masyarakat. Hal ini kerana, bayi yang dijumpai biasanya ditempatkan di rumah kebajikan masyarakat sebagai penempatan sementara. Pada masa yang sama, ibu bapa bayi tersebut dicari dan sekiranya tidak menjumpai, rumah kebajikan masyarakat pastinya menjadi penempatan kekal mereka. Perkara seperti ini pastinya membebankan pihak kerajaan dan pihak yang berkaitan dari segi kewangan.

Penutup Karangan Pembuangan Bayi

Kesimpulannya, kesan pembuangan bayi akan menjejaskan ibu bayi, keluarga, masyarakat dan juga negara kita. Sebagai remaja perempuan, mereka harus elakkan kehamilan sebelum berkahwin dan bersedia untuk membina keluarga. Semua agama di Malaysia melarang seks sebelum kahwin dan kita haruslah sentiasa taat kepada ajaran agama. Pihak masyarakat dan kerajaan haruslah bekerjasama untuk mengatasi masalah pembuangan bayi ini dengan secepat mungkin.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You cannot copy content of this page