Karangan Kesan Pendatang Asing Tanpa Izin

Malaysia menjadi tumpuan pekerja-pekerja asing untuk mencari rezeki kerana keadaan ekonomi yang stabil. Apakah kesan daripada kedatangan pendatang asing tanpa izin ke Malaysia?

Kesan Kedatangan Pendatang Asing Tanpa Izin

Ada semut ada gula, inilah peribahasa yang menjelaskan keadaan ekonomi Malaysia yang menjadi tumpuan pekerja-pekerja asing sama ada sah atau haram. Keadaan ini turut menggambarkan suasana yang berlaku apabila pekerja asing begitu ramai datang ke Malaysia mencari rezeki lalu menghantar pulang hasil titik peluh mereka ke negara asal. Akibatnya, pelbagai kesan dialami oleh penduduk Malaysia dari segi sosial, ekonomi dan keselamatan. Persoalannya, apakah implikasi daripada kedatangan pendatang asing tanpa izin?

Gangguan sosial kepada masyarakat tempatan

Antara implikasi buruk daripada kemasukan pendatang asing ke Malaysia ialah mereka telah menimbulkan gangguan sosial kepada masyarakat tempatan. Kejadian rompakan bersenjata merupakan sebahagian daripada tragedi yang sering dikaitkan dengan pendatang asing. Keadaan ini menyebabkan penduduk berada dalam ketakutan sehingga mereka mengalami trauma setiap kali waktu malam. Bahkan keadaan ini menyebabkan masyarakat memandang serong terhadap warga asing yang lalu-lalang di hadapan rumah. Situasi sebegini menjadikan kehidupan masyarakat dalam keadaan yang tidak normal.

Pendapatan negara berkurangan

Selain implikasi tersebut, kedatangan pendatang asing akan menyebabkan pendapatan negara berkurangan. Hal dikatakan demikian kerana pengaliran wang keluar berlaku setiap hari dan waktu terutamanya pada hujung atau awal bulan gaji. Kadar pertukaran mata wang asing ini telah mengakibatkan kerajaan mengalami kerugian daripada pertukaran tersebut. Senario yang berlaku ini akan menyebabkan kerajaan mengalami kerugian kerana wang mengalir keluar dengan jumlah yang banyak. Jika tidak, negara perlu berpatah arang, berkerat rotan dengan melakukan operasi pemutihan terhadap pekerja asing lalu dihantar ke negara asal mereka.

Kewujudan penyakit-penyakit baharu

Kebanjiran pendatang asing turut dikaitkan dengan kewujudan penyakit-penyakit baharu yang berbahaya. Kebanyakan pendatang asing yang masuk secara haram, mereka tidak mendapat suntikan. Kebiasaannya, mereka membawa penyakit Covid-19, AIDS, TIBI, penyakit kelamin dan Hepatitis. Keadaan ini menyebabkan masyarakat awam terdedah dengan penyakit berisiko tinggi jika mereka menjadi pembawa virus. Akibatnya, rakyat menjadi mangsa apabila penyakit ini merebak dalam kalangan penduduk tempatan. Oleh itu, kerajaan tidak perlu bersikap tunggu dan lihat sahaja malah perlu bertindak tegas kerana mencegah itu lebih baik daripada merawat.

Rakyat kehilangan hak sebagai penduduk tempatan

Implikasi terakhir yang perlu diambil kira ialah rakyat kehilangan hak sebagai penduduk tempatan. Dari sudut peluang pekerjaan, majikan lebih suka memilih pekerja asing berbanding pekerja tempatan disebabkan kos upah yang murah. Jika pekerja tempatan, majikan perlu membayar gaji, simpanan KWSP, insuran, kenaikan gaji setiap tahun, bonus tahunan dan pelbagai lagi. Pendatang asing ini bukan sahaja bekerja tetapi melakukan perniagaan kecil- kecilan. Hari ini menyebabkan banyak kedai runcit yang diuruskan oleh warga asing. Keadaan ini pasti meimbulkan ketidakpuasan hati dalam kalangan penduduk tempatan apabila hak mereka sebagai rakyat Malaysia telah diambil oleh pendatang asing.

Penutup Karangan Kesan Pendatang Asing

Secara keseluruhannya, kedatangan pendatang asing yang bekerja di Malaysia sama ada secara sah atau tidak sah, mereka telah memberi kesan buruk kepada negara.. Oleh itu kerajaan perlulah mengambil tindakan tegas agar tiada rakyat berputih mata melihat kerakusan mereka menguasai ekonomi negara kita demi memastikan negara bebas dan merdeka dengan erti kata yang sebenarnya.


Contoh Karangan: Karangan Faktor Kedatangan Pendatang Asing ke Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You cannot copy content of this page