Karangan SPM Langkah Pencegahan Penyakit berjangkit

Penyakit berjangkit seperti denggi, selesema burung dan Covid-19 memerlukan langkah – langkah pencegahan kalangan masyarakat. Huraikan.

Penyakit berjangkit seperti denggi, selesema burung dan Covid-19 memerlukan langkah langkah pencegahan seperti menjaga kesihatan diri, menjaga kawasan persekitaran dan mematuhi arahan pihak kementerian kesihatan supaya tidak menular dalam kalangan masyarakat.

Huraikan langkah-langkah pencegahan penyakit berjangkit dalam kalangan masyarakat.

Langkah-langkah pencegahan penyakit berjangkit

Penyakit terbahagi kepada dua kategori iaitu penyakit tidak berjangkit dan penyakit berjangkit. Penyakit berjangkit berlaku akibat transmisi agen penyakit atau produk toksinnya. Penyakit berjangkit boleh merebak melalui manusia, haiwan atau takungan lain-lain yang bersifat infektif. Penyakit boleh merebak secara langsung iaitu secara terus daripada pembawa kepada hos yang baharu atau merebak secara tidak langsung melalui peralatan, vector dan bahan-bahan lain yang menjadi perantara. Jenis-jenis penyakit berjangkit pula seperti penyakit bawaan air dan makanan, penyakit haiwan vektor dan penyakit bawaan udara.

Prinsip pencegahan penyakit berjangkit melibatkan tiga peringkat iaitu peringkat primer, peringkat sekunder dan peringkat tertier. Penularan penyakit berjangkit merupakan satu isu yang sering menjadi buah mulut masyarakat sejak akhir-akhir ini. Penularan penyakit berjangkit ini umpama duri dalam daging dan telah menyebabkan masyarakat dunia amnya dan masyarakat Malaysia khususnya berada dalam kebimbangan yang berterusan. Antara penyakit berbahaya yang pernah melanda negara kita dan negara-negara luar ialah wabak selesema burung, penyakit Sindrom Pernafasan Akut yang Teruk (SARS) dan yang terkini Covid-19. Persoalannya, langkah-langkah pencegahan penyakit berjangkit dalam kalangan masyarakat?  

Menjaga kebersihan diri

Hasil yang besar bermula dari langkah yang kecil. Begitulah juga dalam menangani penularan penyakit berjangkit yang berbahaya dan boleh menyebabkan maut. Prakarsa utama dalam menghadapi isu penyakit berjangkit adalah tindakan setiap individu dalam masyarakat agar menjaga kebersihan diri. Kebersihan diri sangat dititikberatkan dalam setiap agama.

Kebersihan diri  ialah nilai penting yang wajib diamalkan oleh masyarakat. Hal ini dikatakan demikian kerana kekotoran ialah asbab pada penularan penyakit berjangkit. Setiap ahli masyarakat hendaklah mengutamakan kebersihan diri yang bermula dengan amalan yang paling mudah tetapi amat sukar untuk dilakukan iaitu amalan mencuci tangan. Amalan mencuci tangan adalah satu langkah yang paling mudah yang boleh dilakukan oleh masyarakat untuk mengelakkan jangkitan penyakit menerusi penyebaran bacteria,virus dan parasit. Antara penyakit yang tersebar melalui sentuhan seperti penyakit SARS ,HFMD dan MERS-CoV.

Masyarakat perlulah menjaga kebersihan diri dengan kerap membasuh tangan menggunakan air dan sabun atau menggunakan sanitizer. Hal ini dikatakan demikian kerana tangan kita menjadi tempat persembunyiaan pelbagai jenis mikroorganisma yang menjadi punya penularan penyakit. Jangkitan merebak daripada individu kepada individu yang lain melalui tangan yang tidak dicuci bersih selepas menyentuh permukaan atau memegang peralatan yang telah tercemar dengan virus daripada batuk atau bersin pesakit. Jelaslah bahawa masyarakat hendaklah membudayakan amalan membasuh tangan agar dapat mencegah penularan penyakit berjangkit kerana mencegah itu lebih baik daripada mengubati. 

Menjaga kawasan persekitaran

Selain menjaga kebersihan diri, masyarakat juga mestilah menjaga kawasan persekitaran di taman perumahan mereka. Ada penyakit berjangkit disebabkan oleh haiwan yang bermaharajalela di kawasan persekitaran yang tidak dijaga kebersihannya. Kawasan persekitaran yang kotor dan berbau busuk mengundang makhluk perosak.

Mari kita ambil contoh penyakit berjangkit seperti demam denggi . Demam denggi ialah sejenis penyakit jangkitan virus yang merebak melalui gigitan nyamuk Aedes Aegypti yang telah dijangkiti. Lebih 100 negara di Asia Selatan, Asia Tenggara, Afrika dan Amerika Timur mengalami maslah denggi. Untuk menangani penularan penyakit denggi masyarakat perlu menghapuskan tempat-tempat pembiakan nyamuk. Masyarakat hendaklah mengadakan aktiviti pembersihan secara gotong-royong sebulan sekali. Aktiviti-aktiviti yang boleh dijalankan seperti membersihkan longkang-longkang yang tersumbat, memusnahkan semua bekas yang boleh menakung air terutamanya di besen, tayar lama, bekas plastik dan tong yang terbiar.

Masyarakat juga boleh meletakkan ubat pembunuh jentik-jentik iaitu Abate 500 di kawasan takungan air untuk mematikan kitarannya. Jelaslah bahawa untuk mencegah penularan penyakit berjangkit yang disebabkan oleh haiwan, masyarakat hendaklah bergotong-royong membersihkan kawasan persekitaran supaya dapat menikmati kehidupan yang sifar penyakit. Janganlah sudah terhantuk baru tengadah. Apabila ada yang meninggal barulah hendak berubah.

Mengamalkan gaya hidup sihat

Cara lain untuk mencegah penyakit berjangkit ialah masyarakat mengamalkan gaya hidup sihat. Masyarakat yang inteligensia ialah masyarakat yang mempraktikkan gaya hidup sihat kerana masyarakat tersebut tahu manfaatnya yang besar bukan sahaja kepada masyarakat tetapi juga pada negara. Gaya hidup yang sihat merangkumi amalan pemakanan yang seimbang mengikut piramid makanan yang telah digariskan oleh Kementerian Kesihatan, mendapatkan suntikan atau imunisasi penyakit berjangkit untuk menjamin kesihatan masyarakat.

Melalui suntikan imunisasi ini, masyarakat akan lali terhadap penyakit-penyakit tertentu. Sebagai contohnya, suntikan imunisasi seperti suntikan B.C.G. dapat mencegah penyakit tibi, suntikan imunisasi hepatitis membolehkan kita menjauhi penyakit hepatitis yang disebabkan oleh makanan, khususnya makanan laut yang tercemar. Pencegahan penyakit berjangkit dapat dilakukan oleh masyarakat dengan pengambilan antibiotik seperti streptomaisin, penisilin, dan kloromaisin. Masyarakat juga wajar menjalani pemeriksaan kesihatan secara berkala. Tindakan ini dapat mengelakkan diri kita daripada dijangkiti penyakit berjangkit.

Masyarakat boleh melakukan aktiviti riadah atau bersukan seperti berjoging, berenang dan bermain bola sepak. Aktiviti-aktiviti  sebegini yang dilakukan oleh masyarakat pada masa lapang dapat menguatkan tahap imunisasi dalam badan secara semula jadi. Apabila tahap imunisasi dalam badan seseorang kuat, daya tahan tubuh dapat melawan jangkitan penyakit.

Masyarakat juga boleh melakukan jaringan dan jalinan bersama-sama pejabat kesihatan daerah seperti mengadakan ceramah atau pameran kesihatan untuk menyebarluaskan info berkaitan penyakit berjangkit dan langkah pencegahannya kepada masyarakat setempat. Secara tidak langsung dapat mendidik masyarakat supaya mementingkan penjagaan kesihatan dengan mengamalkan gaya hidup sihat. Oleh hal itu, langkah yang boleh dilakukan oleh masyarakat untuk mencegah penularan penyakit berjangkit dengan mengamalkan gaya hidup  yang sihat.

Mematuhi arahan atau perintah kerajaan

SOP Penyakit berjangkit

Seterusnya, masyarakat hendaklah mematuhi peraturan atau perintah yang telah dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan. Kerjasama masyarakat dalam mematuhi perintah yang dikeluarkan oleh kerajaan dapat membendung penularan penyakit berjangkit. Sebagai contohnya, negara kita yang sedang berdepan dengan pandemik Covid-19. Kerajaan telah menetapkan mana-mana individu yang pulang dari luar negara diminta supaya mengkuarantinkan diri selama dua minggu untuk mengekang penularan wabak ini.

Malangnya, ada sikap segelintir masyarakat yang tidak akur pada arahan kerajaan. Mereka tidak mengkuarantikan diri sebaliknya bebas menjalankan aktiviti seharian. Akibatnya sikap masyarakat yang sebegini  telah mewujudkan beberapa kluster seperti yang berlaku di Kedah iaitu kluster Sivagangga. Masyarakat setempat telah dijangkiti penyakit Covid-19 dan perintah kawalan pergerakan terpaksa dijalankan. Masyarakat juga berlaku tidak jujur dengan tidak menyerah diri kepada pihak kesihatan untuk disaring tahap kesihatan mereka setelah pulang dari luar negara. Ada yang sanggup berbohong semasa memberikan maklumat.  Sikap masyarakat yang tidak mengendahkan saranan kerajaan supaya memakai pelitup muka di tempat awam, mengelakkan tempat yang sesak dan kerap membasuh tangan juga merupakan penyumbang kepada peningkatan bilangan kes pesakit Covid-19 di negara Malaysia.

Masyarakat mestilah bertanggungjawab menjaga kesihatan diri sendiri dan oaring lain. Masyarakat tidak sewajarnya mementingkan diri sendiri seperti enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing sehingga menyusahkan kehidupan orang lain. Jelaslah bahawa masyarakat mestilah akur dengan arahan dan perintah kerajaan atau Kementerian Kesihatan agar penularan penyakit berjangkit ini dapat dibendung.

Penutup Karangan Penyakit berjangkit

Kesimpulannya, terdapat pelbagai langkah yang wajar dilaksanakan untuk memastikan penyakit berjangkit dalam dibendung penularannya. Dalam hal ini, semua anggota masyarakat perlulah bekerjasama ibarat aur dengan tebing dan menjangkau sehabis tangan agar penyakit berjangkit dapat ditangani dengan berkesan. Kita tidak mahu menyesal akibat kelekaan kita mendatangkan implikasi buruk kerana menyesal dahulu pendapatan, menyesal kemudian tidak berguna. Kerjasama semua pihak sudah pasti akan melahirkan masyarakat Malaysia yang bebas daripada ancaman penyakit berjangkit yang berbahaya. Kesihatan merupakan aset penting bagi setiap insan yang bernafas di bumi Allah ini. Kekayaan tidak dapat membeli kesihatan mahupun nyawa seseorang.

Malangnya, kes-kes wabak berjangkit masih berlaku dari semasa ke semasa. Oleh itu, kempen kesedaran haruslah diadakan oleh pelbagai pihak untuk menggalakkan amalan hidup yang sihat dalam kalangan masyarakat. Kita tidak boleh memandang sebelah mata sahaja terhadap masalah ini kerana penyakit berjangkit boleh mengorbankan banyak nyawa yang tidak berdosa. Mudah-mudahan, kesedaran dan keinsafan akan bersemarak dalam jiwa  setiap warga masyarakat untuk bersama-sama membendung penularan penyakit berjangkit.


Nota tambahan Karangan Penyakit berjangkit

Menjaga kesihatan diri.
Contoh : Pemakanan seimbang,bersenam,mendapat vaksin,pemeriksaan kesihatan

Menjaga kawasan persekitaran.
Contoh : Masyarakat bergotong-royong membersihkan kawasan persekitaran

Mengamalkan gaya hidup sihat.
Contoh : Mengambil makanan seimbang, mendapatkan imunisasi

Mematuhi arahan atau perintah kerajaan.
Contoh: Masyarakat mengkuarantinkan diri, memakai pelitup muka

Laman Web Kementerian Kesihatan Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You cannot copy content of this page